Khamis, 30 Disember 2021 | 5:15pm
 Perbualan Fadli al-Akiti (kanan) dengan tiga anak pengarang besar tanah air. Dari kiri SM Zakir, Engku Roestam dan Haslina. GAMBAR EHSAN George Town Literary Festival.
Perbualan Fadli al-Akiti (kanan) dengan tiga anak pengarang besar tanah air. Dari kiri SM Zakir, Engku Roestam dan Haslina. GAMBAR EHSAN George Town Literary Festival.

'Tumpah kuah ke nasi'

KUALA LUMPUR: Karya besar Sasterawan Negara (SN), S Othman Kelantan seperti Pertentangan dan Angin Timur Laut yang dihasilkan sekitar 1960-an, rupanya 'lahir' di atas mesin jahit dimiliki isterinya.

Menurut penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau SM Zakir yang juga anak kepada sasterawan besar negara itu, ayah dan ibunya bergilir-gilir menggunakan mesin jahit berkenaan.

Di siang hari, ibunya yang juga seorang suri rumah akan menggunakan mesin itu untuk menjahit dan pada waktu malam, ia digunakan S Othman Kelantan sebagai 'meja' ketika menghasilkan karyanya.

"Mesin jahit jenis lama itu boleh dimasukkan ke dalam (mempunyai ruang penyimpanan) selepas digunakan.

"Jadi pada waktu malam, ia dijadikan seperti meja dan di situlah arwah menulis dan menghasilkan Angin Timur Laut, Pertentangan dan karya besarnya yang lain.

"Ruang menulisnya sangat ringkas dan saya lihat kebanyakan penulis begitulah tempat bekerja mereka," katanya pada acara Tumpah Kuah ke Nasi yang diadakan bersempena penganjuran Festival Sastera George Town (GTLF) 2021, baru-baru ini.

Acara kendalian Editor Dewan Sastera, Fadli al-Akiti itu turut disertai Haslina Usman dan Engku Roestam Alias, iaitu masing-masing anak kepada SN Usman Awang serta T Alias Taib.

SM Zakir yang asalnya tidak pernah terfikir menjadi penulis berkata, S Othman Kelantan membiarkannya 'tumbuh' sendiri tanpa dibayangi sesiapa.

Malah hasil penulisan dihasilkan beliau tidak pernah diambil tahu atau disunting S Othman Kelantan yang meninggal dunia pada tahun 2008.

"Saya tak terfikir ingin menjadi penulis. Saya suka muzik jadi memikirkan ingin menjadi pemuzik atau pemain bola sepak saja tetapi yang pastinya saya memang suka membaca disebabkan keadaan persekitaran

"Apabila menulis atau bereksperimen pun, arwah tidak pernah mengatakan apa-apa atau mengkritik kecuali jika berkaitan penulisan saya yang bersifat agama disebabkan arwah sendiri beraliran pondok.

"Disebabkan itu saya akhirnya tumbuh dengan identiti sendiri, identiti memberontak. Kami berbeza, dia sangat konvensional mengikut gelombang mereka dulu sebaliknya saya pula mahu keluar dan ingin memecahkan gelombang itu," katanya.

Haslina pula berkongsi mengenai satu kejadian yang disifatkannya sebagai beremosi buat dirinya iaitu ketika beliau meminta puisi dihasilkannya untuk majalah sekolah, disunting oleh Usman.

Pelbagai komen ayahnya kepada puisi yang dihasilkan, mengundang perasaan marah dan tersinggung pada jiwa remaja Haslina.

Meskipun tidak berkata apa-apa apabila melihat pelbagai contengan Usman Awang pada puisinya tetapi Haslina kemudian membuang puisi itu ke dalam tong sampah.

"Itu kali pertama saya minta ayah menyunting dan memeriksa puisi dihasilkan. Selepas itu saya tidak mahu menulis sebab lebih sukakan seni, menyanyi, menari serta melukis.

"Apabila kembali menulis semula, saya teringatkan tegurannya. Tapi sebenarnya teguran itu semua membina dan membuat saya lebih kritikal terhadap penulisan sendiri," katanya.

Haslina yang juga anak sulung Usman berkata, beliau sejak kecil sudah biasa mendengar bunyi ketukan mesin taip ayahnya terutamanya ketika SN itu menjadi wartawan di Utusan Melayu.

Arwah katanya, perlu banyak mengejar tarikh akhir justeru apabila berada di bilik bukunya menyudahkan kerja, mereka adik beradik tidak boleh mengganggunya.

"Kalau dia nak kopi, emak akan membawanya ke bilik tetapi anak-anak tidak boleh memasuki bilik itu dan membuat bising," katanya.

Haslina turut berkongsi kisah kecintaan Usman terhadap buku hingga sanggup menggunakan wang pemberian ayahnya untuk meminjam buku daripada rakan kerana tidak mampu membelinya.

"Orang lain beli makanan tetapi arwah ayah saya pula sanggup guna wang 1 sen dan 2 sen hasil pemberian ayahnya untuk untuk dibayar kepada rakan-rakan supaya dia dapat meminjam buku mereka," katanya.

Sementara itu Engku Roestam ketika membicarakan mengenai ayahnya berkata, T Alias Taib yang juga seorang guru, bukan saja sangat fokus dengan minatnya terhadap puisi malah cermat memilih diksi serta kata-kata dalam menghasilkan karya.

Katanya, T Alias Taib dilahirkan di Kuala Terengganu dan 'dikelilingi' angin pantai Laut China Selatan, monsun hujung tahun serta kesukaran kehidupan nelayan yang menjadi latar pertama pada karyanya.

"Dia juga seorang yang sensitif dengan persekitaran. Ada satu karyanya mengenai seorang perempuan tua yang berdiri di Pasar Payang, watak perempuan itu memberi dia ilham untuk menulis sesuatu.

"Kemudian dia berpindah ke Kuala Lumpur dan latar dan ideanya juga berubah. Saya sukakan paradoks dan idea yang digunakan," katanya.

Engku Roestam yang turut menerbitkan semula karya ayahnya itu berkata T Alias Taib mempunyai gaya tersendiri ketika menulis.

Selain perlu berada dalam keadaan 'lapar' untuk menulis, T Alias Taib yang hanya menghasilkan tujuh antologi puisi sepanjang hidupnya, memerlukan kesunyian dan akan hanya menulis pada lewat malam.

"Apabila keluar mencari idea, apa ilham yang tumbuh akan dicatatnya pada kertas serta buku nota ataupun spontan menggunakan kata-kata yang ada dan kemudian barulah ia dipindahkan dan "digomol"

"Ada kalanya, sesuatu karya itu mengambil masa yang singkat untuk dihasilkan dan ada kalanya berbulan-bulan," katanya.

"Dia juga menggunakan derianya dan sukakan muzik, dangdut, keroncong dan asli. Koleksi kasetnya pelbagai," katanya.

Berita Harian X