Khamis, 10 Oktober 2019 | 11:34am
Dua pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan bakal diumumkan pada hari ini. - Foto AFP

Hadiah Nobel Sastera pascaskandal bakal diumum hari ini

STOCKHOLM: Dua pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan bakal diumumkan hari ini, sekali gus menampung ‘kekosongan’ tahun lalu apabila penganugerahannya ditunda ekoran skandal gangguan seks.

Pakar menjangkakan Akademi Sweden akan mengelak sebarang kontroversi dalam pilihan penerimanya dalam usaha untuk menjarakkannya daripada skandal yang menyaksikan suami kepada salah seorang anggotanya dipenjarakan atas kesalahan merogol.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai penerima hadiah tahun ini ialah penyair Kanada, Anne Carson; pengarang Kenya, Ngugi Wa Thiong’o dan sasterawan Perancis, Guadeloupean Maryse Conde.

Spekulasi khalayak sastera Stockholm pula berlegar pada penyair dan novelis Romania, Mircea Cartarescu serta pengarang dan aktivis Poland, Olga Tokarczuk.

Akademi Sweden yang ditubuhkan pada 1786, bertungkus-lumus untuk memperbaiki reputasinya selepas meletupnya skandal membabitkan tipu muslihat, pertembungan kepentingan, gangguan seksual dan budaya membisu dalam kalangan 18 ahlinya yang selama ini dianggap penjaga kebudayaan negara itu.

Pendedahan itu mengejutkan Sweden, iaitu negara beraliran Luther yang berbangga dengan ketelusan dan demokrasi bebas serta tidak bertolak-ansur terhadap sebarang ketidaksamaan.

Terkapai-kapai dalam menangani kontroversi itu, Akademi yang bertanggungjawab memilih pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan, menangguhnya penganugerahan edisi 2018 hingga ke tahun ini - kali pertama berlaku dalam tempoh 70 tahun.

Kini melalui penyusunan semula dengan ahli dan peraturan baharu, institusi itu akan mengumumkan dua pemenang, masing-masing untuk edisi 2018 serta 2019 pada jam 1 tengah hari waktu tempatan (7 malam ini).

Institusi itu dipercayai akan memilih pengarang yang tidak akan mencetuskan sebarang kontroversi dan salah seorang daripadanya hampir pasti dalam kalangan wanita, kata kebanyakan pengkritik yang diwawancara AFP.

Ia berdasarkan rekod hanya 14 wanita daripada 114 penerima hadiah sastera berkenaan sejak 1901.

Akademi tidak mendedahkan senarai pendek. Spekulasi mengenai pemenang berpotensi yang biasanya tidak lebih daripada permainan tekaan, menjadi semakin hangat ekoran banyak perubahan berlaku dalam institusi itu.

Antara nama yang disebut-sebut ialah penulis fiksyen China, Can Xue; pengarang Jepun, Haruki Murakami; novelis Russia, Lyudmila Ulitskaya; novelis Amerika Syarikat (AS), Joyce Carol Oates dan warga Kanada, Margaret Atwood.

Kisah malang Akademi bermula pada November 2017 apabila ahlinya berselisih terhadap cara mengendalikan hubungan rapatnya dengan warga Perancis, Jean-Claude Arnault yang dituduh dan kemudian disabitkan dengan jenayah merogol.

Arnault ialah suami kepada Katarina Frostenson, iaitu ahli Academi yang kemudian meletak jawatan ekoran skandal itu yang pecah di tengah-tengah kemuncaknya gerakan antigangguan seksual terhadap wanita, #MeToo.

Pasangan itu turut menguruskan kelab kebudayaan di Stockholm yang menerima dana daripada badan berkenaan.

Kesannya, tujuh ahli berhenti daripada Akdaemi termasuk Setiausaha Tetapnya, Sara Danius.

“Daripada dianggap kemuncak singgahsana dunia sastera, Hadiah Nobel kini dikaitkan dengan #MeToo dan organisasi yang gagal,” kata pengkritik sastera Sweden, Madelaine Levy.

Kerusi kosong sejak itu sudahpun diisi kembali dan profesor sastera, Mats Malm mengambil alih jawatan Setiausaha Tetapnya pada Jun lalu.

Malm berkata, perubahan yang dibuat sangat produktif dan kami menaruh harapan kejayaannya pada masa depan.

“Bagaimanapun, usaha keras masih diperlukan dan kami sangat yakin terhadap hal itu,” katanya dalam wawancara sebelum ini.

Sementara itu, bekas penerbit, Svante Weyler, berkata beliau meyakini reputasi Akademi dan hadiah itu boleh diperbaiki tetapi hanya melalui pemilihan pemenang yang bijak.

Beliau turut menjangkakan Akademi berusaha untuk mengelak sebarang kontroversi dan mungkin memilih pengarang yang sudahpun dipandang tinggi dalam dunia sastera dan diterima meluas.

“Sudah tentu, bukan pengarang yang boleh mencetuskan perbincangan politik yang kontroversi,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penulis buku skandal Akademi, Olivier Truc, mengingatkan institusi itu pernah terkait dengan kontroversi sebelum ini.

“Sebagai contoh, anugerah itu pernah diberikan kepada dua ahli Akademi,” katanya merujuk kepada keputusan pada 1974 unutk menobatkan Harry Martinsson dan Eyvind Johnson.

Begitu juga pemilihan penulis lirik dan penyanyi Amerika Syarikat (AS), Bob Dylan pada 2016 turut menimbulkan persoalan terhadap pertimbangan yang dibuat Akademi.

Akademi sudah biasa menjadi wasit tunggal terhadap siapa yang dianugerahkan Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Bagaimanapun, susulan tuntutan perlunya pandangan luar daripada Yayasan Nobel yang bertanggungjawab mengendalikan wang hadiah, jawatankuasa pemilih diubah dengan memasukkan dua ahli di luar badan berkenaan.

Ekoran reputasi tercemar Akademi itu, Levy turut membangkitkan kemungkinan bahawa pengarang yang bakal diumumkan mungkin menolaknya - seperti ahli falsafah Perancis, Jean-Paul Sartre lakukan pada 1964.

Levy berkata, pemenang tahun ini - terutama pengarang lelaki - boleh menjangkakan karya dan kehidupan peribadi mereka akan diselidik dan diperiksa betul-betul terutama dalam konteks ekspresi misogoni.

Berita Harian X