Selasa, 24 Mei 2022 | 12:10pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Lindungi penternak, petani mikro susulan mansuh AP makanan

Dalam usaha memastikan bekalan makanan negara mencukupi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan berani dengan memansuhkan permit import (AP) bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Sejajar tindakan drastik kerajaan ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dipertanggungjawabkan mengemukakan cadangan jangka pendek dan panjang.

MAFI perlu memastikan tindakan kerajaan dilaksanakan sebaiknya supaya semua aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan dan keselamatan makanan dipantau rapi, sekali gus tidak menjejaskan hak pengguna.

Malah semalam, mesyuarat Kabinet yang biasanya diadakan setiap Rabu, dipercepatkan kepada semalam, khusus bagi membincangkan isu bekalan bahan makanan mentah, termasuk ayam.

Kelulusan kuota AP membabitkan pengeluaran pertanian perlu mendapatkan kelulusan pihak berwajib kerana jumlah kuota import diluluskan berdasarkan keperluan negara semasa dengan mengambil kira kuantiti pengeluaran tempatan dan keluaran pertanian ditambah nilai untuk eksport.

Pemansuhan AP diumumkan kerajaan itu membabitkan komoditi agro makanan tertentu seperti kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair.

Namun, bagi makan ruji rakyat Malaysia seperti beras pada masa ini, permohonan kuota import hanya dibuka kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) sahaja sebagai pengimport tunggal berdasarkan perjanjian konsesi ditandatangani bersama kerajaan.

Terdapat implikasi positif dan negatif dikesan apabila kerajaan memansuhkan AP dalam sektor makanan. Implikasi positif adalah ia bakal membuka ruang kepada persaingan dalam pasaran terbuka.

Ia dijangka membantu meningkatkan sumber makanan tempatan, menurunkan kos barang import, selain usahawan tempatan berpeluang meningkatkan daya saing di peringkat global dan menjadi penggerak utama dalam pasaran antarabangsa.

Langkah kerajaan ini membuka ruang kepada sesiapa sahaja mengimport makanan ke negara ini, tidak hanya terhad kepada pihak tertentu.

Selain itu, harga barangan dijangka lebih stabil dan murah kerana akan membanteras 'permainan' harga pemilik AP tidak bertanggungjawab dan mengurangkan kuasa monopoli terhadap pasaran makanan pihak tertentu.

Ia juga memberikan peluang sama rata kepada peniaga untuk membekalkan bahan makanan. Langkah ini dijangka dapat mengawal krisis makanan mungkin berlaku susulan masalah inflasi, kenaikan harga minyak, cuaca ekstrem, pandemik COVID-19 serta konflik Russia-Ukraine.

Dalam aspek jaminan sekuriti makanan ditawarkan, walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agro makanan tertentu dari luar negara, pengimport masih perlu mempunyai kelulusan import (IP) bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu masuk negara.

Ia bagi memastikan proses pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilakukan terhadap kualiti barang makanan supaya memenuhi standard serta piawaian ditetapkan.

Tambahan lagi, sekuriti makanan adalah isu teras untuk diketengahkan memandangkan masyarakat memerlukan sumber makanan seimbang bagi mendapatkan tenaga dan nutrien.

Makanan baik bukan sahaja mengambil kira kandungan zat, bahkan menyentuh aspek kandungan kimia dan biologi makanan dalam pasaran.

Justeru, Kerangka Sekuriti Makanan Negara (KSMN) dibentuk untuk memastikan pelaksanaan tahap sekuriti makanan di negara ini merangkumi empat komponen utama, iaitu ketersediaan (availability); akses (accessibility); penggunaan (utilization) serta kestabilan dan kemampanan (stability and sustainability).

Sejajar tanggungjawab sosial kerajaan terhadap keperluan dan kesihatan rakyat dalam isu sekuriti makanan, pemantauan berkala dan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan isu ini ditangani dengan baik dan tidak wujud pertikaian pada masa depan.

Namun, pemansuhan AP memberi impak tertentu kepada sektor pertanian tempatan terutama golongan petani skala kecil untuk kekal bersaing dengan pengeluaran produk import bakal dibawa masuk ke negara ini.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menganggap keputusan memansuhkan AP barang makanan memerlukan kajian terperinci terlebih dulu terutama aspek keperluan dan jenis barangan terbabit.

Sebelum ini AP turut diperlukan untuk mengimport pelbagai buah-buahan tempatan seperti mangga, kelapa dan betik yang mana turut diusahakan petani tempatan.

Pada 2020, Malaysia mengimport makanan dari negara pengeluar hingga RM55 billion. Namun, tidak dinafikan sebahagian besar bekalan makanan domestik negara berasal dari sektor pertanian dan penternakan tempatan.

Sektor primer ini diusahakan petani kecil bergantung penuh kepada pengeluaran dan permintaan domestik negara untuk memperoleh sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Pemansuhan AP sedikit sebanyak dilihat bakal memberi impak besar kepada sektor pertanian dan penternakan tempatan apabila mereka perlu bersaing dengan lambakan produk import pada masa depan.

Keadaan ini akan menggugat sumber pendapatan golongan petani tempatan atau mengamalkan aktiviti pertanian dan penternakan sara diri.

Sektor pekerjaan dikhuatiri turut terjejas apabila industri pertanian dan penternakan tempatan bakal tutup atau gulung tikar akibat pertukaran model perniagaan beralih kepada model perniagaan bergantung kepada alternatif import sepenuhnya.

Kerajaan perlu meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan petani, nelayan dan penternak domestik demi menjamin kelangsungan rantaian makanan.

Pakar ekonomi dari Malaysia University of Science and Technology, Geoffrey Williams, berkata Malaysia masih mengimport 60 peratus keperluan makanan dan ia akan terus berlanjutan sekiranya inisiatif
penambahbaikan tidak dilaksanakan.

Kebergantungan luar ini dikhuatiri menjadi lebih teruk memandangkan negara masih bergantung kepada negara lain untuk memenuhi sumber keperluan makanan negara.

Menurut statistik, pada 2019, Malaysia hanya menghasilkan 46 peratus sayur-sayuran; beras (70 peratus); buah-buahan (61 peratus); daging (25 peratus) dan daging kambing (11 peratus).

Seandainya, keadaan kebergantungan masih berterusan, kesediaan Malaysia dalam memastikan soal keselamatan makanan dilihat semakin parah dan usaha berterusan perlu segera dilaksanakan.

Selain itu, implikasi pemansuhan AP turut menyumbang kepada punca kenaikan harga barang makanan mungkin membebankan pengguna terutama berpendapatan rendah.

Contohnya, apabila harga makanan di peringkat antarabangsa meningkat, harga makanan Malaysia juga naik kerana nilai import perlu ditanggung pengimport. Tambahan lagi, nilai ringgit rendah kini turut menjadikan harga barang import termasuk makanan menjadi lebih mahal.

Berita Harian X