Isnin, 7 Oktober 2019 | 12:50pm
TOPSHOT - A man opens the door of the Alfred Nobel Museum in Stockholm, Sweden on October 4, 2019. - The "Nobel week" of announcements will begin on October 7, 2019 with the Physiology or Medicine prize. (Photo by Jonathan NACKSTRAND / AFP)

Hadiah Perubatan buka tirai Nobel, tutup skandal sastera

STOCKHOLM: Pengumuman Hadiah Nobel Perubatan hari ini akan membuka tirai musim Nobel 2019 dengan dua penerima hadiah sastera akan dinobatkan selepas ditunda tahun lalu kerana skandal, manakala spekulasi turut meramalkan aktivis remaja, Greta Thunberg mungkin meraih Hadiah Keamanan.

Pemenang Hadiah Perubatan akan diumumkan di sini, jam 11.30 pagi waktu tempatan (5.30 petang ini). Ia akan disusuli hadiah untuk bidang fizik, esok; kimia (Rabu); sastera (Khamis) dan ekonomi (14 Oktober).

Antara tempoh itu, Hadiah Keamanan dianugerahkan di Oslo, Jumaat ini dengan aktivis remaja alam sekitar, Greta dilihat sebagai calon kegemaran.

Ramalan pemenang berpotensi sebenarnya sangat sukar ekoran institusi yang menganugerahkannya merahsiakan nama calon sejak 50 tahun lalu.

Bagi Hadiah Keamanan, Jawatankuasa Nobel Norway hanya mendedahkan pihaknya menerima 301 pencalonan pada tahun ini.

Secara tradisionalnya, ia tertumpu kepada isu yang menarik perhatian masyarakat, sekali gus menjadikan jawatankuasa itu sudah pasti mengambil kira ‘fenomena Greta’ dan semangat luar biasa yang dipercikkan melalui kempen meningkatkan kesedaran perubahan iklim dalam kalangan generasi muda.

Pakar bagaimanapun masih berbelah bahagi sama ada wujud hubungan sebenar antara konflik bersenjata dengan perubahan iklim.

Ketua Institut Penyelidikan Keamanan, Oslo, Henrik Urdal, menganggap ‘hampir mustahil’ untuk aktivis berusia 16 tahun itu akan menang, selain menambah faktor usia turut menghalang kemenangannya.

Pemenang termuda setakat ini ialah Malala Yousafzai yang memenangi Hadiah Keamanan pada 2014 pada usia 17 tahun.

Nama lain yang turut diperkatakan ialah Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed yang berjaya mengusahakan perjanjian keamanan dengan musuh tradisi negaranya, Eritrea dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Reporters without Borders dan Committee to Protect Journalists.

Bagi Hadiah Perubatan, Institut Karolinska Institute menerima 633 pencalonan.

Stesen radio Sweden, SR, meramalkan penghormatan itu mungkin diberikan kepada pakar genetik Amerika Syarikat kelahiran Lubnan kerana penemuan mutasi genetik yang membawa kepada gangguan otak, Sindrom Rett.

Akhbar harian terbesar Sweden, Dagens Nyheter (DN) pula berkata, pakar imunologi, Marc Feldmann dari Australia dan penyelidik British kelahiran India, Ravinder Maini mungkin memenanginya kerana penyelidikan terhadap artritis reumatoid.

Warga AS, Mary-Claire King, yang menemui gen BRCA1 yang menjadi punca kepada pembentukan barah payudara secara keturunan turut disebut-sebut.

DN berkata, Hadiah Fizik pula mungkin diraih dalam bidang penyelidikan fizik kuantum, iaitu saintis AS, John Clauser, Alain Aspect (Perancis) dan Anton Zeilinger (Austria).

Ronald Hanson dari Belanda juga mungkin memenanginya lewat penyelidikan terhadap kekusutan kuantum, kata SR.

Bagi Hadiah Kimia, saintis AS, John Goodenough, yang mencipta bateri litium mungkin akan menjadi penerima tertua Nobel pada usia 97.

Namun, ia juga mungkin dimenangi dua wanita, Emmanuelle Charpentier dari Perancis dan Jennifer Doudna (AS) untuk teknik penyuntingan gen yang dikenali sebagai alat pemutaran DNA CRISPR-Cas9, iaitu sejenis ‘gunting’ genetik yang digunakan untuk membuang gen bermutasi dalam embrio manusia dan menggantikannya dengan versi yang diperbaiki.

Warga Amerika kelahiran China, Feng Zhang yang turut mendakwa berjaya mencipta teknik itu juga berkemungkinan untuk meraih Hadiah Perubatan.

Tahun lalu, Akademi Sweden yang menganugerahkan Hadiah Kesusasteraan digegarkan dengan skandal gangguan seksual yang mendedahkan konflik berakar umbi dalam kalangan 18 anggotanya.

Buat pertama kali dalam tempoh 70 tahun, tanpa memiliki korum untuk membuat keputusan penting, ia menunda penganugerahan Nobel 2018.

Kesannya, dua penerima anugerah sastera akan diumumkan pada tahun ini, masing-masing untuk 2018 dan 2019.

Pengkritik sastera di akhbar Svenska Dagbladet, Madelaine Levy, menimbulkan kemungkinan risiko pemenang menolak hadiah itu sekiranya mereka mengambil kira ia dicemari dengan skandal terbabit.

Akademi itu menghabiskan setahun untuk menyelesaikan isu berkenaan dan mengembalikan maruahnya, sekali gus menjadikan ia akan mengelak sebarang kontroversi dalam pemilihan pemenang.

Antara pengarang yang disebut-sebut pengkritik mungkin memenanginya ketika ditanya AFP ialah Olga Tokarczuk (Poland); Ngugi Wa Thiong’o (Kenya); Ismail Kadare (Albania); Joyce Carol Oates (AS) dan Haruki Murakami (Jepun).

Berbeza dengan hadiah Nobel lain yang dianugerahkan sejak 1901, Hadiah Ekonomi menjadi satu-satunya anugerah yang tidak diperkenalkan pengasasnya, dermawan dan pencipta dinamit, Alfred Nobel dalam wasiatnya pada 1895.

Ia diperkenalkan pada 1968 untuk menyambut ulang tahun Bank Pusat Sweden ke-300 dan dianugerahkan buat pertama kali pada 1969.

Antara penerima berpotensi pada tahun ini ialah tiga wanita berdasarkan pandangan pengulas ekonomi, Micael Dahlen: Anne Krueger dari AS kerana penyelidikannya dalam perdagangan antarabangsa; Carmen Reinhart dari AS kerana kajiannya mengenai hutang negara dan pertubuhan serta ahli ekonomi bantuan pembangunan Perancis, Esther Duflo.

Setiap tahun, Nobel menganugerahkan hadiah bernilai 9 juta kronor Sweden (RM3.8 juta) yang akan dikongsi sekiranya memiliki lebih daripada satu pemenang dalam setiap kategori.

Berita Harian X