Selasa, 10 Julai 2018 | 6:02pm
Ketua Penerbit USIM, Hariza Mohd Yusof.
Ketua Penerbit USIM, Hariza Mohd Yusof.

Penerbit buku ilmiah perlu jalin kerjasama antarabangsa

KUALA LUMPUR: Pasaran buku ilmiah negara yang kecil mungkin memerlukan penerbit buku genre itu untuk mula meninjau pasaran luar negara dengan lebih serius.

Ketua Penerbit USIM, Hariza Mohd Yusof, berkata pasaran luar boleh menyediakan ruang yang besar untuk penerbitan buku ilmiah tempatan jika didekati dengan strategi penjualan yang betul.

Hariza berkata, paling utama dalam mendepani cabaran memasarkan buku ilmiah dalam pasaran antarabangsa ialah penerbit tempatan perlu meningkatkan keberadaan dalam jaringan dunia supaya penyertaan dan pembabitan dalam industri perbukuan ilmiah disedari.

"Usaha melakukan jaringan ini amat penting kerana kita boleh mewujudkan pelbagai kerjasama sama ada melalui perjanjian persefahaman atau tajaan yang dapat memastikan buku ilmiah dapat dipasarkan di negara lain dengan lebih mudah.

"Kerjasama ini juga tidak terhad antara penerbit dengan penerbit malah boleh juga membabitkan penulis dan syarikat korporat.

"Penerbit buku ilmiah perlu keluar daripada zon selesa. Perkenalkan diri dan jangan hanya mengharapkan penerbit luar akan mencari kita," katanya kepada BH di sini.

Hariza berkata, jika diukur berdasarkan trend pembelian pembaca dan jumlah jualan di pesta buku, buku ilmiah ialah kategori paling kecil bilangan pembaca jika dibandingkan dengan genre lain seperti kanak-kanak, novel fiksyen, buku teks serta agama.

Sebagai perbandingan katanya, cetakan pertama 1,000 hingga 5,000 naskhah untuk novel dan buku agama boleh dijual dalam masa singkat berbanding dengan cetakan 500 hingga 1,000 naskhah buku ilmiah yang biasanya akan mengambil masa lebih setahun.

Beliau berkata, meskipun pasaran buku ilmiah bukan pasaran menguntungkan, ia tidak boleh dijadikan alasan kepada penerbit termasuk pihaknya untuk berputus asa apatah lagi penerbitan buku ilmiah bukan berpaksikan keuntungan.

"Meskipun mahu 'membuat' duit dengan buku tetapi ia bukanlah matlamat utama dalam penerbitan buku ilmiah kerana jika tidak kita sudah beralih kepada buku lain seperti novel yang bersifat populis.

"Tujuan utama dalam penerbitan buku ilmiah ialah menyampaikan muatan ilmu yang dapat membina paksi bagi membentuk ummah yang relevan dan dirujuk masyarakat," katanya.

Justeru bagi menyampaikan hasrat itu, Penerbit USIM sering memikirkan kaedah kreatif bagi memujuk pembeli termasuk dengan mengadakan promosi melalui siaran radio serta jualan khas dengan kadar diskaun yang menarik.

"Penerbit USIM juga mewujudkan jaringan antarabangsa seperti dilakukan dengan Jordan, Jerman dan Jepun, selain membuka rundingan dengan syarikat pangkalan data seperti Al-Manhal serta Ebsco supaya naskhah kita boleh diperoleh di pelbagai platform.

"Tidak lupa jaringan di persada tempatan seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan & Buku Negara (ITBM) bagi meningkatkan kebolehlihatan kami sebagai penerbit baru bertatih," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pelaksana Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Prof Dr Kamal Halili Hassan, berkata buku ilmiah yang tidak mempunyai pembaca setinggi pasaran bahan bacaan ringan atau popular ialah situasi global yang disumbangkan banyak faktor.

Setiausaha Jawatankuasa Pelaksana Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Prof Dr Kamal Halili Hassan. - Foto Hafiz Sohaimi
Setiausaha Jawatankuasa Pelaksana Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), Prof Dr Kamal Halili Hassan. - Foto Hafiz Sohaimi

Beliau berkata, buku ilmiah masih mempunyai pembacanya yang tersendiri meskipun tidak setinggi pasaran bahan bacaan ringan atau popular.

"Ini antaranya disebabkan ledakan teknologi maklumat yang serba pantas dan mudah, sekali gus menyebabkan capaian kepada berita atau bahan bacaan popular lebih mudah.

"Buku ilmiah memerlukan masa untuk dibaca dan kebanyakannya masih diterbit dalam bentuk konvensional.

"Kelembapan jualan itu juga tidak boleh dikaitkan dengan mutu penerbitan buku ilmiah kerana pasaran buku bergantung kepada minat dan kecenderungan pembaca," katanya.

Beliau turut menyokong saranan kerjasama penerbitan bahan ilmiah dengan penerbit antarabangsa, sekali gus menganggap langkah itu akan menjadi kaedah terbaik dalam meningkatkan jualan buku sedemikian.

Selain daripada itu MAPIM juga menerokai penjualan secara atas talian dan buku elektronik atau e-buku selain mewar-war kandungan buku ilmiah dalam pelbagai medium sama ada secara konvensional atau elekronik.

"Setakat ini banyak buku ilmiah tempatan sudah dimuat naik ke dalam laman seperti Amazon.com dan sebagainya.

"MAPIM juga sudah mengorak langkah dengan menerbitkan e-buku melalui

kerjasama dengan pelbagai agensi," katanya.

Berita Harian X