Khamis, 25 November 2021 | 11:43am
Plagiarisme ditolak dari sudut sosial, undang-undang dan agama. GAMBAR ARKIB NSTP.
Plagiarisme ditolak dari sudut sosial, undang-undang dan agama. GAMBAR ARKIB NSTP.

Isu plagiarisme yang berulang

Tindakan mempersembah sebarang idea, tulisan, atau hasil karya individu lain sebagai hasil kerja sendiri ialah bahasa mudah untuk memahami plagiarisme tidak kiralah mengambil tulisan individu itu secara menyeluruh, atau sebahagian sahaja.

Plagiarisme yang berasal daripada istilah latin "plagio" membawa maksud "to steal/mencuri" bermakna seorang plagiaris melakukan ciplakan terhadap produk bukan miliknya dalam keadaan sedar dan tanpa paksaan.

Kebelakangan ini, dunia penulisan tanah air sering diledakkan polemik kurang enak mengenai pengarang yang didedahkan memplagiat karya pengarang lain. Kekerapan pendedahan ini barangkali berkait rapat dengan perkembangan teknologi dan pengaruh media sosial yang membolehkan khalayak mendapat limpahan maklumat justeru dapat merujuk silang dan membandingkan karya-karya yang tersiar dengan pantas.

Lebih malang lagi apabila kita menyedari plagiarisme ini dilakukan oleh individu yang dihormati dalam masyarakat; pensyarah, orang kuat persatuan, bahkan panel juri sayembara penulisan. Tidak menjadi begitu ralat walaupun tetap melelahkan apabila karya penulis mapan diplagiat penulis baharu yang mengambil jalan pintas mencipta nama, contohnya karya Zaen Kasturi yang ditemui disalin semula di dalam majalah sekolah dengan tajuk berbeza, ataupun novel yang sudah terbit dicetak semula oleh penulis baharu seperti yang terjadi kepada novel Hello tulisan Anna Lee. Peristiwa yang lebih menghairankan ialah apabila seorang sarjana bidang sastera menciplak puisi Sasterawan Negara Datuk Seri A Samad Said, kemudiannya tersiar pula dalam majalah sastera. Si plagiaris sehingga kini tidak pernah tampil memohon maaf dan masih aktif menjadi panel dalam acara-acara sastera. Sesuatu yang meragukan sedang berlaku dalam kalangan pengarang dan kita tidak patut berdiam lagi.

Benih penyakit ini sebenarnya disemai bermula di alam persekolahan. Plagiarisme dalam skala lebih kecil bercambah apabila pelajar tiada keyakinan pada kemampuan diri, tidak diajar untuk berintegriti dan tidak mahu melalui proses pembelajaran yang benar, maka pelajar cenderung untuk menikmati hasil usaha individu lain.

Pada awalnya menjeling jawapan dan nota rakan pelajar, selangkah sebelum mulai meniru dan berbangga dengan hasilnya, kemudian jika tidak pula diperbetul sikap itu atau tidak pernah terdedah/didedahkan, si pelaku selesa dengan kaedah yang sama, si pelaku membawa 'trait' itu ke alam dewasa, memandu hidupnya dengan kompas moral yang rosak yang pada akhirnya diterjemah menjadi seorang plagiaris 'handal'. Beliau barangkali terus mencipta nama dan mengumpul anugerah atas bakatnya itu, dijemput ke forum-forum untuk menyampaikan buah fikirannya –ini semuanya kerja mahir seorang con-artist!

Sikap ingin menutup salah laku plagiarisme orang atasan mahupun bawahan juga satu sikap yang tidak berintegriti. Bahasa yang digunakan seolah tidak ingin mengaibkan si pelaku ialah cara fikir yang ganjil. Analoginya mudah, adakah kita perlu memejamkan mata dan membisukan suara jika seorang perompak ditangkap memecah masuk ke kediaman semata-mata menjaga aib perompak yang punya jawatan besar dan nama baik di luar kegiatan tidak bermoral itu?

Malu yang lebih besar untuk dielak ialah malu melihat ranah penulisan kreatif dipermain dan dianggap remeh kerana memberi ruang kepada pengarang-pengarang palsu ini berkeliaran. Lebih aneh lagi, ada hasrat pula 'berwacana' mengenai memartabatkan bahasa dan budaya serta ingin mempromosikan karya Malaysia ke tengah warga dunia. Bukankah terlalu tidak koheran suara yang mengambil sikap apologetik ini?

