Selasa, 25 Disember 2018 | 2:36pm
The Royal Portuguese Cabinet of Reading dibina lewat abad ke-19.
The Royal Portuguese Cabinet of Reading dibina lewat abad ke-19.

Syurga buku bahasa Portugis terbesar di luar Portugal

RIO DE JANEIRO: Dari luar, ia kelihatan seperti bangunan bersejarah lain di kota raya ini tetapi sebaik melangkah ke dalam, pengunjung terkejut kerana perpustakaan bertingkat itu begitu menarik hinggakan kelihatan seperti set filem fantasi.

“Saya melihat perpustakaan sebegini dalam Harry Porter sahaja,” kata pelancong Perancis, Didier Margouet, merujuk kepada adegan dalam Harry Porter, filem adaptasi dari karya pengarang Britain, JK Rowling.

The Royal Portuguese Cabinet of Reading dibina lewat abad ke-19 di bawah seliaan Persatuan Imigran Portugis. Seni bina Gothic-Renaissance dengan pelbagai ukiran, jubin dan arca itu meraikan era kejayaan penemuan Portugis pada abad ke-15 dan 16.

Menyimpan sejumlah 350,000 buku, The Royal Portuguese Cabinet of Reading ibarat syurga koleksi buku berbahasa Portugis terbesar di luar Portugal, termasuk sesetengah di antaranya yang sangat jarang dijumpai.

Bagaimanapun kini, selain sebagai bilik bacaan, ia turut menjadi tarikan pelancong malah sering digunakan sebagai latar belakang bagi mengambil swafoto.

Pengunjung tetap

Salah seorang pembaca setia di perpustakaan itu ialah Carlos Francisco Moura, 86, yang tiba di Brazil dari Portugal pada usia empat tahun bersama kedua-dua orang tuannya. Sejak kanak-kanak, Moura menjadi pengunjung tetap perpustakaan itu yang terus berbuat demikian sehingga kini.

“Inilah alma meter Portugis di Brazil,” katanya kepada AFP.

Menurut Moura, perpustakaan itu menjadi sumber berharga, tambahan pula sudah menjadi repositori atau pusat penyimpanan dan penyelenggaraan setiap buku yang diterbitkan di Portugal sejak 1930-an lagi.

Kaitan sejarah Brazil dengan Portugal yang sempat menjajah negara itu sangat mendalam malah pada 1808, Raja Portugal dan kerajaannya menjadikan Rio de Janeiro sebagai ibu kota bagi empayar Portugis.

Putera raja itu kemudian turut mendeklarasi kemerdekaan dan menjadikan dirinya sebagai Maharaja Brazil.

Malah Portugis menjadi bahasa utama negara itu hingga mewujudkan kebudayaan kesusasteraan dua hala antara kedua-dua negara dan hari ini, bendera Portugis dan Brazil sama-sama berkibar di luar perpustakaan berkenaan.

Orlando Inacio, 67, menguruskan perpustakaan itu dan beliau juga datang dari Portugal ketika masih kecil yang tidak pernah kembali ke sana sejak itu.

“Ia menjadi penghormatan kepada saya apabila mengetahui yang perpustakaan dibina Portugis ini menjadi salah satu yang paling cantik di dunia,” katanya.

Menurut Inacio, kaitan antara perpustakaan itu dengan Pertubuhan Imigran Portugis bermula pada 1837.

“Ia dibina dengan tujuan membantu imigran yang secara umumnya memerlukan pendidikan untuk meningkatkan pengetahuan mereka,” katanya.

Pertubuhan itu terus menyalurkan dana kepada perpustakaan berkenaan dan ahlinya membayar yuran bulanan untuk membantu perbelanjaannya. Pendapatan lain datang daripada bangunan lain dimiliki pertubuhan itu yang turut disewakan.

Inacio berkata, internet membawa perubahan kepada fungsi perpustakaan itu, sekali gus mengurangkan keperluan kepada pengkaji dan ulat buku mengunjunginya kecuali untuk mendapatkan naskhah yang jarang ditemui.

Bagaimanapun kegembiraan Inacio dalam menjalankan tugasnya menjadi bukti. Tambahan lagi, beliau menjadi ‘penjaga’ kesusasteraan penuh sejarah yang menjalin hubungan antara Portugal dan Brazil dalam ikatan bahasa.

Berita Harian X