Khamis, 30 Disember 2021 | 5:23pm
 Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dilancarkan sejak 50 tahun lalu kini sudah diganti dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN 2021) demi memastikan kelestarian budaya terus terjamin sekaligus memperkasakan budaya negara. ARKIB NSTP
Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dilancarkan sejak 50 tahun lalu kini sudah diganti dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN 2021) demi memastikan kelestarian budaya terus terjamin sekaligus memperkasakan budaya negara. ARKIB NSTP

Merenung semula Dasar Kebudayaan Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Selepas 50 tahun Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang membawa kepada lahirnya Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) dibincangkan, usaha mentakrif kebudayaan Malaysia kelihatan semakin kacau.

Malah, walaupun matlamat utama penubuhan DKK iaitu bagi mengelak berlakunya tragedi rusuhan kaum seperti 13 Mei 1969 terjadi lagi, dasar itu kelihatan sudah 'hilang' arah dan dilihat sinis oleh hampir setiap kaum di Malaysia.

DKK juga dikatakan tidak terlalu mencerminkan sifat kehidupan budaya masyarakat Malaysia yang organik dan senantiasa berubah.

Walaupun DKK dibina dengan unsur Melayu dan Islam menjadi teras utama, tetapi ia tidak berjaya pun memartabatkan bahasa, budaya malah sastera Melayu manakala, dalam kalangan bukan Melayu mereka dilihat semakin menyisih daripada pemikiran arus perdana.

Kenyataan itu mungkin pahit tetapi itulah kesimpulan yang boleh dibuat apabila mengikuti perbincangan mengenainya dalam simposium berjudul Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971: Sebuah Simposium Pasca-50 Tahun yang diadakan di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya.

Dikendalikan oleh Eddin Khoo, simposium itu membincangkan mengenai DKK dianjurkan oleh Pertubuhan Kajian Kebudayaan (PUSAKA), jurnal sastera SVARA dan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) khusus dibuat bagi merenung semula konteks dan niat Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971 selain membincangkan persoalan yang timbul mengenainya.

Dalam sesi perbincangan yang menemukan empat panel iaitu Sasterawan Negara Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh, Timbalan Dekan Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya Dr

Roslina Ismail, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Sallehuddin Md Salleh dan Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican, Muhammad jelas menunjukkan kekecewaannya apabila menegaskan, walaupun DKK meletakkan unsur Melayu dan Islam sebagai tulang belakangnya, tetapi perkara menyakitkan adalah pengenalan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang disifatkan beliau meruntuhkan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

"Identiti negara sudah 'terburai' dan ia berlaku agak lama sehingga menyebabkan hal-hal budaya dan bahasa ditolak ke tepi.

"Suatu bangsa yang matang mesti mempunyai bahasa kebangsaan, tetapi di Malaysia hal itu juga sudah "terburai".

"Pada suatu waktu masyarakat Malaysia berbilang kaum bersama-sama membangunkan negara dan mengambil bahagian untuk tujuan itu tetapi menjelang 1980-an, masyarakat bukan Melayu semakin menyisih daripada pemikiran arus perdana," katanya.

Tegas Muhammad, di negara ini hampir semua perkara di Malaysia hendak dipolitikkan hingga ia menjejaskan kebersamaan.

"Berpolitik itu boleh tetapi gunakanlah untuk memperbaiki keadaan. Pemikiran kita mengenai budaya dan bahasa juga banyak dirosakkan oleh ahli politik menyebabkan masyarakat Malaysia terpisah-pisah mengikut kaum," katanya.

Sementara itu Ahmad Murad berpendapat, penekanan terhadap sains dan teknologi ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad memungkinkan semua ini terjadi.

Tanpa cenderung mengatakan ia salah atau betul, Ahmad Murad menyebut selama 22 tahun pemerintahannya banyak dasar dan inisiatif yang diperkenalkan membawa kemajuan kepada negara

Namun, terdapat beberapa dasar yang membuatkan orang bukan Melayu menjauhi arus perdana, misalnya pada 1983 apabila Tun Mahathir mengumumkan dasar Islam yang menyebabkan bukan Melayu gusar dan menjauhkan diri daripada pemikiran arus perdana dan segala hal-hal yang berkaitan Melayu termasuklah sastera.

"Dalam masa yang sama, ramai orang melihat Tun Mahathir mempunyai pengetahuan sejarah yang dangkal dan sering mengkritik orang Melayu malas hingga menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu.

"Tun memang tertarik dengan kemodenan dan ia boleh dilihat dalam tulisan awal beliau memang banyak mengkritik sawah padi di Kedah dan lebih tertarik dengan kemodenan Singapura.

"Mungkin The Malay Dilema satu usaha menyedarkan bangsa Melayu tetapi tidak semua kandungan dalam buku itu boleh digunakan," katanya.

Bagaimanapun tegas Ahmad Murad, walaupun Tun Mahathir kelihatannya lebih mengutamakan sains dan teknologi, tetapi pada zaman pemerintah beliau juga terbinanya ikon meraikan seni dan budaya misalnya Balai Seni Lukis Negara (sekarang Balai Seni Negara) dan Istana Budaya.

Berita Harian X