X
Rabu, 11 March 2020 | 1:39pm

Menangani cabaran industri buku kebangsaan

Kuala Lumpur: Mungkinkah akan tiba masanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lagi menerbitkan buku sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada industri?

Hal ini tidak mustahil berdasarkan ucapan pengulungan Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran pada acara Dialog Buku Negara yang berlangsung di DBP baru-baru ini.

DBP katanya, mungkin tidak perlu lagi menerbitkan buku, sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada industri. Ini kerana antara hasrat penubuhannya pada 1956 adalah, ‘untuk mencetak, menerbitkan atau membantu dalam percetakan atau penerbitan buku, majalah, risalah dan lain-lain bentuk kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain’.

“Kami tidak berniaga seperti penerbit lain, jadi tidak mahu bersaing dengan tuan puan,” katanya.

Persoalan persaingan DBP dan penerbit buku bersaiz kecil selalu diperkatakan beberapa tahun ini susulan ekonomi buku kebangsaan merudum.

Bagaimanapun ketika banyak penerbit kecil gulung tikar, DBP menjadi tempat kebanyakan penulis bergantung harap untuk menerbitkan buku apatah lagi setelah Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) juga gagal berbuat demikian disebabkan masalah kekangan kewangan

Justeru, ketika ini agak mustahil untuk DBP berbuat demikian selagi industri buku kebangsaan belum pulih.

Bagaimanapun, keterbukaan Abang Sallehudin dan beberapa tokoh buku kebangsaan seperti, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron; Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Mutalib Uthman untuk mendengar luahan dan saranan penggiat industri wajar diraikan.

Dialog Buku Negara yang diusahakan MBKM, DBP, PKB dan ITBM, antara ruang terbaik untuk semua pemain industri buku sama ada penerbit atau penulis berbincang serta mengumpul idea mengatasi cabaran ketika ini.

Antara pandangan menarik datang daripada Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA), Keith Thong yang menyebut, dunia perbukuan hari ini sudah tidak bersempadan dan peraturan mengasingkan penerbit dan penulis tidak lagi wujud.

Katanya, dunia perbukuan hari ini tiada peraturan khusus kerana semua pemainnya menjalankan pelbagai kerja, misalnya penulis turut berperanan sebagai penerbit juga pegawai pemasaran.

“Bagaimanapun, dalam satu hal misalnya mengenai genre penulisan mungkin ia tidak boleh diagih kepada semua kerana setiap penulis ada genre sendiri.

“Seorang penerbit dengan pelbagai tanggungjawab perlu melakukan semua perkara kerana itu kita perlu pandai. Lihat genre apa yang laris dan jual dalam pelbagai medium bukan hanya di kedai fizikal, tapi juga di media sosial,” katanya.

Tambah Thong, penggerak industri buku tempatan juga perlu melihat jauh dan tidak berlegar dalam pasaran negara. Dalam hal ini katanya, setiap penerbit tidak seharusnya bermusuh sebaliknya berbaik-baik untuk memastikan mereka berupaya menembusi pasaran negara.

“Kita susah jual buku kalau sedikit sahaja hendak dibawa ke sana, sebab itu kena lihat perspektif yang global, jangan gaduh dan jangan takut bersaing.

“Kita perlu bersatu dan bekerja sebagai satu industri,” katanya.

Pandangan Thong ternyata relevan kerana pasaran tempatan kelihatan semakin tepu.

Membaca selalu dikaitkan dengan pelajar serta aktiviti bersifat bahasa dan sastera sedangkan membaca itu adalah tabiat baik yang membentuk diri seseorang pembaca.

Disebabkan itu timbulnya pepatah yang mengaitkan dengan anda adalah apa yang anda baca.

Dalam hal membentuk pembaca itu antara respon dikemukakan oleh peserta Dialog Buku Negara adalah keperluan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk membina khalayak pembaca, terutama dari segi pembinaan korikulum dan pembelajarannya.

Mencambahkan minat membaca dan membeli buku sepatutnya dimulakan sejak peringkat awal.

Dalam dunia pembacaan kanak-kanak ia bermula dengan buku cerita, sama ada mengenal tubuh badan hingga kepada dongeng dan legenda.

Bagaimanapun, satu hal tidak boleh diremehkan adalah kecenderungan hari ini kepada buku digital.

Meskipun jumlah jualan buku fizikal masih tinggi berbanding buku digital atau e-buku di Malaysia dan Eropah, akan tiba masanya hal ini akan berlaku sebaliknya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X