Jumaat, 15 November 2019 | 12:20pm
Pengarang dan pelarian, Behrouz Boochani. - Foto AlJazeera

Pengarang pelarian bebas lepas enam tahun ditahan

WELLINGTON: Pengarang dan pelarian, Behrouz Boochani akhirnya meninggalkan kem tahanan luar pesisir Pasifik ditadbir Australia yang dihuninya sejak enam tahun lalu, apabila sampai di New Zealand untuk berucap di festival sastera.

“Saya baru sahaja sampai di New Zeland. Saya sangat gembira mendapat kebebasan selepas lebih daripada enam tahun.

“Terima kasih kepada semua rakan yang merealisasikannya,” katanya dalam Twitter sebaik sahaja tiba di Auckland.

Pemerhati hak asasi manusia, Amnesty International dalam kenyataannya berkata, pihaknya menaja visa pelawat sebulan dan mendesak kerajaan Australia membebaskan ratusan orang yang ditahan di pusat tahanan luar pesisir itu.

Boochani berketurunan Kurdish Iran itu, ditahan di Pulau Manus, Papua New Guinea sejak ditangkap daripada bot pelarian dalam perjalanannya ke Australia pada 2013.

Boochani memberitahu Australian Broadcasting Corp bahawa beliau diterima untuk ditempatkan di Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian perjanjian pertukaran pelarian yang dipersetujui kerajaan Australia dengan AS.

Pihak terbabit juga akan melihat sama ada beliau dibenarkan untuk mengambil penerbangan ke lokasi baharunya dari New Zealand.

Beliau turut memberitahu Radio New Zealand bahawa akan memohon suaka daripada New Zealand sekiranya percubaannya ke AS gagal.

Sementara itu, Menteri Imigresen New Zealand dan Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia tidak memberikan maklum balas segera ketika mendapatkan kenyataan.

Boochani tiba di Christchurch pagi ini, mendapat sambutan selamat datang dan rantai batu hijau di lapangan terbang oleh Ngai Tahu, iaitu puak Maori tempatan.

Boochani menjadi pengkritik paling menonjol terhadap layanan tahanan di bawah polisi imigresen Australia yang keras.

Beliau menggambarkan perjalanan dan keadaannya dalam tahanan dalam bukunya, No Friends but the Mountains.

Menariknya, Boochani menulis manuskrip buku itu melalui telefonnya, sebelum menghantarkannya kepada penerbit di Australia melalui Whatsapp.

Buku itu meraih antara hadiah utama sastera berprestij di Australia, tahun ini.

Pemohon suaka yang dipintas di laut, akan dihantar untuk proses selanjutnya di PNG dan Pulau Nauru di Pasifik Selatan yang boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Pada masa sama, mereka dihalang daripada menetap di Australia.

New Zealand sudah lama menawarkan untuk mengambil 150 pemohon suaka dari kem luar pesisir Australia itu tetapi kerajaan tidak memberi perhatian terhadap tawaran itu. - Reuters

Berita Harian X