Khamis, 3 Oktober 2019 | 1:29pm
Dua sasterawan bakal diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun ini selepas penganugerahannya ditunda pada tahun lepas ekoran skandal gangguan seksual. - Foto AFP

Dua pemenang Hadiah Nobel Sastera selepas skandal seks

STOCKHOLM: Dua sasterawan bakal diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun ini selepas penganugerahannya ditunda pada tahun lepas ekoran skandal gangguan seksual.

Anugerah antarabangsa berprestij itu turut diwarnai dengan spekulasi pencalonan aktivis remaja alam sekitar, Greta Thunberg untuk Hadiah Nobel Keamanan meskipun pakar mengambil sikap berhati-hati.

Bagaimanapun, sebarang ramalan pemenang hampir mustahil diteka kerana senarai calon dibuat Jawatankuasa Nobel tidak didedahkan umum hingga pengkaji berbelah bahagi sama ada dimenangi aktivis alam sekitar atau berkaitan konflik keganasan.


Hadiah Nobel Kesusasteraan bakal dianugerahkan di Concert Hall di Stockholm, Sweden. - Foto AFP

Sehari sebelum pengumuman Hadiah Keamanan di Oslo pada 11 Oktober ini, Akademi Sweden yang menganugerahkan Hadiah Kesusasteraan akan mendedahkan pilihan mereka di Stockholm.

Badan sastera itu bertungkus-lumus untuk mengembalikan kehormatan selepas pecahnya skandal membabitkan aktiviti licik, konflik kepentingan dan budaya mengunci mulut serta gangguan seksual.

Sejak sekian lama dianggap sebagai obor budaya Sweden, anggota Akademi saling mengecam di media, manakala tujuh daripada 18 ahlinya meletak jawatan.

Buat pertama kali dalam tempoh 70 tahun, hadiah pada 2018 ditunda apabila korum tidak cukup dalam mesyuarat untuk membuat keputusan penting.


Dua sasterawan bakal diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun ini selepas penganugerahannya ditunda pada tahun lepas ekoran skandal gangguan seksual. - Foto AFP

Pada tahun ini, pemenang Hadiah Sastera akan diumumkan untuk edisi 2018 dan 2019 yang masing-masing akan dianugerahkan pingat emas serta 9 juta kronor (RM3.8 juta).

Pengkritik sastera akhbar Svenska Dagbladet, Madelaine Levy, berkata hadiah itu akan diberikan kecuali pemenang menolaknya kerana menganggap anugerah berkenaan sudah tercemar.

Setiap tahun sejak hadiah yang pertama kali dianugerahkan pada 1901 itu, menyaksikan kelompok sastera akan heboh dengan spekulasi - yang biasanya lebih mencerminkan harapan peribadi berbanding pengamatan sebenar terhadap kecenderungan Akademi.

Antara nama yang disebut ialah penulis Poland, Olga Tokarczuk; pengarang Kenya, Ngugi Wa Thiong’o; sasterawan Albania, Ismail Kadare; novelis Amerika Syarikat (AS), Joyce Carol Oates dan karyawan Jepun, Haruki Murakami.

Akademi dijangka akan mengelak daripada sebarang kontroversi pada tahun ini dengan memilih calon konservatif, manakala pemenang pula diramalkan sekurang-kurangnya seorang wanita.

Keputusan tidak ortodoks untuk menganugerahkannya kepada penyanyi dan penulis lirik AS, Bob Dylan pada 2016 mencetuskan kemarahan kelompok tradisionalis.

Kesannya dapat dilihat pada 2017 apabila ia dimenangi pengarang Remains of the Day, Kazuo Ishiguro yang juga novelis kelahiran Jepun dan warga negara British yang dilihat sebagai pilihan jalan tengah.

Kekecohan Akademi bermula November 2017 apabila 18 wanita membuka mulut kepada media dan menuduh tokoh budaya yang rapat dengan Akademi dengan dakwaan keganasan dan gangguan seksual serta rogol.

Ia berlaku tidak lama selepas gelombang gerakan anti-seksisme global #MeToo tercetus ekoran tuduhan terhadap maharaja filem AS, Harvey Weinstein.

Dalam skandal Sweden, tokoh budaya yang didedahkan itu ialah Jean-Claude Arnault, iaitu warga Perancis yang berkahwin dengan anggota Akademi, Katarina Frostenson.

Tuduhan itu mencetuskan perselisihan dalam institusi berkenaan mengenai cara mengendalikan hubungan dengan tertuduh, sekali gus meledakkan pergelutan kuasa.

Dalam tindakan yang sangat jarang berlaku, Penaung Akademi, King Carl XVI Gustaf masuk campur dengan mengubah peraturan yang membolehkan anggota - dilantik sepanjang hayat - untuk meletakkan jawatan.

Arnault sudah pun disabitkan dengan jenayah rogol dan dipenjara dua tahun setengah, manakala isterinya berhenti daripada Akademi.

Dengan melantik anggota baharu, Akademi bersumpah untuk lebih telus.

Sementara itu, Hadiah Nobel Keamanan pada tahun lalu dimenangi dua wira yang berjuang menentang keganasan seksual di Congo, doktor bedah, Denis Mukwege dan aktivis Yazidi, Nadia Murad.

Antara yang diramalkan memenangi pada tahun ini ialah aktivis alam sekitar dari Sweden, Greta Thunberg, yang baru-baru ini memenangi penghormatan tertinggi daripada Amnesty International.

Remaja 16 tahun itu berjaya menghimpunkan sokongan jutaan golongan muda sejak memulakan School Strike for the Climate secara bersendirian di luar Parlimen Sweden pada Ogos tahun lalu.

Pengarah Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa SIPRI di Stockholm, Dan Smith, berkata apa yang dilakukan itu sepanjang tahun sangat hebat.

“Perubahan iklim ialah isu yang sangat berkait dengan keselamatan dan keamanan,” katanya kepada AFP.

Bagaimanapun, rakan sejawatannya daripada Institusi Penyelidikan Keamanan Oslo, Henrik Urdal, berkata beliau tidak fikir remaja itu akan menang.

“Hampir mustahil ia berlaku kerana faktor usia muda dan fakta yang menghubungkan antara perubahan iklim dengan konflik bersenjata masih belum dibuktikan,” katanya.

Turut disebut-sebut sebagai pemenang ialah Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed yang berdamai dengan musuh ketatnya, Eritrea dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Reporters Without Borders dan the Committee to Protect Journalists (CPJ).

Jawatankuasa Nobel Norway menerima 301 calon pada tahun ini tetapi tidak mendedahkan senarai itu.

Musim Nobel dibuka dengan Hadiah Perubatan pada Isnin depan, diikuti hadiah untuk fizik dan kimia, sebelum diakhiri dengan bidang ekonomi pada 14 Oktober ini.

Berita Harian X