Jumaat, 4 Oktober 2019 | 2:43pm
Misi mendokumentasi bahasa Melanau dapat memelihara khazanah budaya suku kaum itu. Gambar hiasan. - Foto L Manimaran

Kamus Mato Daro-Melayu bakal pelihara bahasa Melanau

DARO: Daftar kata dan kamus yang menterjemahkan bahasa suku kaum Melanau kepada bahasa Melayu dijangka diterbitkan pada tahun depan.

Bekas Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sharifudin Yusop, berkata kamus itu memfokus bahasa Melanau bagi kawasan Matu, Daro dan Pulau Bruit.

Mohd Sharifudin berkata, misi pendokumentasian bahasa Melanau di kawasan itu di bawah projek Pelestarian Bahasa Sukuan dan Bahasa Daerah UNESCO-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)-Kementerian Pendidikan berjalan sejak Januari lalu.

“Kemajuan pendokumentasian bahasa Melanau bagi kawasan Matu, Daro dan Pulau Bruit ini mencapai sekitar 60 peratus. Kamus ini kita jangka dapat diterbitkan pada tahun depan,” katanya kepada BERNAMA pada Kolokium Bahasa Melanau Matu, Daro dan Pulau Bruit di Pejabat Daerah Daro di sini, hari ini.

Mohd Sharifudin yang juga perunding dan pakar rujuk disiplin antropologi linguistik khusus berkaitan bahasa Orang Asli dan bahasa sukuan di Sabah serta Sarawak sejak 2013 berkata, pendokumentasian itu turut merangkumi pensahihan fonetik bahasa berkenaan.

Beliau berkata, segala daftar kata yang dibuat bukan semata-mata menekankan ejaan malah didokumentasi mengikut sebutan penutur jati bahasa itu dengan menggunakan sistem transkripsi fonetik yang dikenali sebagai Abjad Fonetik Antarabangsa (IPA).

“Ini untuk memastikan bahasa Melanau di kawasan ini kekal sampai bila-bila mengikut sebutan penutur jatinya walaupun mungkin sudah tiada lagi pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 50 peserta daripada kawasan terbabit yang dibahagikan kepada lima kumpulan sama-sama memikir dan mencadangkan nama sesuai bagi kamus itu kelak.

Selepas dibentangkan dengan hujah berpandukan kepada sejarah tempatan, kamus itu akan dinamakan sebagai Kamus Mato Daro - Melayu.

Untuk rekod, bahasa Melanau Matu, Daro dan Pulau Bruit tidak ketara perbezaannya antara satu sama lain tetapi berbeza dengan bahasa Melanau bagi kawasan lain seperti Belawai-Rejang, Mukah, Dalat, Balingian, Bintulu dan Miri.

Berita Harian X