Isnin, 13 Disember 2021 | 10:13am

Pagi di Kyoto

Gadis itu meloncat bangun dari sofa yang didudukinya semenjak entah bila ketika saya memasuki lobi rumah tumpangan pada pagi minggu itu. Waktu di hujung pucuk namun masih awal. Saya sudah mandi dan berendam di dalam ofuro serta menjamu selera dengan hidangan asagohan yang dihantar ke kamar.

Namun itu kelaziman saya hatta di rumah sendiri sekali pun. Selepas subuh pada hari kelepasan, Hikari dan saya akan ke sento di berhampiran kawasan kejiranan kami untuk menikmati air panas dari sumber gunung berapi. Dalam perjalanan pulang pula, kami akan menyinggahi shokudo kegemaran untuk sarapan lewat pagi.

Tetapi gadis ini masih muda. Mengenangkan makan malam diikuti komitmen sosial yang berakhir lewat malam tadi, barangkali perkara terakhir yang ingin dilakukan oleh gadis pelajar tahun ketiga jurusan seni bina di sebuah universiti berdekatan itu adalah bertugas pada hari kelepasan begini.

Namun, tanggungjawab harus dilunasi. Dalam budaya bangsa di negara yang menjadi tempat saya menetap semenjak lebih tiga dekad lalu ini, komitmen kerja kerap kali melangkaui batas keselesaan peribadi. Sebagai tamu, saya tidak meminta untuk dilayan sebegini rupa. Malah, sebaik menerima jadual disediakan penganjur beberapa bulan lalu, saya ingin menolak penginapan semalaman untuk terus pulang sesudah melangsaikan syarahan.

Namun Hikari menegah, memancung rungutan panjang. Kau akan menyinggung perasaan mereka, Aya, ujarnya dari hujung meja besar di ruang makan yang berubah fungsi menjadi meja kerja komunal kami selepas persaraan Hikari dan penghijrahan anak bongsu kami ke universiti.

Hikari tidak salah, tetapi saya tetap mahu menegakkan benang yang basah. Penganjur adalah persatuan alumni dan pelajar dari negara asalku, hujah saya. Mereka tidak terikat dengan kelaziman negara ini.

Atau engkau hendak memberi mereka ruang untuk bercakap-cakap tentangmu, sarjana tak sedar diri yang tidak pulang-pulang ke tanah air sendiri? Usik Hikari. Namun dengan nada lebih serius dia menyambung, bukankah memuliakan tetamu juga diajar agama dan amalan leluhurmu?

Justeru saya beralah, mempersetujui sepenuhnya aturan penganjur, termasuklah pengiring wakil pelajar yang akan menemani selagi saya belum berangkat pulang ke utara, ke desa kelahiran Hikari yang menjadi daerah permastautinan pilihan kami.

Saya memaksa otot muka. Gadis muda yang berkerudung coklat muda, berkot tebal dilapik cardigan, dilengkapi celana denim itu saya dekati sebaik usai urusan mendaftar keluar di kaunter resepsi. Dia menunduk hormat sebelum matanya kembali ke wajah saya.

"Sensei mahu ke muzium? Masih terlalu awal untuk ke stesen," ujarnya, sambil tangan bergerak ke arah pemegang bagasi kecil. Saya menolak tangan mulus itu dengan lembut. Otot muka bekerja lagi. Sungguh, saya ingin menolak. Muzium Nasional Kyoto, atau Kokuritsu Hakubutsukan, bukan asing bagi saya. Semenjak bergelar pelajar sewaktu seusia gadis muda ini, tapak kaki saya berbekas banyak kali di dalam setiap galerinya.

Malah, semasa bercinta dengan Hikari, ketika kami masing-masing arkitek miskin yang baru memasuki dunia yang belum lagi kami fahami sepenuhnya itu, lelaki itu pernah mengejutkan saya dengan kembara harian ke muzium berkenaan sempena Jidai Matsuri yang amat ingin saya hadiri. Setelah berkahwin dan sedikit berduit, kami cuba mengunjungi kota tradisi ini setiap tahun pada musim luruh, mendiami ryokan dan meladeni momiji, sedikit kemewahan dalam hidup kami ketika itu.

Namun setelah anak-anak lahir, dan beberapa perubahan berlaku dalam keluarga kami, Kyoto jarang-jarang lagi kami jejaki.

Namun, saya tidak akan pernah jelak dengan tempat yang satu itu. Gadis ini barangkali tidak tahu, tetapi kelemahan saya kini di dalam genggamannya.

"Ikimashou. Saya belum sempat lihat bangunan baru itu lagi."

"Heisei Chishinkan? Dah lama juga bangunan itu siap."

Kami beredar dari ryokan kecil tetapi lengkap sebagai rumah tumpangan yang mengekalkan tradisi hospitaliti Kyoto yang diperturunkan zaman berzaman. Gadis itu ingin menahan teksi tetapi saya mengajaknya berjalan sahaja. Destinasi tujuan kami tidak jauh, dan cuaca pada hujung musim dingin cukup pugar untuk bersiar-siar.

