Rabu, 16 Ogos 2017 | 3:23pm
PRESIDEN Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah. - Foto Saifullizan Tamadi
PRESIDEN Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah. - Foto Saifullizan Tamadi

Industri buku perlu rumusan baharu

KUALA LUMPUR: Industri buku memerlukan wajah dan rumusan baharu untuk mengatasi suasana ekonomi perbukuan yang tidak memberangsangkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Ishak Hamzah, berkata sudah tiba masa untuk industri buku memberi formula kepada kerajaan menjadikan industri buku berdaya saing dan dapat membantu negara dari segi pengutipan cukai.

"Kami berkumpul hari ini untuk mendapatkan pelbagai pandangan daripada penggerak industri," katanya pada Sidang Buku Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ishak berkata, dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini, industri buku tidak boleh mengeluh dan merintih, sebaliknya mencari rumusan terbaik untuk diajukan kepada kerajaan.

"Sebelum ini pun kita ada banyak cadangan tetapi sejak tiga tahun kebelakangan ini, industri buku tidak menjadi dinamik seperti diharapkan," katanya.

Industri buku Malaysia berdepan suasana tidak memberangsangkan antaranya isu kad debit pelajar, selain sambutan terhadap Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) April lalu yang semakin merosot.

Situasi itu dikaitkan dengan keadaan ekonomi yang mencabar dan aliran terkini generasi muda yang dikatakan kurang berminat dengan naskhah fizikal.

Sementara itu, Presiden Penjual Buku Malaysia, Keith Thong, dalam sesi sumbang saran berkata penerbit tempatan seharusnya mencuba untuk memasarkan produk mereka ke luar negara berikutan pasaran tempatan yang kecil.

"Dalam hal ini lebih banyak kerja penterjemahan perlu dibuat dan subsidi seharusnya diberikan," katanya.

Sidang Buku MBKM berjaya mengumpulkan hampir 80 peserta dari kalangan penulis, penerbit, agensi kerajaan dan pengedar.

Berita Harian X