Khamis, 20 Julai 2017 | 6:00am
MANUSKRIP Voynich.
MANUSKRIP Voynich.

Misteri Manuskrip Voynich

ANTARA misteri dunia persuratan yang tidak mampu diselesaikan hingga hari ini ialah manuskrip Voynich yang berusia antara 613 hingga 579 tahun.

Tersimpan dengan baik di Perpustakaan Beinecke, Universiti Yale, Amerika Syarikat (AS), naskhah itu tidak berjaya dibaca oleh sesiapa pun berikutan kegagalan untuk memahami tulisan di dalam naskhah berkenaan.

Dikenali sebagai Manuskrip

Voynich, ia adalah gabungan tulisan dengan gaya penuh rapi dan lukisan gambar pokok yang pelik, selain wanita tidak berpakaian.

Sarjana mengakui sifat karakter tulisan itu menyerupai tulisan purba Eropah malangnya hingga kini tidak berjaya dibaca meskipun dikaji oleh ramai pakar dalam bidang linguistik dan kriptologi termasuk pakar pemecah kod yang berpengalaman dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua.

Bagaimanapun, baru-baru ini sebuah penerbitan kecil di utara Sepanyol, Siloe beroleh hak untuk membuat salinan naskhah berkenaan.

Siloe ialah syarikat penerbitan yang memiliki reputasi tersendiri dalam membuat salinan manuskrip lama dan bercadang menjual salinan manuskrip berkenaan pada harga antara RM32,440 hingga RM37,306 senaskhah.

Kurator Perpustakaan Beinecke berkata, Universiti Yale membenarkan salinan manuskrip itu dibuat kerana ramai yang ingin mengkaji manuskrip berkenaan, tetapi tidak dibenarkan kerana keadaannya yang 'rapuh'.

Proses membuat salinan manuskrip purba dengan 200 halaman itu mengambil masa 18 bulan.

Misteri naskhah ratusan tahun

Kewujudan naskhah salinan itu dijangka akan membantu memecahkan misteri naskhah berusia ratusan tahun terbabit berdasarkan ribuan e-mel yang diterima mereka pada setiap bulan daripada orang awam yang mendakwa boleh menterjemahkan manuskrip berkenaan.

Naskhah purba itu asalnya tidak mempunyai nama. Ia dikenali sebagai manuskrip Voynich sempena nama Wilfrid Voynich yang membeli naskhah berkenaan pada 1912 dari Itali. Naskhah itu kemudian didermakan oleh pemilik barunya, Hans P Kraus kepada Universiti Yale pada 1969.

Sejak sekian lama, manuskrip Voynich dipercayai milik lelaki Inggeris abad ke-13, Roger Bacon yang dipenjarakan atas tuduhan mengamalkan sihir.

Bagaimanapun, teori itu terhapus kerana ujian karbon mendapati ia dihasilkan antara tahun 1404 dan 1438.

Rekaan, imaginasi Voynich

Banyak teori dan andaian mengenai manuskrip itu bertebaran kerana ketidakupayaan sesiapa pun membaca dan memahami tulisan dalam buku itu.

Ada yang menyifatkan ia hanyalah rekaan dan imaginasi

Voynich sendiri, selain ada yang berpendapat ia dokumentasi mengenai sihir. Malah tidak kurang mengandaikan ia datang dari angkasa lepas berikutan tumbuhan yang dilukis dalam naskhah itu tidak wujud di alam nyata.

Berita Harian X