X
Selasa, 1 Januari 2019 | 1:05pm
Ribuan hak cipta karya sastera klasik yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS) tamat tempoh dan berubah status hak awam mulai tahun ini yang membolehkan ia bebas diterbitkan atau diadaptasi tanpa memperoleh izin daripada pemegangnya. Gambar hiasan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bebas terbitkan karya klasik, jadi hak awam

NEW YORK: Hampir seabad lalu, penerbit Alfred A Knopf menerbitkan buku nipis kisah kerohanian yang ditulis penyair dan pelukis Lubnan-Amerika kurang dikenali, Kahlil Gibran atau Khalil Gibran.

Knopf tidak menaruh harapan besar dan mencetak sekitar 1,500 naskhah. Di luar jangkaannya, buku berjudul The Prophet itu melonjak tinggi. Ia menjadi kesukaan ramai dan dijual lebih 9 juta naskhah di Amerika Utara sahaja.

Hingga kini, syarikat penerbitan yang masih membawa nama Knopf memegang hak cipta judul itu untuk Amerika Utara.

Bagaimanapun ia berubah hari ini apabila The Prophet menjadi hak awam bersama ribuan hasil karya pelukis dan pengarang termasuk Marcel Proust, Willa Cather, DH Lawrence, Agatha Christie, Joseph Conrad, Edith Wharton, PG Wodehouse, Rudyard Kipling, Katherine Mansfield, Robert Frost dan Wallace Stevens.

Memorial Khalil Gibran yang memperingati sumbangan kesusasteraan penyair Lubnan-Amerika itu, antaranya The Prophets yang menjadi antara karya yang digemari ramai hingga dijual lebih 9 juta naskhah di Amerika Utara. - Foto ehsan FLICKR

Tahun 2019 menandakan buat kali pertama dalam tempoh dua dekad, sejumlah besar karya yang memiliki hak cipta akan hilang status yang selama ini dilindungi - peralihan yang memberikan kesan besar kepada kalangan penerbit dan sastera yang hilang kawalan wang serta kreatif.

Namun, ia menjadi rahmat kepada pembaca yang akan mempunyai lebih banyak edisi untuk dipilih, selain kepada pengarang dan seniman yang mahu menghasilkan karya baharu berdasarkan cerita klasik.

Prof Madya Ekonomi di Universiti Northeastern, Imke Reimers, berkata buku lebih murah, mudah diperoleh dengan skop pilihan yang lebih luas.

“Pengguna dan pembaca beroleh manfaat daripada situasi itu,” katanya yang mengkaji kesan hak cipta.

Terma berakhir

Kongres meluluskan undang-undang hak cipta pada 1998 yang memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta selama 20 tahun. - Foto EPA
Kongres meluluskan undang-undang hak cipta pada 1998 yang memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta selama 20 tahun. - Foto EPA

Gelombang besar karya itu berpunca daripada undang-undang Kongres diluluskan pada 1998 yang memanjangkan tempoh perlindungan hak cipta selama 20 tahun.

Undang-undang itu menetapkan semula terma hak cipta karya diterbitkan daripada 1923 hingga 1977 - memanjangkannya daripada 75 tahun kepada 95 tahun selepas diterbitkan - pada dasarnya mengekalkan status perlindungan mereka.

Kini, sambungan terma sudah berakhir, aliran sedia ada kembali mengalir. Setiap Januari akan datang bersama novel, drama, muzik dan filem yang ‘baharu’ ke hak awam.

Beberapa tahun ini, kesannya akan sangat baik, sebahagiannya disebabkan dekad 1920-an ialah era sangat subur dan bersifat eksprimental kepada sastera Barat dengan kebangkitan gergasi seperti F Scott Fitzgerald, William Faulkner, Ernest Hemingway dan Virginia Woolf.

