Sabtu, 13 Oktober 2018 | 9:00am
JILID pertama Good Night Stories for Rebel Girls oleh Elena Favilli dan Francesca Cavallo mencetuskan sensasi global dengan berjaya menjual lebih 3 juta naskhah dan diterjemah kepada 46 bahasa. - Ihsan Google
JILID pertama Good Night Stories for Rebel Girls oleh Elena Favilli dan Francesca Cavallo mencetuskan sensasi global dengan berjaya menjual lebih 3 juta naskhah dan diterjemah kepada 46 bahasa. - Ihsan Google

Dua 'pemberontak wanita' gegarkan dunia penerbitan

FRANKFURT: Kecewa dengan cerita kanak-kanak berwatak puteri pasif dan gadis tertekan, dua wanita Itali mengumpulkan wang daripada khalayak untuk mencatatkan sejarah penerbitan dengan memecahkan rekod kisah inspirasi kepada remaja perempuan.

Dan revolusi mereka baru saja bermula.

Jilid pertama Good Night Stories for Rebel Girls oleh Elena Favilli dan Francesca Cavallo mencetuskan sensasi global dengan berjaya menjual lebih 3 juta naskhah dan diterjemah kepada 46 bahasa.

Cavallo berkata, buku terbitan 2016 itu, mengisahkan kisah kehidupan 100 wanita luar biasa yang meliputi daripada pengarang Amerika Syarikat (AS), Maya Angelou hingga pelukis Mexico, Frida Kahlo dan saintis kelahiran Poland, Marie Curie.

“Kebanyakan buku tidak menampilkan wanita berperanan mengendalikan nasib mereka. Dalam sebahagian besar buku kanak-kanak, apabila ada watak wanita, mereka tidak bercakap.

“Kami mahu kanak-kanak dan remaja perempuan membesar dengan keyakinan mereka boleh memilih kehidupan seperti yang mereka kehendaki. Dan tidak meminta maaf kerana menjadi terlalu tegas, bercita-cita tinggi atau berani,” katanya kepada AFP di Pesta Buku Frankfurt.

Pengarang bersama, Cavallo dan Favilli, yang menetap di AS bertekad untuk mengubah ketidakseimbangan jantina di rak buku – meskipun tidak mempunyai pengalaman penerbitan.

“Itulah semangat pemberontakan kami,” kata pengarang berusia 35 tahun itu sambil ketawa.

Kedua-dua pengarang itu sudahpun menubuhkan syarikat media kanak-kanak di California yang dipanggil Timbuktu Labs yang mencipta majalah iPad pertama untuk kanak-kanak.

Namun untuk melahirkan buku dalam dunia sebenar, mereka beralih kepada pendanaan awam dengan mensasarkan matlamat pada $AS40,000 (RM166,300).

Mereka berjaya memperoleh lebih $AS600,000 (RM2.5 juta) menjadikannya sebagai jumlah tertinggi buku yang mendapat dana dalam Kickstarter.

Buku jilid kedua kisah sebelum tidur pada tahun lepas memecahkan rekod itu dengan memperoleh $AS900,000 (RM3.7 juta).

Permintaan tinggi terhadap buku itu mengejutkan industri penerbitan tradisional sehingga turut menerbitkan buku seumpamanya untuk memenuhi tuntutan dalam memperkasa kisah mengenai wanita.

Pada pembukaan Pesta Buku Frankfurt, iaitu acara penerbitan terbesar di dunia, Pengarahnya, Juergen Boos, memetik kisah Rebel Girls sebagai contoh bagaimana penerbitan sedang berubah.

“Kita sedang menyaksikan cara baru sastera dicipta, dibeli dan diterima,” katanya yang turut menekankan komuniti dalam talian “mendedahkan bahawa buku dengan watak utama wanita masih belum mencukupi.”

Buku kedua, Rebel Girls yang terjual lebih 600,000 naskhah setakat ini, masih lagi menyediakan satu halaman biodata 100 wanita besi yang ditulis dengan gaya dongeng dan digandingkan dengan ilustrasi potret berwarna-warni.

Beyonce dan Oprah antara yang ditampilkan.

Cavallo berkata, bukan ‘secara kebetulan’ buku itu berjaya pada saat suara wanita semakin lantang dan gerakan #MeToo mengejutkan dunia hingga mencetuskan debat global terhadap gangguan seksual.

“Kita sedang mengalami saat penting dalam sejarah apabila wanita bertekad untuk melihat hak wanita berada di hadapan dan pusat agenda politik.

“Ia mungkin masa terbaik dalam sejarah untuk menjadi wanita pemberontak. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya.

Buku ketiga Rebel Girls dalam proses pembikinan, iaitu ‘jurnal untuk memulakan revolusi’ yang dibuat secara interaktif.

Ia mencapai sasaran pendanaan awam dalam tempoh hanya 8 jam dan dipasarkan ke kedai buku awal Disember ini – meskipun penyokong di Kickstarter akan mendapatkan naskhah mereka lebih awal.

Pengarang terbabit turut memperluaskannya kepada podcast, menggunakan suara tokoh terkenal untuk membacakan versi lanjutan sebahagian biografi.

Jutawan dermawan, Melinda Gates antara pembacanya, selain wartawan New York Times yang menjadi penulis bersama kepada laporan pertama yang mendedahkan tuduhan salah laku seksual gergasi Hollywood, Harvey Weinstein.

Namun apa yang Cavallo dan Favilli tidak mahu lakukan adalah memperluaskan jenama mereka kepada buku pemberontak untuk kanak-kanak lelaki.

“Kami fikir sangat penting untuk kanak-kanak lelaki membaca buku yang mereka tidak berada pada judulnya. Kanak-kanak perempuan sudah lama melakukannya sebelum ini.

“Dan ramai kanak-kanak lelaki memberitahu mereka suka kepada cerita kami. Masih ramai ibu bapa yang berasa mereka tidak patut memberikan buku mengenai kanak-kanak perempuan kepada anak lelaki. Namun, itu sedang berubah,” katanya. - AFP

Berita Harian X