"Sensei seperti orang Jepun sejati," ujarnya perlahan.

"Bukan setahun dua saya tinggal di sini." sahut saya tuntas, terlantun sedikit keras. Gadis itu tidak melanjutkan bicara, biar saya mengecam pertanyaan pada air mukanya. Dia menyambut huluran kad kecil lalu berurusan di kaunter tiket. Seketika kemudian kami beriringan ke Heisei Chishinkan, bangunan baharu dalam kompleks Muzium Nasional Kyoto. Galeri baharu ini memanjang laksana kotak segi empat tepat, berdinding kaca yang dibingkai susunan sistematik bata merah. Bumbungnya rata sementara sebuah kolam cetek memantul cahaya dan bayangan bangunan di gigi sesiar kaki. Minimalis, kontemporari tetapi tafsiran budaya dan jati diri yang tepat dan persis.

Mungkin kami hanya suka sesuatu yang indah, Aya, suara Hikari mampir lagi. Persoalan identiti, jati diri tidak pernah menjadi pertimbangan ketika kami melakar, mereka bentuk. Asalkan cantik, disukai pelanggan dan tidak mustahil dibina menggunakan teknologi sedia ada.

Apabila saya menceber, Hikari akan segera memujuk. Aku hanya arkitek, bukan sarjana sepertimu, apalah yang aku tahu selain daripada praktikaliti?

Kami mula menjelajah pameran dari aras tiga yang menempatkan artifak arkeologi dan seramik sebelum ke aras dua yang mempamerkan catan era silam sebelum kembali ke aras satu untuk meneliti koleksi kaligrafi, tekstil dan pakaian, peralatan logam serta lakuer selain arca-arca tradisional Jepun. Pengunjung agak ramai, tetapi masih terdapat ruang untuk memetia dengan pengamatan peribadi.

"Kita masih ada masa. Sensei mahu ke Higashiyama? Kita boleh ke Kiyomizudera atau Tojiji dan singgah minum kopi di Ninenzaka." Gadis itu merencana sambil tangan mengembalikan binokular kecil yang dipinjamkan tatkala dia rapat pada dinding kaca kotak pameran, meneliti perincian pada emakimono yang memaparkan babak-babak daripada hikayat terkenal Jepun, Genji Monogatari.

Saya menggeleng. Kami beredar meninggalkan Muzium Nasional Kyoto, tetapi langkah terhenti di bahu jalan. Gadis muda itu kekagetan apabila saya melintas ke seberang.

"Sanjusangendo?" Matanya membuntang.

Saya membalas dengan senyuman. Kami mengitari perkarangan dewan utama atau hondo kuil Buddha berusia hampir 900 tahun itu. Bangunan berkenaan dibina mengunjur panjang sehingga mencapai ukuran 120 meter, berbanding kuil-kuil lain di Kyoto, hatta di seluruh Jepun sekalipun yang lebih seimbang nisbah panjang dan lebarnya. Seni binanya mengikut gaya tradisional Jepun yang dipanggil wayo, sementara kemasannya amat ringkas. Secara luaran, Sanjusangendo kelihatan kelihatan seperti sebuah rumah kayu tanpa dekorasi berlebih-lebihan melainkan bumbungnya yang melengkung dari puncak ke hujung.

Saya mengajak gadis muda mendekati engawa berhampiran tiang utama di penjuru selatan bangunan agam itu, lalu menunjukkan kesan benaman beribu-ribu mata panah yang terkumpul selama lebih 800 tahun pada toh-shiya, acara tahunan untuk memilih pemanah terhebat.

"Sensei, tidakkah ruginya sedikit pun warisan khazanah seni bina Melayu, seperti daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka misalnya, yang tersisa?" Gadis muda mengusul perlahan. Hujung jarinya menggetis birai cawan kaca. Asap tipis mengapung dari permukaan kopi panas, sebelum larut di udara.

Saya tidak segera menyahut. Kopi panas di hadapan mata diteguk sekali. Pandangan menyapu ruang dalaman rumah kopi, sebelum dibuang menembusi dinding kaca. Imejan pintu gerbang diapit Okazaki Koen yang menempatkan taman haiwan, muzium dan sebuah panggung teater memenuhi retina. Torii merah merona itu menanda sempadan Heianji, sebuah rumah ibadat Shinto yang dibina semula. Asalnya, tokong berkenaan adalah sebahagian daripada Chodoin, istana maharaja pada zaman Heian, iaitu era kegemilangan kebudayaan bangsa matahari terbit ini.

Walaupun sudah berkali-kali menatap struktur gah itu, saya paling mengingatinya sebagai latar belakang dalam foto Hikari bersama anak sulung kami yang girang menayangkan pingat masing-masing sebaik sahaja melepasinya untuk menamatkan larian Kyoto Marathon beberapa tahun lalu.

