Rabu, 6 Mei 2020 | 7:13am
Ibrahim menunjukkan keadaan awal makam Mahsuri yang terletak di Padang Mat Sirat. - Foto Facebook Histourism
Ibrahim menunjukkan keadaan awal makam Mahsuri yang terletak di Padang Mat Sirat. - Foto Facebook Histourism

Mahsuri bukan kisah dongeng

SUNGAI PETANI: Pelbagai versi kisah Mahsuri di Pulau Langkawi sering menjadi bualan ramai menyebabkan ada beranggapan ia sekadar mitos atau dongeng.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Ibrahim Bakar Langkawi, berkata menurut kajian, kisah Mahsuri lebih sesuai dikatakan sebagai legenda kerana mempunyai sejarah tersendiri.

Beliau berkata, terdapat unsur penambahan dalam kisah diceritakan berikutan tiada penulisan awal dan ia hanya berkisar dalam kalangan masyarakat.

"Mitos membawa pengertian cerita yang dikaitkan dengan keagamaan, sudah tentu kisah Mahsuri terkeluar daripada kisah mengenai keagamaan.

"Mahsuri juga bukan cerita rakyat atau rekaan, jadi layaklah ia dikatakan sebagai kisah sejarah," katanya pada sesi perkongsian secara langsung di laman sosial Facebook Histourism.

Ibrahim berkata, Mahsuri ialah anak kedua daripada pasangan Pandak Mayah dan Cik Alang yang berkahwin sekitar 1798.

Mahsuri dilahirkan sekitar 1810 dan mempunyai seorang kakak dikenali sebagai Mek Yah.

Pada usia 17 tahun, Mahsuri dipinang panglima perang, Wan Yahya dan pasangan itu kemudian berkahwin.

Mahsuri dan Wan Yahya dikurniakan seorang anak lelaki yang diberi nama Wan Muhammad Idrus dan mempunyai banyak nama dalam versi lain seperti Wan Derus serta Mat Derus.

Beliau berkata, pada 1830, Wan Yahya dikatakan menyertai pasukan peperangan di Kedah yang diketuai Tunku Kudin.

"Disebabkan terlalu lama ditinggalkan suami, Mahsuri meminta izin bapa mentuanya untuk pulang ke kampung halamannya di Kampung Mawar buat sementara waktu.

"Fitnah ke atas Mahsuri dikatakan bermula daripada acara hiburan oleh seorang penglipur lara yang dikenali sebagai Deramang yang dihadiri Mahsuri di kampung berkenaan.

"Mahsuri dikatakan mempunyai pantunnya sendiri menyebabkan ada yang cemburu sehingga timbulnya fitnah.

"Antara pantun Mahsuri berbunyi, Harum semerbak si bunga tanjung, hati nak petik setangkai mawar; rindu dan dendam tidak terjunjung, budi sedikit jadi penawar," katanya.

Beliau berkata, disebabkan fitnah itu, Mahsuri dilaporkan kepada pihak berkuasa dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh Datuk Pekerma Jaya yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Wan Yahya.

Hukuman sepatutnya hanya boleh dijatuhkan Sultan, tetapi ia dilakukan Datuk Pekerma Jaya sehingga dikatakan menimbulkan penyesalan dalam kalangan keluarganya sampai hari ini.

"Saya difahamkan ada keturunan keluarga Datuk Pekerma Jaya pergi ke makam Mahsuri dan mengadakan majlis tahlil di situ hampir setiap minggu kerana penyesalan dirasai atas keterlanjuran dilakukan Datuk Pekerma Jaya terhadap Mahsuri," katanya.

Beliau berkata, Mahsuri memang dikuburkan di lokasi makamnya kini.

"Saya menafikan dakwaan Mahsuri dikuburkan di tempat lain kerana Mahsuri memang dimakamkan di lokasi sekarang.

"Binaan semula makam itu dilakukan atas cadangan Tunku Abdul Rahman Putra ketika beliau menjadi Pegawai Daerah Langkawi sekitar 1930-an," katanya.

Berita Harian X