Khamis, 28 Februari 2019 | 8:46pm
Antara pemenang Hadiah Booker sebelum ini, George Saunders. - Foto NSTP
Antara pemenang Hadiah Booker sebelum ini, George Saunders. - Foto NSTP

Hadiah Buku Booker kembali dengan penaja baharu

LONDON: Hadiah sastera paling berprestij di Britain akan kembali dengan nama asalnya, Hadiah Booker pada tahun ini selepas berjaya mendapatkan penaja baharu.

Yayasan Hadiah Booker dalam kenyataannya berkata, anugerah tahunan untuk novel yang sebelum ini dikenali sebagai Man Booker sejak 2002, menandatangani perjanjian penajaan dengan Crankstart.

Firma pelaburan, Man Group mengumumkan berakhirnya kerjasama selama 18 tahun dengan hadiah sastera yang mengiktiraf pengarang dari negara berbahasa Inggeris yang karyanya diterbitkan di Britain dan Ireland.

Kenyataan itu berkata, Crankstart memberikan komitmen untuk membiayai selama lima tahun.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Helena Kennedy, berkata pihaknya gembira Hadiah Booker menemukan penyokong dermawan yang hebat di Crankstart yang pengasasnya berkongsi visi dan nilai dengan mereka.

“Dengan sokongannya, kami berharap dapat membangunkan inisiatif untuk The Booker mencapai khalayak baharu setiap generasi dan latar belakang di seluruh dunia,” katanya.

Crankstart ditubuhkan pada 2000 oleh pelabur British, Michael Moritz - yang menyediakan sokongan awal kepada firma seperti Google and Yahoo! - dan isterinya, Harriet Heyman.

Moritz yang dilahirkan di Wales tetapi kini menetap di Amerika Syarikat (AS), bekerja sebagai wartawan sebelum beralih ke dunia pelaburan teknologi, manakala Heyman pula bekas wartawan dan novelis.

Sementara itu, Moritz dalam kenyataan berkata, Hadiah Booker dalam usaha untuk tersebar di seluruh dunia dalam konteks pandangan, penemuan, keghairahan dan kegembiraan yang muncul daripada karya fiksyen yang hebat.

Penyusunan baharu akan bermula 1 Jun ini, sekali gus bermakna anugerah pada tahun ini yang akan diberikan pada Oktober akan dikenali sebagai Hadiah Booker untuk Fiksyen.

Hadiah kedua yang dibuka kepada pengarang tanpa mengira warga negara dan dianugerahkan setiap tahun pada Mei ini, akan menggunakan nama baharu - Hadiah Booker Antarabangsa - pada 2020.

Pemenang anugerah utama kini menerima £52,500 (RM284,000) meskipun hadiah sebenar ialah peningkatan dalam jualan buku yang menyusul.

Pemenang sebelum ini termasuk VS Naipaul, Iris Murdoch, Salman Rushdie dan Ian McEwan.

Hadiah itu dilancarkan pada 1969, awalnya hanya dibuka kepada novelis daripada negara Komanwel hingga diperluaskan kepada negara berbahasa Inggeris yang lain bermula 2014. - AFP

Berita Harian X