Isnin, 25 Februari 2019 | 1:50pm
Sejarawan tanah air, Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali. - Foto Saifullizan Tamadi

Penjajah licik punca pengasingan kaum, bahasa pengantar berbeza

BANGI: Pengasingan masyarakat Melayu, Cina dan India di negara ini sebelum era kemerdekaan adalah perancangan rapi British yang akhirnya mempengaruhi pembentukan masyarakat di negara ini secara keseluruhannya.

Sejarawan, Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, berkata pada abad ke-20 pola masyarakat di Semenanjung Tanah Melayu semakin jelas apabila Melayu mendiami kawasan kampung, manakala Cina dan India pula masing-masing di kawasan lombong dan estet.

Katanya, penempatan berasingan menghalang jalinan hubungan masyarakat menyebabkan mereka mengamalkan cara dan menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam perhubungan.

Abdullah Zakaria berkata, kemasukan buruh China melalui pelabuhan Singapura dan Pulau Pinang dikaitkan dengan perkembangan bijih timah di Tanah Melayu khususnya di Perak, Selangor serta Negeri Sembilan.

Ubah pola, komposisi

Sehingga 1893 saja, sejumlah 213,000 rakyat China tiba di kedua-dua pelabuhan itu dan kehadiran mereka menyebabkan muncul penempatan baharu di kawasan perlombongan, sekali gus mengubah pola dan komposisi masyarakat di negeri Melayu.

Kedatangan kaum India pula katanya, berlaku berlaku seiring perkembangan baharu dalam ekonomi Malaysia yang memperlihatkan getah menjadi tanaman penting Semenanjung Tanah Melayu selepas diperkenalkan HN Ridley pada 1880-an.

Majoriti masyarakat India ini, tinggal di ladang getah milik Eropah dan mereka bukan saja diasingkan daripada Melayu dan Cina malah ditempatkan di estet mengikut tempat asal dan bahasa.

Mengikut banci 1957 katanya, terdapat sehingga 786,000 penduduk India di Persekutuan Tanah Melayu termasuk orang Pakistan dan Sri Lanka.


Sejarawan tanah air, Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali. - Foto Saifullizan Tamadi

Menurut Abdullah Zakaria, kemasukan kaum India itu berlaku bagi mengatasi masalah tenaga kerja, ‘alasan’ sama digunakan bagi membawa masyarakat Cina ke Tanah Melayu untuk hal perlombongan.

Antara yang disebut British bagi membenarkan kemasukan rakyat dari China dan India ialah Melayu tidak rajin berbanding masyarakat Cina yang lebih ‘industrial’ sedangkan ia sekadar alasan bagi mengelakkan apa yang pernah berlaku di India, berulang pula di Tanah Melayu.

“Ia alasan British saja sedangkan mereka sebenarnya belajar daripada pengalaman di India apabila masyarakat di sana bangun menentang British.

“Justeru ketika di Tanah Melayu British menjadi sangat berhati-hati kerana tidak mahu pengalaman itu berulang. Mereka mahu Melayu menumpukan kepada hal kerja saja. Jika diberi pendidikan sekalipun biarlah setakat boleh menulis, mengira atau membaca saja.

“Adakah British sengaja berbuat demikian? Ya. Itulah rancangan mereka,” katanya pada Seminar Tamadun dan Warisan Islam (TAWIS): Islam Patriotisme dan Sejarah Perjuangan Kemerdekaan Malaysia di Dewan Sarjana, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.


Sebahagian penuntut Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melihat buku yang dipamerkan di Seminar Tamadun dan Warisan Islam (TAWIS), UKM, Bangi. - Foto Saifullizan Tamadi

‘Ikat’ dengan hutang

Tidak hanya itu kata Abdullah Zakaria, British juga menempatkan masyarakat India di estet orang berkulit putih dan kemudian membuka kedai arak untuk ‘melekakan’ mereka.

“Apabila minum, mereka berhutang hingga akhirnya ‘diikat’ dengan hutang itu.

“British memang pandai dan sebab itu Melayu kekal di kampung dan akhirnya kita ada komposisi baru masyarakat di negara ini yang turut disertai Cina dan India,” katanya.

Menurut Abdullah Zakaria, penempatan berasingan menghalang jalinan hubungan masyarakat hingga akhirnya sekolah dibina dengan bahasa pengantar sendiri.

“Malah guru dan buku yang digunakan dalam pembelajaran juga menggunakan bahasa pengantar mereka masing-masing.

“Pola masyarakat Malaysia menjelang kemerdekaan itu mewarnai masyarakat hari ini justeru kita masing-masing perlu elakkan daripada meminggir sejarah silam terutamanya yang menjelaskan mengenai kewujudan masyarakat Malaysia hari ini,” katanya.

Berita Harian X