Selasa, 10 September 2019 | 12:28pm
Peminat novel The Handamaid’s Tale yang mengenakan kostum seperti watak dalam novel itu, berbaris untuk mendapatkan novel sekuel, The Testaments di kedai buku Waterstones, London, Britain. - Foto Reuters

Ratusan peminat berbaris beli novel hamba seks

LONDON: Ratusan peminat Margaret Atwood di Britain dan Amerika Syarikat (AS) beratur sejak tengah malam tadi untuk merebut peluang pertama membeli novel susulan terlaris di pasaran, The Handmaid’s Tale.

Penerbitan novel distopia atau genre pascazaman kemusnahan dunia itu menjadi antara acara buku yang dijangka paling hangat tahun ini.

Novel sekuel dengan judul The Testaments itu, sudah pun disenarai pendek untuk hadiah sastera antarabangsa antara yang paling berprestij.


Peminat novel The Handamaid’s Tale yang mengenakan kostum seperti watak dalam novel itu, berbaris untuk mendapatkan novel sekuel, The Testaments di kedai buku Waterstones, London, Britain. - Foto Reuters

Dalam novel itu, Atwood menyambung kisah daripada perspektifnya pada 1985 mengenai pemerintahan mutlak pada masa depan - sejak diadaptasi ke drama televisyen bersiri popular - apabila wanita subur dikerah untuk perhambaan seks untuk meramaikan penduduk kembali akibat kemusnahan alam sekitar.

Pembeli di Rangkaian Kedai Buku British Waterstones, Bea Carvalho, berkata fenomena penerbitan sebegitu sudah semakin berkurangan dan jarang berlaku.

“Setakat ini, ia menjadi penerbitan terbesar pada tahun ini dan antara peristiwa perbukuan terbesar,” katanya kepada Reuters.

Sejumlah kedai buku di Britain dan AS turut dibuka hingga lewat malam untuk memberi peluang kepada peminat mendapatkan naskhah itu.


Pengarang Kanada, Margaret Atwood. - Foto Reuters

Atwood yang juga pengarang Kanada, mencetuskan keterujaan dan spekulasi apabila mengumumkan beliau dalam proses menghasilkan The Testaments pada November lalu dengan latar masa 15 tahun selepas tamatnya The Handmaid’s Tale di negara imaginasi totalitarian, Gilead.

“Semua perkara yang pernah anda tanya kepada saya mengenai Gilead menjadi inspirasi kepada buku ini.

“Ilham lain pula saya peroleh daripada realiti di dunia yang kita diami kini,” katanya.


Pengarang Kanada, Margaret Atwood tiba di acara baca buku sempena pelancaran novel baharunya, The Testaments di kedai buku di London. - Foto Reuters

Sebelum ini, penerbit novel itu mengekalkan proses penerbitan yang ketat dengan pengulas mengirimkan naskhah menggunakan tajuk atau kulit depan palsu tetapi kerahsiaan plot buku berkenaan bocor apabila Amazon tersilap menghantar sebahagian naskhah prapesanan kepada pelanggan.

The Testaments diumumkan berjaya disenarai pendek untuk Hadiah Booker pada minggu lalu dengan ketua jurinya, Peter Florence memuji novel itu.

Ulasan pengkritik yang diterima bercampur. Ramai yang memujinya sebagai karya bergerak pantas dan dramatik tetapi sebahagian pula mengkritiknya kerana kurang mendalam seperti novel asal.


Pengarang Kanada, Margaret Atwood menunjukkan novel baharunya, The Testaments. - Foto Reuters

The Handmaid’s Tale sekian lama dipuji sebagai kayu ukur untuk kempen feminisme dengan Atwood menjelaskan semua adegan penindasan dalam buku itu berdasarkan peristiwa sebenar.

Ia kembali tersenarai sebagai buku terlaris apabila diadaptasi kepada drama televisyen bersiri popular dan memenangi anugerah yang dibintangi pelakon, Elisabeth Moss.


Pengarang Kanada, Margaret Atwood bercakap dengan peminat yang mengenakan kostum seperti watak dalam The Handmaid’s Tale. - Foto Reuters

Berita Harian X