Ahad, 11 Oktober 2020 | 2:58pm
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) masih relevan dan fungsi asalnya harus dikembalikan bagi memastikan kandungan tempatan dapat dikekalkan. - Foto fail NSTP/Mustaffa Kamal
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) masih relevan dan fungsi asalnya harus dikembalikan bagi memastikan kandungan tempatan dapat dikekalkan. - Foto fail NSTP/Mustaffa Kamal

Bantu ITBM kembalikan fungsi asalnya

KUALA LUMPUR: Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) masih wujud dalam kapasitinya tersendiri walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran sejak pertengahan tahun lalu.

Beberapa tahun lalu, ITBM adalah tempat berteduh kebanyakan penulis di Malaysia. Ia mampu menerbitkan puluhan karya asli dalam masa sebulan dan sempat mengelolakan dua sayembara penulisan yang melahirkan karya hebat yang bukan sekadar memenangi sayembara itu tetapi juga merangkul kejayaan dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM).

Apatah lagi dengan proses menerbitkan karya di Dewan Bahasa dan Pustaka yang mengambil masa sehingga dua tahun, ITBM memang unggul dalam hati kebanyakan penulis. Namun, hari ini ITBM semakin kelam. Dana yang diterima semakin menyusut, manakala karya asli yang diterbitkan juga semakin mengecil.

Bagaimanapun, bagi Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Sabri Azit, ITBM masih relevan dan fungsi asalnya harus dikembalikan bagi memastikan kandungan tempatan dapat dikekalkan.

"Saya menyedari cabaran dan risiko yang dihadapi ITBM, namun amat penting untuk kembali mengembalikan kegemilangan ITBM dalam industri buku ini, fungsi asal ITBM itu sendiri perlu dinaikkan semula supaya ia tidak kehilangan identitinya," katanya dalam pertemuan dengan BH.

Pengerusi Lembaga ITBM, Sabri Azit.
Pengerusi Lembaga ITBM, Sabri Azit.

Tegasnya, situasi semasa agak menekan apatah lagi ramai pihak yang berkepentingan tidak dapat melihat peranan yang dimainkan oleh ITBM ini sehinggakan ia pernah berhadapan konflik untuk ditutup.

Hal ini amat malang kerana kedudukan dan peranan ITBM penting dalam perkembangan keilmuan dan usaha itu perlu dilaksanakan walaupun berlaku ketidakstabilan politik dan sebagainya.

Justeru katanya, dengan sedikit suntikan sekurang-kurangnya ia mampu memberi nafas kembali kepada ITBM.

"Jika ITBM terus diberi peluang, tidak mustahil ITBM boleh menyediakan 50 juta buku sebagai rujukan kepada institusi pendidikan di negara ini dan akhirnya ramai yang akan melihat apa yang diperjuangkan oleh ITBM.

"Usaha ini harus dibuat dengan semangat dan tekad kerana akhirnya, menjadi kehendak semua ITBM bukan saja dikenali di negara ini, tetapi di peringkat antarabangsa juga," katanya.

Sabri berkata, satu daripada kaedahnya adalah kerjasama daripada semua pihak terutama kerajaan dan juga swasta daripada sudut penajaan harus digembleng bersama kerana tanpa sokongan kedua-duanya, ia agak sukar untuk direalisasikan lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik COVID-19 ini.

Tegas Sabri, sesuatu yang tidak boleh disangkal impak COVID-19 turut memberi kesan yang agak drastik kepada industri buku dan untuk memastikan ITBM berada pada landasan yang betul, agensi itu juga akan terbabit dalam program rasionalisasi Kementerian Pendidikan (KPM).

Menyentuh mengenai isu penerbitan komersial pula, beliau berkata ITBM memainkan peranan dengan membantu pengkarya di mana promosi akan dilakukan oleh ITBM, namun dalam masa yang sama ITBM tidak membantu untuk menyimpan buku yang dicetak itu tidak kos penyimpanannya agak tinggi.

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) masih wujud dalam kapasitinya tersendiri walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran sejak pertengahan tahun lalu. - Foto fail NSTP/Mustaffa Kamal
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) masih wujud dalam kapasitinya tersendiri walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran sejak pertengahan tahun lalu. - Foto fail NSTP/Mustaffa Kamal

"ITBM hanyalah sebuah syarikat dan perlu difahami bahawa kami tidak menyediakan dana, justeru penulis perlu melakukan belian semula buku yang diterbitkan bersama ITBM itu dan dalam masa yang sama kita tetap membantu penulis untuk memastikan karyanya terjual

"Bukan hanya karya asal diterbitkan dengan kerjasama ITBM saja, malah kami juga melihat karya-karya yang berkepentingan dengan nilai-nilai ketimuran untuk dibawa ke luar negara di mana platformnya sudah ada, tetapi pendanaan dan penajaannya masih kurang

"Ini kerana untuk menerbitkan buku dalam bahasa asing, ia memerlukan kos yang sangat besar. Tetapi dalam masa yang sama, platform dan kerjasama yang wujud dengan negara luar seperti Jepun, Jerman dan Perancis tetap diteruskan demi kesinambungan hubungan dua hala," katanya.

Sabri berkata, peralihan kepada dunia digital ketika ini turut memberi impak kepada penerbitan buku dan juga industri seangkatan dengannya apabila karya dalam bentuk fizikal semakin kurang mendapat sambutan namun ia tidak sehingga mematahkan semangat ITBM untuk membawa kehebatan karya asli yang dihasilkan oleh penulis harus dibawa hingga ke peringkat antarabangsa.

Jelasnya lagi, ITBM masih menekankan kepada buku dalam bentuk fizikal kerana percaya sebuah karya itu 85 peratus kosnya bermula daripada pengkarya sehingga ke produk terakhir dikeluarkan, beza dengan digital hanya di penghujungnya saja

"Ramai yang tersalah tafsir jika buku secara dalam talian lebih murah berbanding fizikal, tetapi sebenarnya kosnya adalah sama saja, melainkan ia dipasarkan secara antarabangsa dalam kuantiti yang banyak

"Jadi untuk memastikan industri ini terus bertahan, suntikan daripada kerajaan melalui pemberian baucer buku, bantuan melalui DBP supaya ITBM dapat terus memayungi industri penerbitan negara.

"Jika persepsi buku digital lebih murah, tidak mustahil dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, pengisian untuk karya tempatan akan kurang dan kesannya kepada penerbit bumiputera," katanya.

Tegasnya, demi mengembalikan martabat dan fungsi asal ITBM, beliau akan memastikan garis panduan dan asas diletakkan sebagai indikator supaya jika berlaku perubahan, agenda itu tetap akan diteruskan.

Berita Harian X