Rabu, 29 April 2020 | 8:20am
Gambar fail Perdana Menteri Kanan, Justin Trudeau pada 19 Mac lalu. - Foto AFP
Gambar fail Perdana Menteri Kanan, Justin Trudeau pada 19 Mac lalu. - Foto AFP

Rakyat Kanada kecewa hand sanitizer pinggir bahasa Perancis

OTTAWA: Sebahagian rakyat Kanada menganggap tindakan tidak menggunakan bahasa Perancis dalam label produk kesihatan sebagai 'kebinasaan lingkungan' COVID-19.

Ia memaksa Perdana Menteri, Justin Trudeau mempertahankan kegagalannya menguatkuasa undang-undang mengkehendaki label dan perkhidmatan menggunakan kedua-dua bahasa rasmi.

Beliau terpaksa menjelaskan keputusan kerajaannya membenarkan bahan penyahjangkit import dengan label hanya dalam bahasa Inggeris dijual di negara mempunyai dua bahasa rasmi itu.

Trudeau menjelaskan ia dibuat disebabkan keadaan semasa yang mendesak.

"Dalam keadaan tertentu, kita bersedia untuk membenarkan tanda dan label dalam satu bahasa.

"Namun, kita sudah tentu mahu perkara ini tidak berlaku kerana prinsip dwibahasa bukan hanya persoalan identiti Kanada, bahkan mengenai keselamatan pengguna," katanya.

Tindakan itu mengejutkan minoriti penutur bahasa Perancis di Kanada yang menyifatkannya 'bahaya' dan 'tidak menghormati' pejuang yang bertungkus-lumus memulihara bahasa ibunda itu berabad-abad.

Menurut bancian terkini, hampir satu perempat daripada 37 juta rakyat Kanada menggunakan bahasa Perancis sebagai bahasa harian.

Senator Rene Cormier, berkata tiada suatu pun menunjukkan ia berpunca tidak hormat dua bahasa rasmi, sebaliknya ia isu kesihatan dan keselamatan.

Pesuruhjaya bahasa di Kanada, Raymond Theberge, melahirkan kekesalan terhadap kurangnya pengumuman awam kesihatan dalam bahasa Perancis di New Brunswick dan Ontario yang memiliki komuniti berbahasa Perancis yang besar.

Pengguna bahasa Perancis, beliau berkata, perlu memahami mesej yang disampaikan institusi kerajaan terutama ketika pandemik itu mengorbankan sekitar 3,000 rakyat Kanada.

Trudeau berkata, tidak semua syarikat yang mengubah kilang untuk menghasilkan peralatan kesihatan atau pensanitasi tangan umpamanya, memiliki kakitangan dwibahasa atau berupaya untuk merealisasikannya.

Selain itu, Kanada juga terpaksa mengimport bekalan penting lain yang tidak mematuhi peraturan label. - AFP

Berita Harian X