Rabu, 10 April 2019 | 7:21pm
Novel yang disenarai pendek untuk penilaian Hadiah Booker Antarabangsa, iaitu karya terjemahan bahasa Inggeris dan diterbitkan penerbit British. - Foto NSTP
Novel yang disenarai pendek untuk penilaian Hadiah Booker Antarabangsa, iaitu karya terjemahan bahasa Inggeris dan diterbitkan penerbit British. - Foto NSTP

Hadiah Booker Antarabangsa dikuasai novelis wanita

LONDON: Novelis Poland, Olga Tokarczuk, yang meraih Hadiah Booker Antarabangsa pada tahun lalu, sekali lagi dicalonkan dalam senarai lima pengarang wanita untuk penilaian anugerah sastera berprestij tahun ini.

Enam pengarang semuanya disenarai pendek untuk hadiah berpangkalan di Britain yang meraikan novel terjemahan bahasa Inggeris dari seluruh dunia.

Tokarczuk yang memenangi anugerah 2018 dengan karya terjemahan, Flights, dicalonkan pada tahun ini melalui novel Drive Your Plow Over The Bones Of The Dead.

Beliau dicalonkan bersama Jokha Alharthi dari Oman, iaitu pengarang pertama dari Teluk yang disenarai pendek, selain Annie Ernaux (Perancis); Marion Poschmann (Jerman); Juan Gabriel Vasquez (Columbia) and Alia Trabucco Zeran (Chile).

Pemenang akan diumumkan di London pada 21 Mei ini.

Hadiah bernilai £50,000 (RM268,000) dibahagikan sama rata antara pengarang buku dan penterjemah yang menang.

Pengerusi panel penilainya, Bettany Hughes, berkata kebijaksanaan hadir dalam semua bentuk melalui karya dicalonkan.

“Naratif yang tidak dijangka dan diramalkan memaksa kami untuk memilih senarai pendek yang kuat ini.

“Cita-cita subversif dan intelektual datang bersama kelipan ketajaman akal dengan setiap buku menyumbang wacana kreatif.

“Kami tersentuh dengan kekuatan semua karya terjemahan ini yang jelas dan lentur,” katanya.

Hadiah Booker Antarabangsa yang diadakan sejak 2005, ialah gandingan Hadiah Booker yang dianugerahkan kepada karya asal yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Hadiah antarabangsa itu dibuka kepada buku yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan diterbitkan penerbit British antara 1 Mei 2018 hingga 30 April ini.

Drive Your Plow Over the Bones of the Dead dihasilkan Tokarczuk yang dianggap novelis paling berbakat dalam generasinya, bermula dengan kehilangan anjing yang dimiliki wanita aneh. Apabila dua pemburu tempatan dibunuh, wanita itu turut dihela ke arah siasatan.

Celestial Bodies karya Alharthi diterjemah dari bahasa Arab, menyorot perubahan Oman melalui cinta dan kehilangan tiga adik-beradik perempuan.

Novel Ernaux, The Years yang asalnya ditulis dalam bahasa Perancis, ialah naratif negara itu bermula 1941 hingga 2006 yang diceritakan melalui ingatan dan tanggapan masa lalu.

The Pine Islands oleh Poschmann yang pernah memenangi kedua-dua hadiah puisi perdana Jerman, mengenai pensyarah yang melarikan diri daripada isteri curangnya untuk ke Jepun dan menyusuri penulisan kembara seorang penyair.

The Shape of the Ruins oleh Vasquez pula ialah sudut pandangan cereka mengenai penyiasatannya terhadap teori konspirasi sekitar pembunuhan ahli politik Columbia.

The Remainder oleh Trabucco yang turut diterjemah ke bahasa Sepanyol, bercerita mengenai tiga anak bekas militan yang berusaha mengatasi masa lalu Chile yang kompleks. - AFP

Senarai pendek Hadiah Booker Antarabangsa

1. Jokha Alharthi (Oman): Celestial Bodies

2. Annie Ernaux (Perancis): The Years

3. Marion Poschmann (Jerman): The Pine Islands

4. Olga Tokarczuk (Poland): Drive Your Plow Over The Bones Of The Dead

5. Juan Gabriel Vasquez (Columbia): The Shape Of The Ruins

6. Alia Trabucco Zeran (Chile): The Remainder

Berita Harian X