Jumaat, 4 Oktober 2019 | 12:15pm
Lukisan berjudul Devolved Parliament karya seniman jalanan misteri British, Banksy. - Foto AFP

Lukisan 'parlimen monyet' pecah rekod Banksy

LONDON: Lukisan seniman jalanan misteri, Banksy yang menggambarkan parlimen British dipenuhi monyet cimpanzi memecah rekod artis itu apabila nilai bidaannya mencecah hampir £9.9 juta (RM50 juta).

Rumah lelongan Sotheby dalam kenyataannya berkata, karya pada 2009 work berjudul Devolved Parliament itu dijual pada harga £9,879,500 (RM51,049,196) selepas bidaan dibuat antara 10 pembida selama 13 minit.

“Rekod harga lukisan Banksy dipecahkan dalam lelongan pada malam ini. Rugi saya tidak lagi memilikinya,” kata artis itu dalam Instagramnya.

Rekod bidaan karya Banksy sebelum ini AS$1.87 juta (RM7.8 juta) melalui Keep it Spotless yang dilelong di Sotheby, New York pada 2008.

Devolved Parliament sebelum ini hanya dijangka mencecah £1.5 juta hingga £2 juta (RM7.8-RM10.3 juta).

Lukisan minyak berukuran 4.2 x 2.5 meter yang tidak berbingkai itu, menjadi karya terbesar artis yang hingga kini tidak dikenali.

Ia menunjukkan monyet cimpanzi berada di kerusi Dewan Rakyat berdasarkan sudut pandangan pintu masuk utama.

Jualan itu berlaku selepas kontroversi Parlimen Britain digantung selama lima minggu oleh Perdana Menteri, Boris Johnson yang kemudiannya dianggap menyalahi undang-undang berdasarkan penghakiman Mahkamah Agung.

Ia juga terjadi sebelum Britain dijadualkan meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 31 Oktober ini.

Parlimen dijadualkan untuk kembali pada 14 Oktober ini tetapi bersidang semula pada 25 September lalu selepas mahkamah tertinggi Britain membatalkan pergantungan itu.

Apabila parlimen kembali bersidang, ahli parlimen mengambil kesempatan untuk membantah pergantungan itu dengan marah dan kemudian bertengkar mengenai sama ada bahasa yang digunakan terlalu keras atau tidak.

Speakernya, John Bercow, berkata mereka terbabit dalam perbahasan paling buruk yang pernah disaksikan sejak dilantik di Dewan Rakyat dalam tempoh 22 tahun.

“Tidak dapat disangkal lagi, kita menyaksikan Parlimen sejak beberapa bulan dan minggu lalu menjadi teledrama, tidak hanya di United Kingdom (UK), bahkan seluruh Eropah dan dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seni Kontemporari Sotheby Eropah, Alex Branczik, berkata karya itu menunjukkan kemerosotan parlimen demokratik tertua di dunia hingga menjadi kelakuan haiwan yang berpuak-puak seperti yang disaksikan di televisyen.

“Kepintaran sebenar Banksy terletak kepada kemampuannya untuk merendahkan debat sangat kompleks kepada satu imej mudah.

“Lebih penting lagi, ia sudah dikongsi dalam era media sosial dan populasi yang sangat mengutamakan imej,” katanya kepada AFP.

Banksy mempersembahkan karya itu buat pertama kali di pameran di kota kelahirannya, Bristol di barat daya England pada sedekad lalu tetapi dengan judul Question Time.

Beliau kemudian menghasilkan semula karya itu dan menamakannya kembali memalapkan cahaya dan menjungkirbalikkan wajah seperti pisang.

Penjual membeli karya itu daripada Banksy pada 2011.

Katalog karya menyifatkannya kuat dan tajam, mantap serta kasar, catan monumental Banksy mengenai Dewan Rakyat menawarkan wawasan dalaman terhadap wajah politik kontemporari Britain yang kian kacau-bilau.

“Karya seninya yang mengejek, mencetuskan pandangan berbelah bahagi tetapi sama ada kita menyukai atau membencinya, pengaruhnya sangat luas terhadap seni kontemporari dan budaya bandar yang tidak dapat dinafikan,” katanya.

Ia turut mencatatkan: “Karya ini turut dibekalkan dengan sijil kawalan perosak.

Banksy turut menghasilkan lukisan lagi pada 29 Mac lalu apabila Britain pada asalnya dijadualkan untuk meninggalkan EU.

Lelongan semalam berlaku hampir setahun selepas sebahagian karya Banksy, Girl With The Balloon dimusnahkan sebaik sahaja selesai dibida, sekali gus kini dikenali dengan nama baharu, Love Is In The Bin.

Berita Harian X