Khamis, 5 Disember 2019 | 4:07pm
Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto NSTP
Datuk Zainal Abidin Borhan. - Foto NSTP

Naskhah Melayu "jawab" kuasa asing

KUALA LUMPUR: Hampir semua naskhah Melayu yang dihasilkan dari abad ke-16 hingga abad ke-20 bukan sekadar satu bentuk penghasilan produk zaman, sebaliknya teks keagungan masa lalu untuk ‘menjawab’ kemasukan kuasa asing.

Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata hampir semua penulisan dan penyalinan pensejarahan pada ketika itu muncul pada permulaan kedatangan Portugis, Belanda dan Inggeris di alam ini khususnya di Tanah Melayu.

Zainal Abidin berkata, orang Melayu menjawab kemasukan kuasa penjajah dengan menghasilkan naskhah seperti Misa Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa yang mengandungi khazanah pemikiran, daya intelektual, keagungan, kebesaran, kekuatan Islam dan warisan daripada satu ketamadunan besar.

“Segala wilayah dari ruang fizikal yang dikuasai penjajah itu dijawab oleh Melayu, melalui kuasa tekstual yang amat definitif dan akan kekal daripada generasi kepada generasi yang lain.

“Seluruh penulisan dan penyalinan itu adalah jawapan Melayu kepada generasi pada masa itu mengenai keagungan silam, kekuasaan dan kebesaran raja Melayu,” katanya pada Pameran dan Persidangan Manuskrip Melayu 2019, yang berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), di sini.

Menurut Zainal Abidin, apa yang dilakukan melalui penulisan naskhah Melayu lama itu adalah sama seperti dilakukan sesetengah pengarang generasi masa kini, yang mempertahankan seluruh dasar kebangsaan pada dekad 1970-an.

“Ini dilakukan lantaran ada cabaran yang mahu meruntuhkan apa juga yang ditafsirkan sebagai kemelayuan atau Malay-centric.

“Sedangkan seluruh dasar kebangsaan atau nasional itu adalah untuk rakyat memandangkan adat, adat istiadat raja, kerajaan dan kesultanan, bahasa Melayu dan agama Islam serta rakyat Melayu adalah persoalan teras dalam paksi kemelayuan,” katanya.

Prof Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto NSTP
Prof Datuk Dr Awang Sariyan. - Foto NSTP

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan, berkata manuskrip Melayu lama yang menjadi khazanah penting bangsa merakam pandangan sarwa mengenai pelbagai peradaban bangsa, serta pertumbuhan dan perkembangan peradaban ratusan etnik di alam ini.

Awang berkata, selain menandakan ketinggian pemikiran serta permulaan tradisi ilmu yang membawa kepada peradaban lebih tinggi, penghasilan manuskrip Melayu lama meliputi pelbagai bidang itu turut menjadi permulaan perkembangan retorik dan wacana bahasa Melayu.

Bagaimanapun, sikap sekadar menghargai dan mengagumi kehebatan manuskrip Melayu lama itu katanya, tidak akan membawa manfaat besar kepada peningkatan peradaban Melayu.

Awang berkata, apa yang perlu dibuat kini ialah melakukan pemerolehan manuskrip Melayu lama dengan lengkap di pusat pendidikan dan penyelidikan di alam Melayu, terutamanya dalam bentuk digital daripada Universiti Leiden, Belanda; British Library dan Royal Asiatic Society (Britain).

“Isu besar yang dihadapi kini ialah kekurangan kajian dan analisis kandungan manuskrip, justeru penting untuk melantik pakar filologi dan ilmiah dalam bidang berkaitan peradaban Melayu, bagi tujuan penelitian intensif mengenai kandungan manuskrip lama.

“Kerajaan di alam Melayu juga perlu bersedia untuk menyediakan dana mencukupi bagi memastikan berlakunya usaha menerbitkan manuskrip Melayu lama dalam bentuk buku dan juga elektronik,” katanya.

Awang berkata, dalam masa sama, badan seperti PNM, DBP Malaysia dan Brunei, Pusat Pengembangan Bahasa dan Pustaka Indonesia, serta Yayasan Karyawan Malaysia dan universiti perlu meningkatkan program memajukan penelitian dan penerbitan manuskrip Melayu.

“Manuskrip Melayu lama mempunyai pertalian yang erat dengan pertumbuhan dan perkembangan peradaban umat Melayu, yang sifatnya merentas ratusan etnik di alam Melayu.

“Justeru, usaha mengangkat manuskrip ini akan menyumbang kepada peradaban Melayu dan sejagat, serta menjadi asas perencanaan pembangunan semasa dan akan datang,” katanya.

Berita Harian X