X
Isnin, 2 March 2020 | 3:45pm
PENGARANG kelahiran Chile, Luis Sepulveda.
PENGARANG kelahiran Chile, Luis Sepulveda.

Pengarang Chile sah positif coronavirus

LISBON: Pengarang kelahiran Chile, Luis Sepulveda yang baru pulang dari festival sastera di Portugal, disahkan positif coronavirus (COVID-19).

Sepulveda, 70, yang kini menetap di utara Sepanyol mula menunjukkan simptom virus itu pada Selasa lalu selepas pulang ke kediamannya di Asturias.

Sabtu lalu, pihak berkuasa Asturias mengumumkan kes pertama COVID-19 dikesan tanpa mendedahkan identiti pesakit.

“Pesakit stabil. Isterinya berusia 66 tahun turut menunjukkan simptom terbabit dan sedang diuji. Kedua-duanya dimasukkan ke hospital,” kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa Portugal meminta sesiapa yang mempunyai kontak dengan Sepulveda di Festival Sastera Correntes d’Escritas, bulan lalu untuk menghubungi mereka.

Sehingga kini, Portugal belum mencatatkan kes disahkan COVID-19, manakala Sepanyol sudah mempunyai 73 kes.

Sepulveda dibuang dari Chile pada 1975 kerana aktiviti politiknya.

Hasil karyanya terkenal dengan jenaka ringkas dan gambaran kehidupan di Amerika Selatan termasuk The Old Man Who Read Love Stories dan The Story of a Seagull and the Cat Who Taught Her to Fly. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X