Isnin, 21 Oktober 2019 | 11:23am
Mutiara berusia 8,000 tahun akan dipamerkan di Louvre Abu Dhabi. - Foto oleh Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi / AFP

Mutiara tertua di dunia ditemui di Abu Dhabi

ABU DHABI: Mutiara berusia 8,000 tahun yang dikatakan tertua di dunia, akan dipamerkan di sini.

Penemuan itu menjadi bukti objek berkenaan sudah diperdagangkan sejak zaman Neolitik.

Mutiara asli itu ditemui dalam lantai sebuah bilik yang dijumpai ketika eskavasi di Pulau Marawah di luar ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dianggap binaan arkitek terawal di negara berkenaan.

Pengerusi Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi, Mohamed Al-Muabarak, berkata pentarikhan karbon lapisan mutiara itu menunjukkan ia antara 5800 hingga 5600 SM ketika zaman Neolitik.

“Penemuan mutiara tertua di dunia itu, menjelaskan ekonomi semasa dan sejarah kebudayaan kami mempunyai akar yang sekian lama sejak zaman prasejarah lagi,” katanya dalam kenyataan kepada AFP di sini.

Eskavasi di tapak Marawah yang memiliki beberapa struktur runtuhan batu Neolitik turut mengandungi seramik, kalung diperbuat daripada kulit kerang dan batu serta mata panah daripada batu api.


Mutiara berusia 8,000 tahun akan dipamerkan di Louvre Abu Dhabi. - Foto oleh Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi / AFP

‘Mutiara Abu Dhabi’ itu akan dipamerkan buat kali pertama di Pameran 10,000 Tahun Kemewahan yang akan dibuka di Louvre Abu Dhabi - cawangan daripada muzium terkenal di Paris - bermula 30 Oktober ini.

Pakar sejarah UAE percaya mutiara didagangkan dengan Mesopotamia - Iraq purba - yang menukarkannya dengan seramik dan barangan lain. Ia dipercayai digunakan sebagai perhiasan.

“Pedagang permata Venetian, Gasparo Balbi, yang melalui wilayah itu, menyebut pulau di luar perairan Abu Dhabi sebagai sumber mutiara pada abad ke-16,” kata kenyataan itu.

Industri mutiara pernah menguasai ekonomi UAE tetapi perdagangan itu runtuh pada dekad 1930-an dengan kemajuan mutiara biakan Jepun, selain konflik yang menggoncangkan ekonomi global.

Negara Teluk kemudian beralih kepada industri minyak yang menguasai ekonomi mereka hingga hari ini.

Berita Harian X