Ahad, 6 Oktober 2019 | 2:34pm
Sebuah universiti di Afrika Selatan dikritik kerana pamerkan lukisan karya lelaki yang dipenjara kerana membelasah seorang pelacur hingga mati. Gambar hiasan. - Foto NSTP

Lukisan pembunuh pelacur cetus kemarahan Afrika Selatan

JOHANNESBURG: Sebuah universiti di Afrika Selatan dikritik kerana mempamerkan lukisan karya lelaki yang dipenjara kerana membelasah seorang pelacur hingga mati, sekali gus membangkitkan kemarahan umum di negara yang dianggap antara paling berbahaya kepada wanita.

Karya Zwelethu Mthethwa itu dipamerkan di Pusat Seni Javett, Universiti Pretoria hingga September ini.

Dia dijatuhkan hukuman 18 tahun penjara pada 2017 kerana membunuh Nokuphila Kumalo, 23, empat tahun sebelumnya.

Karyanya yang dihasilkan pada 1996, The Wedding Party menampilkan pengantin lelaki menerima ucapan tahniah tetapi pasangannya tidak menghiraukannya sambil menghirup minuman.

Pasukan Petugas Pendidikan dan Sokongan Pekerja Seks (SWEAT) dalam kenyataannya berkata, lukisan itu perlu dibuang sebagai menghormati keluarga Kumalo dan mengambil kira ‘keganasan yang dilakukan terhadap rakyat berisiko dan terpinggir di Afrika Selatan.’

Afrika Selatan bergelut dengan isu keganasan terhadap wanita dengan sekurang-kurangnya 137 jenayah kesalahan seksual berlaku setiap hari berdasarkan angka rasmi.

Pada Ogos sahaja, lebih 30 wanita dibunuh pasangan mereka.

Bagaimanapun, pusat seni universiti itu mempertahankan kurator Pameran All in Day’s Eye: The Politics of Innocence dengan alasan lukisan Mthethwa itu dimasukkan dengan tujuan tunggal untuk menunjukkan ‘bukti’ yang memfokuskan bagaimana kebencian terhadap wanita sarat dalam lukisannya selama ini.

Rangkaian media sosial turut dipenuhi dengan kemarahan terhadap lukisan itu. - AFP

Berita Harian X