Seringkali individu ini bersembunyi di belakang istilah sastera untuk menjustifikasikan kegiatan plagiarisme menggunakan teknikaliti bahasa seperti interteks, hipogram, parafrasa dan inspirasi. Ini lebih-lebih lagi mendedahkan kecetekan kefahaman sendiri.

Kata masyhur T.S Eliot, "Penyair yang tidak matang meniru, penyair yang matang mencuri". Saya merenung lebih jauh ke dalam kerangka plagiarisme ini untuk memahami sudut pandang yang pelbagai. Berdasarkan pembacaan yang terbatas dapat ditemui kes-kes menarik yang boleh dijadikan bahan kajian dan batu sempadan kefahaman. Novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk tulisan Hamka dikatakan novel saduran dari novel Magdalena, begitu juga penyair T. Alias Taib dan Chairil Anwar pernah didakwa menterjemah karya penulis inggeris dan menjadikan sajak itu miliknya, T.S Eliot juga mengambil beberapa baris dari tulisan Shakespeare ke dalam karyanya. Jika dibesarkan di bawah kanta pemikiran, benar, istilah plagiarisme ini boleh menjadi semakin ambigus dan mengabur garis sempadannya apabila kita ingin merangkumkan segala insiden dunia penulisan.

Apa yang boleh dijelaskan ialah, inspirasi membawa maksud mengambil bahan daripada tulisan pengarang lain dan menulis dengan suara dan gaya sendiri. Ada waktunya kelihatan seperti plagiat tetapi berbeza kerana karya plagiat menggunakan sedikit atau tiada langsung daya kreatif dan intelektual. Selalunya plagiaris ingin menyentuh bidang atau genre di luar kemampuannya, maka dia mencuri semata meraih keuntungan daripada proses itu.

Perkara yang lebih penting ialah, sekiranya karya dituduh tidak autentik, pengarang seharusnya tampil dan menjelaskan kepada khalayak dengan bukti-bukti yang wajar – proses kreatif, rujukan, sejarah penulisan – bukan berdiam diri dan menggunakan segala kelebihan jawatan dan kuasa yang ada untuk menghalang khalayak dari bersuara dan menyatakan keraguan.

Plagiarisme lebih membinasakan si pelaku dari khalayak pembaca. Jika pembaca tidak dapat mengenalpasti karya yang tidak autentik, pembaca hanya menanggapi karya itu seolah karya baharu, pada baik buruknya tetapi sikap suka mencuri tulisan individu lain, diberi penghargaan pula oleh pembaca lambat-laun akan membentuk satu ketagihan setelah sistem otak membina gelung cerita yang membenarkan tubuh merembeskan dopamin –hormon yang bertanggungjawab memberi rasa euphoria.

Penulis yang tidak lagi mempunyai keinginan untuk mencari bahasa dan fikiran baharu akhirnya akan terperangkap di dalam satu lingkaran mediokriti.

Nisah Haron seorang penulis dan peguam konsisten menyuarakan kepentingan memelihara hak cipta pengarang. Merujuk artikel beliau (nisah.cbj.net), seorang penulis boleh mendapatkan perlindungan hak cipta seperti yang dijelaskan di dalam Akta Hakcipta 1987 (Akta 332) yang merangkumi novel, cerita, buku, risalah, manuskrip, syair, drama, arahan pentas, senario filem, skrip siaran, artikel, ensiklopedia dan kamus.

Ini secara tidak langsung membolehkan penulis mengambil tindakan sivil kepada sesiapa yang mengambil atau menyebar hak ciptanya tanpa persetujuan. Sekiranya sabit kesalahan perlanggaran Seksyen 41 Akta Hakcipta, boleh didenda tidak lebih RM10,00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Di dalam Majallat al-Majma, Vol 3(4), pula ada menyebutkan, "Majlis Fiqh Islamiyah telah mengeluarkan fatwa bahawa, 'nama dagang, nama perniagaan, jenama, karya penulisan, rekaan dan paten semuanya adalah hak yang dimiliki oleh pencipta atau pengarang. Ia adalah sejenis harta kerana mempunyai nilai kewangan yang tinggi. Hak ini diakui oleh Syariah Islam

dan tidak dibenarkan sesiapa melanggarinya."

Ini membuktikan plagiarisme ditolak dari sudut sosial, undang-undang dan agama. Apa lagi alasan yang diperlukan untuk kita menolak total aktiviti plagiarisme ini? Saya yang kerdil ini, menulis sebagai keluhan anak muda yang ingin celik sastera dan tidak mahu lagi ditipu hidup-hidup oleh karya plagiaris yang tak kenal dek untung. Menulislah dengan jujur.

Berita Harian X