Pandangan saya kembali kepada gadis muda di seberang meja. Sinar matanya bersungguh menagih jawapan.

"Gomennasai. Maaf jika soalan saya keterlaluan." Gadis muda menyembunyikan kegugupan dengan meneguk minuman yang beransur sejuk.

Saya menggeleng. Tidak dinafikan, saya sememangnya terpesona dengan budaya negara yang menjadi tempat letak duduk menetap saya ini. Sesuatu yang baru dan bukan milik kita tentu sekali menggiurkan. Namun, adakah kekaguman itu melunturkan identiti diri?

Silapnya, usik Hikari, kau mengahwiniku, tinggal di negara kelahiranku, berbahasa ibundaku dan mengamalkan sebahagian budayaku.

Bukankah pati diri itu tempatnya di dalam hati? Saya meningkah setiap kali. Hikari akan tertawa, tetapi tidak melanjutkan jenaka. Dia tahu kerana pada suatu lewat pagi yang redup seperti pagi ini, ketika kami tercegat di hadapan honjo Sanjusangendo selepas menggelinjang ruang dalamannya, saya membisik perlahan.

Aku sudah ketemu jawapannya.

Saya mendekatkan birai cangkir ke bibir lalu menghirup kopi hampir sejuk sekali. Gadis muda itu masih setia di seberang meja. Saya menghela nafas.

"Dalam tradisi kita, kegemilangan peradaban tidak ditahkik melalui perantaraan materi. Memang benar, sehingga ke satu peringkat, keindahan tugu, bangunan dan perhiasan adalah salah satu lambang ketinggian estetika seni sesuatu bangsa. Namun, peradaban terdahulu dalam tradisi-tradisi lain mengajar bahawa ketaksuban terhadap rupa seni, termasuklah seni bina, sebetulnya adalah gambaran permulaan kejatuhan pemikiran bangsa berkenaan dan tidak semestinya menjadi sesuatu yang membanggakan.

Sebaliknya, kebijaksanaan para cendekia kita adalah pada pemikiran yang mengubah nilai intelek bangsa. Warisan ini diperturunkan dengan perantaraan bahasa dan seterusnya diabadikan menggunakan sebagai tulisan yang bermanfaat. Khazanah inilah yang lebih mampan dan berkekalan berbanding istana lama yang lambat laun akan dimamah usia, serangga dan cuaca."

Gadis muda itu tekun menelinga namun kemudiannya mengangkat muka. Saya mengecam pertanyaan pada raut wajahnya.

"Jadi Jepun ini bagaimana?" Saya menduga. Tepat.

"Zaman Heian ketika kebudayaan Jepun berada di kemuncak juga dikenali sebagai era hedonisme, di mana keindahan luaran menjadi kegilaan sehingga mencetuskan keruntuhan pemerintahan maharaja pada ketika itu. Namun menariknya, pemikiran bangsa ini paling tepat dizahirkan melalui falsafah mono no aware – kesementaraan. Memang mereka taksub terhadap keindahan materi, tetapi mereka sedar kecantikan tidak kekal lama, seperti kuntuman sakura yang ditunggu sepanjang tahun, tetapi mekar hanya selama dua minggu. Ironinya, ini membina budaya pembaharuan, atau inovasi, yang menggalakkan kitaran penciptaan rupa dan bentuk baru, tetapi masih meneruskan kesinambungan keindahan turun-temurun. Saya fikir, inilah warisan terunggul Jepun berbanding objek-objek yang datang dan pergi."

Kami menyudahkan istirehat dengan senyap. Gadis itu tidak lagi bersuara, manakala saya barangkali telah terlanjur berkata-kata. Sebaik tiba di Stesen Kyoto, dia ingin menghantar sehingga ke platform tetapi saya bertegas untuk berpisah di pintu masuk sahaja. Sungguhpun begitu, seperti ada ikatan yang belum terungkai antara kami.

"Boleh kita berjumpa apabila sensei ke sini lagi?"

Saya mengangguk. Gadis muda tersenyum girang. Kedua-dua anak matanya bercahaya.

Ketika shinkansen meluncur meninggalkan stesen agam dilapisi fakad futuristik gabungan kaca, besi dan imaginasi, saya sudah terbayangkan kehangatan rumah desa nun utara dan hidangan air tangan Hikari. Namun pada sela landskap kota nan berganti saujana desa, senyuman gadis muda mampir memantul.

Kyoto kekal indah.

Glosari:

Ofuro - kolam air panas

asagohan - sarapan

shokudo - kedai makan

ryokan - rumah tumpangan

momiji - mapel

torii - pintu gerbang tokong Shinto

- Rebecca Ilham ialah penulis dan penterjemah lulusan Colorado School of Mines, Amerika Syarikat.

Berita Harian X