Antara matlamat kerajaan membuka semula sempadan negara pada 1 April lalu adalah untuk memacu semula pemulihan ekonomi negara yang kini berada dalam fasa peralihan ke endemik.
Johor adalah antara negeri berpotensi mengalami pemulihan semula ekonomi dengan pantas kerana kedudukannya bersempadan dengan Singapura, membolehkan rakyat negara seberang tambak kembali mengunjungi negeri selatan tanah air.
Hakikatnya, pembukaan sempadan negara berjaya menarik warga Singapura untuk ke Malaysia, khususnya ke Johor untuk melancong dan berhibur atau bersantai, terutama pada cuti hujung minggu.
Namun, di sebalik berita gembira pembukaan semula sempadan negara ini, beberapa isu mulai timbul di Johor khasnya kekurangan pekerja di beberapa sektor utama di negeri itu. Kekurangan pekerja di Johor jika tidak diatasi, dikhuatiri merencatkan proses pemulihan ekonomi negeri yang baru hendak bernafas semula.
Pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu menyebabkan limpahan pelancong, terutama rak- yat Singapura mula kembali merancakkan ekonomi negeri itu yang sebelum ini lesu dan hambar. Bagaimanapun pemulihan ekonomi yang sepatutnya berlaku itu seolah-olah terencat berikutan beberapa sektor utama, terutama pelancongan, peruncitan, perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), selain kesihatan kini kekurangan pekerja yang kritikal.
Hotel di Johor yang mula bernyawa selepas sempadan dibuka, mula terasa bahangnya apabila pekerja yang sebelum ini terpaksa diberhentikan berikutan pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dilaporkan tidak berminat bekerja apabila ditawarkan pekerjaan semula.
Sektor F&B dan peruncitan Johor juga melalui episod sama apabila kebanyakan premis kini aktif mengiklankan jawatan kosong di premis masing-masing berikutan limpahan pengunjung tempatan dan pelancong, namun rakyat tempatan seperti hambar dengan peluang berkenaan.
Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBha) Johor, Jarod Chia, dilaporkan berkata industri perhotelan negeri itu terjejas apabila kekurangan hampir 40 peratus pekerja, menyebabkan kebanyakan hotel tidak beroperasi sepenuhnya.
Kekurangan pekerja menyebabkan waktu kerja pekerja sedia ada terpaksa dimaksimumkan bagi memastikan bilik dapat disediakan ketika pengunjung tiba, selain restoran menyediakan makanan mengikut waktu ditetapkan.
Paling mengejutkan kenyataan EXCO Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, yang dilaporkan berkata, negeri itu kekurangan antara 15,000 hingga 18,000 jururawat ketika ini dan ia disifatkan sebagai jumlah yang besar.
Seperti diduga, faktor utama kekurangan pekerja kritikal dalam pelbagai sektor utama negeri itu, termasuk kesihatan berpunca akibat ramai rakyat Johor berhijrah dan mula berkerja kembali dalam pelbagai sektor perkhidmatan di Singapura.
Ia tidak mengejutkan berikutan kadar mata wang republik itu yang lebih tiga kali ganda nilainya berbanding ringgit, menyebabkan pekerja Malaysia berlumba-lumba untuk mencari rezeki lumayan di Singapura. Tawaran kerja ditawarkan majikan di Johor seperti dipandang sebelah mata pekerja negeri itu yang terus berbondong-bondong mencari peluang pekerjaan di republik itu.
Dalam bahasa mudah, gaji asas pekerja biasa di Singapura yang ditawarkan adalah SG$1,500 sebulan, tetapi apabila ditukarkan kepada ringgit, pekerja tempatan memperoleh gaji kasar RM4,775 sebulan, hampir menyamai jumlah diperoleh pekerja berkelulusan ijazah sarjana muda di negara ini.
Singapura diketahui mempunyai struktur gaji maksimum yang dikawal kerajaan untuk setiap peringkat kelulusan, menyebabkan pekerja tempatan berasa lebih yakin dan terjamin bekerja di republik itu berbanding di negara ini.
Fenomena itu bagaimanapun menggusarkan persatuan perniagaan, majikan serta pemimpin masyarakat bukan sahaja risau dengan senario migrasi besar-besaran pekerja tempatan ke Singapura yang semakin ketara sejak sempadan negara dibuka awal bulan lalu. Malah, mereka sepakat mahu satu pelan penyelesaian dirangka kerajaan bagi memastikan pembangunan negeri tidak terencat akibat kekurangan tenaga kerja ketika pemulihan ekonomi baru bermula.
Dalam isu ini, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hazrul Izuan Sahiri, berkata isu migrasi besar-besaran pekerja tempatan, terutama Johor ke Singapura adalah isu kompleks yang memerlukan pelan jangka panjang dari segi dasar kerajaan membabitkan gaji.
Beliau berkata, migrasi besar-besaran pekerja tempatan ke republik itu tidak dapat dielakkan berikutan tawaran gaji menarik, apatah lagi nilai mata wang Singapura yang tinggi berbanding ringgit ketika ini.
Ia juga formula asas dalam ekonomi, iaitu apabila ada tawaran gaji lebih menarik di sesuatu tempat seperti Singapura yang membabitkan perbezaan nilai mata wang lebih tinggi, sudah pasti pekerja memilih tawaran gaji tinggi dan menarik.
"Isu ini juga sangat rumit dan kompleks untuk diselesaikan kerana selagi ekonomi Johor dan Singapura tidak seimbang, selagi itu rakyat tempatan memilih bekerja di republik itu yang menawarkan gaji lebih tinggi dan menarik.
"Bagaimanapun, kerajaan negeri boleh membuat langkah jangka pendek bagi mengatasi isu migrasi pekerja yang menyebabkan pelbagai sektor utama di Johor terjejas dan alami masalah pekerja kritikal. Antaranya segera mengadakan perjanjian antara kerajaan (G2G) dengan beberapa negeri mempunyai kurang peluang pekerjaan.
"Menerusi perjanjian G2G ini, kerajaan negeri lain boleh menghantar rakyat mereka yang menganggur atau pelajar baru tamat pengajian atau sekolah untuk datang bekerja di Johor.
"Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 rasanya berpatutan dengan status lepasan pelajar," katanya sambil menegaskan penyelesaian jangka panjang dari segi makro diperlukan, termasuk keperluan meminda dasar pada peringkat Pusat dalam isu pekerjaan.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad turut mencadangkan kerajaan negeri dan Pusat segera menyediakan formula penyelesaian bagi menangani isu ini.
Hasni antara lain menyarankan kerjasama diwujudkan antara koridor ekonomi di Johor seperti Iskandar Malaysia (IM), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan juga Zon Ekonomi Khas Pagoh (PSEZ) bagi membolehkan rakyat tempatan dapat diambil bekerja dengan tawaran gaji menarik.
Beliau juga menyarankan tumpuan pada penggubalan dasar meningkatkan gaji dan peluang pekerjaan dengan melaksanakan dasar yang menarik pelaburan berkualiti tinggi untuk meningkatkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia, sekali gus meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan dan daya saing perniagaan.
Bermakna, isu migrasi pekerja tempatan ke Singapura wajar ditangani segera kerana jika dibiarkan, dibimbangi menyebabkan pelabur meninggalkan Johor, selain lebih banyak perniagaan terpaksa ditutup akibat ketiadaan modal insan untuk memenuhi kekosongan peluang pekerjaan yang wujud.