Jumaat, 4 Oktober 2019 | 5:51pm
Buku Good Night Stories for Rebel Girls yang memberikan motivasi kepada pembaca generasi muda khususnya kanak-kanak dan remaja perempuan diklasifasikan sebagai pornografi oleh Turki. - Foto ihsan Wikimedia Commons

Good Night Stories for Rebel Girls diklasifikasi lucah

ISTANBUL: Turki mengharamkan sebahagian buku Good Night Stories for Rebel Girls yang terjual jutaan naskhah dan mengklasifikasikannya sebagai pornografi kerana pengaruh buruk kepada generasi muda.

Buku yang diterbitkan dalam 47 bahasa itu, menawarkan kumpulan kisah memberi inspirasi mengenai wanita berdasarkan sejarah kepada kanak-kanak.

Namun, lembaga yang melindungi kanak-kanak daripada penerbitan lucah dalam kenyataannya berkata, sebahagian penulisan dalam buku itu akan memberikan pengaruh buruk kepada pembaca di bawah 18 tahun.

Ia bermakna, buku itu hanya boleh dijual kepada pembeli berusia lebih 18 tahun dan tidak didedahkan di kedai.

Sementara itu, pengarang buku itu yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Francesca Cavallo, berkata beliau sedih dengan keputusan berkenaan.

“Remaja perempuan berhak untuk membesar dalam persekitaran yang mempunyai lebih ramai contoh teladan dalam kalangan wanita.

“Mereka berhak membesar dengan berfikir boleh menjadi apa sahaja yang dicita-citakan.

“Apabila kerajaan takut kepada buku kanak-kanak yang mempromosi kesaksamaan, ia bermakna usaha menyebarkan mesej melalui sastera kanak-kanak mempunyai kesan, sekali gus memotivasikan saya untuk terus berjuang setiap hari,” katanya kepada AFP.

Buku itu menjadi fenomena penerbitan sejak muncul pada 2016 dalam kempen Kickstarter yang paling berjaya, sekali gus melahirkan sekuel, terbitan turunan (spin-off) dan tiruan.

Cavallo berkata, satu-satunya kesukaran yang dihadapi penerbitan buku itu hingga kini ialah keputusan Russia untuk menapis kisah remaja transgender yang menjadi antara profil dalam buku berkenaan.

Persatuan Penerbit Turki dalam kenyataannya berkata, keputusan kerajaan itu ‘bahaya dalam perspektif kebebasan meluahkan perasaan dan media serta mengancam prinsip dalam masyarakat demokratik.’

Persatuan itu juga menjelaskan pihaknya menunggu keputusan berkenaan diberikan secara rasmi kepada mereka sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Berita Harian X