Antara karya Ernest Hemingway. - Foto Flickr
Antara karya Ernest Hemingway. - Foto Flickr

Pengkaji karya Fitzgerald, James LW West III, berkata akhirnya buku itu menjadi milik masyarakat secara keseluruhan.

“Kita akan menyaksikan cubaan baharu menyunting dan memberikan tafsiran semula kepada semua teks ikonik ini,” katanya.

Apabila buku menjadi hak awam, sesiapa sahaja boleh menjualnya dalam bentuk digital, audio atau edisi cetak di Amazon. Peminat juga boleh menerbit dan menjual versi sambungan dan terbitan turutan atau mengeluarkan edisi yang sama sekali terkeluar daripada semangat asalnya seperti karya terlaris di pasaran, Pride and Prejudice and Zombies.

Syarikat teater dan pengeluar filem boleh mengadaptasi karya kepada filem, drama pentas serta muzikal tanpa memperoleh hak.

Syarikat penerbitan yang bersaing, akan mengeluarkan edisi cetakan baharu dan sarjana dapat menerbitkan versi beranotasi terkini. Salinan digital juga boleh beredar dalam talian.

Tarzan and the Golden Lion karya Edgar Rice Burrough. - Foto Wikimedia
Tarzan and the Golden Lion karya Edgar Rice Burrough. - Foto Wikimedia

Permulaan tahun baharu ini, Google Books yang memiliki lebih 30 juta buku dalam taliannya akan mengeluarkan edisi digital penuh karya yang diterbitkan pada 1923 termasuk karya Edgar Rice Burroughs, Tarzan and the Golden Lion serta Edith Wharton (A Son at the Front).

Sukar menyatakan jumlah sebenar karya yang akan menjadi hak awam bulan ini kerana sebahagian pengarang dan penerbit membenarkan hak cipta mereka luput dan ada pula karya dalam bahasa asing diterbitkan di luar negara pada 1923 mungkin kekal di bawah hak cipta buat masa sekarang seperti karya Felix Salten, Bambi.

Pakar strategi perpustakaan digital di Universiti Pennsylvania, John Mark Ockerbloom, berkata lebih 130,000 pendaftaran hak cipta difailkan pada 1923 untuk pelbagai karya seni tetapi kebanyakannya tidak diperbaharui.

Beliau berkata, kebimbangan sebahagian penerbit dan pengarang terhadap kehilangan perlindungan hak cipta menyebabkan lahirnya edisi bermutu rendah dengan kesalahan perkataan yang merosakkan integriti karya ikonik.

Kayakan syarikat

Ribuan hak cipta karya sastera klasik yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS) tamat tempoh dan berubah status hak awam mulai tahun ini yang membolehkan ia bebas diterbitkan atau diadaptasi tanpa memperoleh izin daripada pemegangnya. Gambar hiasan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Ribuan hak cipta karya sastera klasik yang diterbitkan di Amerika Syarikat (AS) tamat tempoh dan berubah status hak awam mulai tahun ini yang membolehkan ia bebas diterbitkan atau diadaptasi tanpa memperoleh izin daripada pemegangnya. Gambar hiasan. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Sementara itu, Pengarah Editorial Perpustakaan Amerika, John Kulka, berkata penerbit berhak untuk bimbang terhadap percambahan edisi yang tidak boleh dipercayai yang sebahagiannya mungkin tidak berapa bagus.

Bagaimanapun, ramai sarjana dan pakar perundangan berhujah undang-undang hak cipta Amerika Syarikat cenderung kepada memperkayakan syarikat dan waris pengarang serta seniman dengan mengorbankan hak orang ramai.

Apabila Akta Hak Cipta yang pertama diluluskan di AS pada 1790, tempoh maksimum ialah 28 tahun. Beberapa dekad kemudian, penggubal undang-undang berulang kali menyambung terma yang kini berlarutan lebih seabad untuk banyak karya.

Pakar harta intelek di Harvard Law School, Rebecca Tushnet, berkata ia lebih teruk daripada undang-undang cukai. - NYT

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X