Rabu, 11 Mei 2022 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kebangkitan UMNO masih samar tanpa 'kesepakatan' politik

UMNO menyambut ulang tahunnya ke-76 hari ini. Menandakan ia parti tertua di negara ini yang memiliki sejarah dan pengalaman politik panjang.

Parti diasaskan pada 11 Mei 1946 di Johor Bahru itu mengalami kejatuhannya pada Mei 2018 selepas gabungan diterajuinya, Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagi tempoh 22 bulan, UMNO dan BN menjadi pembangkang tetapi kini menerajui kembali kerajaan sejak Februari 2020, ekoran konflik dalam Pakatan Harapan (PH) ketika itu, merintis jalan untuk parti itu membina kebangkitannya semula.

Sejak UMNO kecundang pada pilihan raya umum (PRU) itu, langkah awal kebangkitan parti keramat Melayu ini bermula dengan penyertaannya ketika pilihan raya kecil (PRK), bermula PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Selangor.

UMNO tewas dalam saingan di kubu kuat
PH itu, namun penyertaannya pada siri PRK seterusnya, mula menampakkan prestasi kebangkitannya agak memberangsangkan.

Dalam tujuh PRK disertai, UMNO meraih
kemenangan di enam kerusi, iaitu Parlimen Cameron Highlands, Pahang; DUN Semenyih, Selangor; DUN Rantau, Negeri Sembilan; Parlimen Kimanis, Sabah; DUN Chini, Pahang dan terakhir di DUN Slim, Perak.

Kerusi DUN Semenyih dirampas kembali daripada BERSATU, selain membantu parti komponennya, MCA merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai di Johor, dengan majoriti kemenangan bergaya.

Biarpun tewas di DUN Sungai Kandis, UMNO masih mengekalkan sokongan undi terasnya yang tinggi selepas memperoleh 9,585 undi, berbanding 11,518 undi (PRU-14), di sebalik peratusan keluar mengundi rendah, iaitu 49.4 peratus.

Bagaimanapun, pada enam lagi siri PRK bermula di PRK Parlimen Cameron Highlands, UMNO
mula membina keyakinan pengundi selepas berjaya menang dengan undi majoriti diraihnya jauh lebih besar.

Di PRN Chini dan Slim contohnya, parti itu mencapai undi majoriti tertinggi sejak penyertaannya pada pilihan raya di kawasan DUN terbabit,
masing-masing dengan kemenangan 12,650 undi dan 10,945 undi majoriti.

Isyarat kebangkitan UMNO dan BN berterusan selepas menang bergaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, sekali gus membentuk
kerajaan dengan mandat kukuh dua pertiga
majoriti kerusi DUN.

Namun, lebih awal daripada itu, percaturan
politik ketika PRN Sabah pada September 2020,
menyaksikan pencapaian UMNO belum segah
seperti PRK Melaka dan Johor, biarpun masih
berjaya membentuk gabungan kerajaan negeri.

Mendepani PRU-15 yang dijangka semakin hampir, UMNO mesti mengatur strategi lebih jitu untuk memastikan momentum kebangkitannya berterusan, apatah lagi pilihan raya kali ini dianggap misi hidup mati parti itu.

Jika mimpi ngeri PRU 2018 sekali lagi berulang, UMNO dijangka berdepan tempoh lebih lama
untuk kembali bangkit pasca-PRU, dengan siri
perpecahan parti akan mula menghiasi perjalanan UMNO selepas itu.

Kedinamikan politik acap kali disentuh dan
diungkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sejak 2018 lagi, memberi maksud mendalam dari sudut hala tuju sebenar UMNO pasca-PRU-15.

Ia seolah-olah memberi isyarat jelas UMNO perlu bersedia dengan landskap politik negara mungkin berubah pasca-PRU-15, terutama ramalan menjangkakan tidak akan ada gabungan parti politik boleh meraih kemenangan kukuh dalam pilihan raya.

Hingga kini, jangkaan sama ada UMNO dan BN mampu menang dengan majoriti dua pertiga di 222 kerusi Parlimen pada PRU-15, menyamai rekod
dicapai di PRN Melaka dan Johor, masih samar dan laluan sebenarnya penuh berliku.

PRN Johor dan Melaka menjadi sandaran terbaik UMNO untuk membina naratif kemenangan dalam PRU-15, namun ramai pemerhati politik melihat kedudukan politik di kedua-dua negeri ini agak berbeza dengan realiti sebenar politik di seluruh negara.

Biarpun UMNO gagal mempertahankan Johor dan Melaka pada PRU 2018, negeri itu masih dianggap kubu kuatnya, berbekal prestasi kemenangan khususnya di kebanyakan kerusi DUN pada PRU-14.

Namun, situasi di negeri jauh berbeza. Selangor dan Sabah contohnya, memiliki 47 kerusi Parlimen atau menyumbang 21 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi Parlimen yang ada.

Pada PRU 2018, BN hanya menang dua kerusi
Parlimen di Selangor, bahkan gagal menawan semula negeri itu sejak PRU 2008. Sementara di Sabah, pencapaian UMNO dan BN pada 2018 hanya menang 10 daripada 25 kerusi Parlimen.

Keputusan itu menyaksikan Sabah bukan lagi
dianggap 'deposit tetap' UMNO, ditambah episod perpecahan UMNO Sabah pada 2019, meletakkan
dominasi mereka semakin mengecil.

Apatah lagi kemunculan Parti Warisan
(WARISAN) sejak Oktober 2016, sudah menggugat kedudukan UMNO untuk kembali mendominasi
politik negeri itu.

Sementara di Kelantan, harapan untuk melihat kerjasama UMNO dan PAS, seakan kelam selepas Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad
Jazlan Yaakob sudah menyatakan pendirian UMNO negeri itu menolak kerjasama dengan PAS pada PRU-15.

Situasi di Terengganu juga dijangka sama, selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Ahmad Said lebih awal menyatakan pendiriannya bergerak solo dan enggan membentuk sebarang
kerjasama dengan PAS bagi mendepani PRU.

Justeru, sasaran UMNO untuk menang lebih
80 kerusi Parlimen pada PRU akan datang, jika bersandarkan kerusi daripada negeri dianggap
penyumbang utamanya seperti Pahang, Perlis,
Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak, sebenarnya belum memadai.

Sungguhpun harapan masih boleh disandarkan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS), UMNO serta komponen lain BN perlu meraih kemenangannya sendiri bagi menjamin pembentukan kestabilan
politik di negara ini selepas ini benar-benar terlaksana.

Formula 'kesepakatan' dirintis UMNO dan PAS
di Selangor terutama bagi mengelak pertembungan sesama sendiri, wajar dicongak untuk diperluas
ke beberapa negeri lain khususnya Kedah, Johor serta Perak. Memandangkan, tiga negeri ini saja
menyumbang 65 kerusi Parlimen atau 29 peratus
daripada keseluruhan kerusi yang ada.

Jika formula ini sukar dijayakan, pilihan UMNO dan BN adalah bersedia membentuk rundingan kerjasama dengan parti lain seperti WARISAN, Perikatan Nasional (PN), bahkan Pakatan Harapan (PH), jika tiada gabungan parti berjaya meraih cukup kerusi membentuk kerajaan.

Jalan rundingan seumpama ini diakui mencabar dan jika tidak diurus dengan baik, boleh meletakkan asas kestabilan politik negara kembali berada di kedudukan tidak menentu.

Penulis adalah wartawan BH

Berita Harian X