Ahad, 4 November 2018 | 4:47pm
Sukarelawan memindahkan buku melalui rantaian manusia di Southampton. - Foto Southampton Collective
Sukarelawan memindahkan buku melalui rantaian manusia di Southampton. - Foto Southampton Collective

Sukarelawan buat rantaian manusia, pindahkan ribuan buku

LONDON: Rayuan memohon bantuan sukarelawan disebarkan oleh kedai buku di kota pelabuhan di selatan England, beberapa minggu lalu.

Ini kerana sukarelawan diperlukan untuk ‘kerja manual berat’ dalam beberapa syif yang sangat penting untuk membolehkan kedai buku itu mengangkat dan membawa kotak dan peralatan pejabat.

Antara barangannya: ribuan buku.

Kakitangan October Books, Jess Haynes, berkata rayuan daripada organisasi tanpa untung yang bermula sebagai kedai buku ‘radikal’ pada 40 tahun lalu itu, disebarkan selepas kenaikan sewa memaksanya untuk berpindah keluar daripada lokasinya di Southampton.

Kedai buku itu mahu memindahkan semua peralatan, perkakasan dan stoknya ke bangunan tiga tingkat yang terletak kira-kira 150 meter. Bagaimanakah sambutannya?

Minggu lalu, kedai buku itu mendapat bantuan lebih daripada yang dijangkakan - ratusan sukarelawan membanjirinya.

Rantaian manusia mula terbentuk daripada bilik penyimpanan stok October Books melalui 54 pintu hingga ke bangunan baharu.

Haynes berkata, kedai buku berhenti mengira jumlah sukarelawan apabila 250 orang muncul.

Rantaian manusia itu memindahkan kotak dalam tempoh beberapa jam.

“Ia sangat mengesankan. Kakitangan terharu melihat bagaimana anggota masyarakat bersedia untuk membantu,” katanya.

Sumbangan masyarakat setempat sebenarnya turut muncul untuk menyelamatkan kedai buku itu apabila mengambil keputusan untuk berpindah selepas kenaikan sewa.

Daripada membuat gadaian bank, Haynes berkata, October Books bertekad memulakan pengumpulan dana untuk membeli pejabat baharu dengan mensasarkan £510,000 (RM2.75 juta) 31 Mei lalu.

Usaha itu berbaloi apabila kedai buku itu memperoleh perjanjian untuk menerima sumbangan dan pinjaman masyarakat, sekali gus bersetuju untuk membayar balik dalam tempoh satu, lima serta 10 tahun.

Ketika kedai buku bebas dan persendirian mula hilang, Haynes berkata, pihaknya percaya dengan nilai kedai buku.

Tahun lalu, Booksellers Association mencatatkan jumlah kedai buku persendirian di Britain jatuh untuk tahun ke-11 berturut-turut. Pada 2005, terdapat 1,535 kedai persendirian tetapi angka pada tahun lalu jatuh kepada 867 kedai.

Persatuan itu menamakan ‘kesan koktel’ menyebabkan penutupan itu termasuk kenaikan sewa, saingan daripada penjual e-buku dan dalam talian bersama-sama peningkatan populariti platform hiburan seperti Netflix serta permainan video dalam talian. - NYT

Berita Harian X