Isnin, 4 November 2019 | 2:16pm
Forum Pendoa Yang Ikhlas: Cabaran Adaptasi Novel Sastera ke Layar di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi yang menampilkan (dari kiri) Pengarah Telefilem Pendoa Yang Ikhlas, Wan Afzam Wan Daud; moderator, Dr Nur Afifah Vanitha Abdullah dan Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Fadli Al-Akiti. - Foto Hafiz Sohaimi

'Kesetiaan' boleh berubah, diubah

BANGI: Pembikin filem atau drama yang mengadaptasi karya sastera perlu ‘melangkau’ kesetiaan terhadap karya asal dengan menambah proses kreatif baharu melalui interpretasi semula pemikiran dan kefahaman.

Pengkritik filem, Fadli al-Akiti, berkata kerja mengadaptasi sesuatu karya sepatutnya memberi interpretasi berlainan terhadap karya asal dan bukan menyalinnya semula dalam bentuk baharu.

Beliau berkata, ketakutan sesetengah sutradara untuk mengadaptasi karya sastera sudah bermula sejak era 1980-an ketika muncul ‘suara’ pengarang asal yang melihat hasil adaptasi karya mereka.

Malah, pengikut setia sesuatu naskhah itu, kata Fadli, turut mengkritik habis-habisan jika merasakan karya adaptasi tidak menepati jalan asal naskhah.


Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Fadli Al-Akiti. - Foto Hafiz Sohaimi

Hakikatnya, sutradara bebas memberi interpretasi semula mengikut apa yang diketahui, dipegang dan disukainya.

“Adaptasi itu perlu disisip dan ditumpahkan dengan maknawi dan kesedaran. Saya sendiri suka jika persoalan kesetiaan terhadap karya cuba dilangkaui sutradara tanah air.

“Apa yang penting ialah memberi interpretasi semula dan warna terhadap naskhah asal,” katanya pada Forum Pendoa Yang Ikhlas: Cabaran Adaptasi Novel Sastera ke Layar di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Acara kendalian Penolong Dekan Keusahawanan dan Kreativiti FSSK UKM, Dr Nur Afifah Abdullah itu, turut menampilkan Pengarah Telefilem Pendoa Yang Ikhlas, Wan Afzam Wan Daud.

Pendoa Yang Ikhlas ialah karya Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 1988, Azizi Abdullah diterbitkan dengan judul sama untuk siaran Panggung RTM TV1 hasil kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Fadli Al-Akiti. - Foto Hafiz Sohaimi

Fadli yang juga Pegawai Perancang Bahasa DBP mengakui usaha mengadaptasi karya sastera berdepan cabaran tersendiri, termasuk tidak memberi banyak keuntungan kepada penerbit, tetapi usaha pembudayaan perlu dilakukan mendidik masyarakat menghargai karya sebegini.

Penghargaan perlu diberi kepada Unit Drama RTM kerana memiliki semangat menghidupkan adaptasi karya bermutu.

Malah lebih daripada itu, usaha mengangkat karya Azizi oleh Wan Afzam disifatkan sebagai penghasilan telefilem bermutu filem.

“Sentuhan Azizi menampilkan hal manusiawi atau inti manusia yang sangat halus dalam kehidupan orang Melayu.

“Menariknya, Wan Afzam melalui garapannya berjaya menonjolkan isu kekeluargaan menyentuh hal agama, isu sosio strata masyarakat dan sisi politik.

“Inilah yang menjadikan adaptasi cerpen Azizi kepada telefilem sebagai karya besar,” katanya pada acara anjuran DBP dengan kerjasama Kelab Pengajian Melayu FSSK UKM.


Pengarah Telefilem Pendoa Yang Ikhlas, Wan Afzam Wan Daud. - Foto Hafiz Sohaimi

Sementara itu, Wan Afzam berkata, tugas besar sebagai sutradara memerlukannya memahami dan menguasai subteks serta pemikiran cuba dibawa Azizi dalam Pendoa Yang Ikhlas.

“Isu latar atau mencari lokasi era 1980-an seperti digambarkan dalam naskhah bukan masalah tetapi lebih utama adalah untuk memahami subteks dan bagaimana perwatakan setiap watak tumbuh.

“Antara cabaran terbesar lain juga ialah untuk memvisualkan adegan imbas semula yang terlalu banyak digunakan dalam naskhah Azizi,” katanya pada forum diadakan sempena Canai Bahasa dan Sastera 2019

Meskipun mengakui mengikuti rapat pemikiran Azizi ketika mengadaptasi Pendoa Yang Ikhlas, Wan Afzam membuat keputusan menyerlahkan watak Ibu yang disifatkannya sebagai tulang belakang dalam naskhah.

“Watak itu terlalu sedikit disebut dalam cerpen tetapi sebagai sutradara, saya kira penting untuk menyerlahkannya apatah lagi dengan peranan besar dimainkannya,” katanya.

Pandangan dalam forum itu wajar membuka kesedaran terutama dalam kalangan sasterawan dan pengarang supaya tidak bimbang karya mereka ‘disunting’ pembikin filem serta drama.

Mereka perlu memberikan kebebasan kreatif kepada penulis skrip dan pengarah untuk menterjemahkannya ke dalam bahasa filem.

Berita Harian X