Jumaat, 11 March 2022 | 11:00am

Keputusan PRN Johor isyarat sokongan pengundi PRU-15

Seramai 2.54 juta pengundi biasa yang berdaftar layak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok. Sebelum ini 21,407 pengundi awal dan 36,729 orang mengundi secara pos menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Dengan 239 calon daripada 11 parti dan calon Bebas merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu jumlah calon paling ramai bagi PRN Johor kali ini, kemeriahan ini sudah pasti mengatasi kemeriahan tiga PRN terdahulu di Sabah, Melaka dan Sarawak.

Kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka pada November tahun lalu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga, menjadikan PRN Johor tumpuan.

Selepas mengalami prestasi buruk dalam PRN Melaka, Pakatan Harapan (PH) dirundung malang pada PRN Sarawak apabila sekadar menang dua kerusi melalui DAP.

Justeru, PRN Johor ini menjadi medan kepada PH untuk membuktikan mereka masih berada di hati pengundi dan jika gagal, ia pasti menyukarkan laluan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.

Ujian paling getir pada PRN Johor adalah bagi Perikatan Nasional (PN) dan blok pembangkang PH yang perlu bekerja keras untuk mencatatkan prestasi lebih baik berbanding PRN Melaka.

Berbaki sehari tempoh berkempen, PH dan PN masih bergelut untuk memilih siapa akan dilantik menjadi Menteri Besar jika mereka berjaya membentuk kerajaan negeri.

Mungkin PN dan PH mengambil iktibar pada PRN Melaka lalu apabila tindakan mengumumkan calon Menteri Besar seperti memakan diri sendiri.

Walaupun ketika awal berkempen ada beberapa nama disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar, sehingga akhir kempen, parti dilihat tidak berani mengumumkan calon sebenar Menteri Besar, mungkin juga bimbang ia sedikit sebanyak mengganggu rentak sokongan rakyat.

Sejak PRU-14 pada 2018 lalu, jawatan Menteri Besar Johor bertukar tangan tiga kali iaitu Datuk Osman Sapian dari PH (Mei 2018 hingga April 2019) dan ditukar kepada Datuk Dr Sahruddin Jamal, juga dari PH mulai April 2019 hingga Februari 2020.

Jawatan itu 'kembali' ke tangan UMNO apabila Datuk Seri Hasni Mohammad memegang jawatan sejak Februari 2020, seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sementara itu, pada PRN ini, BN, PH dan PN, masing-masing 'terdesak' dan 'wajib' menang sebagai membuktikan sokongan terhadap parti masih utuh, demi memastikan kesinambungan sokongan pada PRU-15 nanti.

Isu pembubaran DUN Johor yang dicanang sebagai salah guna kuasa, selain menjaja rekod pemimpin termasuk dalam 'kluster mahkamah', tuduhan rasuah ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta isu FELDA menjadi topik utama dimainkan sepanjang dua minggu kempen PRN Johor berlangsung.

Ketika BN, terutama UMNO menunjukkan keyakinan tinggi menggenggam kemenangan dan kini pada fasa terakhir meraih kemenangan dua pertiga, PH pula yakin dapat mengekalkan kerusi mereka, terutama di kawasan DAP yang dikatakan kekal kubu mereka.

Namun, pada masa, angin bertiup kencang menyatakan undi kepada MCA juga semakin menebal, apatah lagi dengan `kedukaan' pengundi Cina mengenai isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan isu berkaitan ekonomi kaum terbabit.

PN pula dilihat giat berkempen di kawasan Melayu terutama di FELDA yang dianggap 'simpanan tetap' undi Melayu, namun sukar ditafsirkan sokongan terhadap parti berkenaan yang masih dibayangi kegagalan menerajui Johor sehingga menyaksikan perubahan dua Menteri Besar dalam tempoh kurang dua tahun.

Sehingga hari terakhir kempen, pertandingan sebenar dilihat antara PN dan BN, manakala gabungan PH, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Parti Warisan (WARISAN) dan parti lain, dilihat sekadar menjadi 'pelakon tambahan'.

Bagi BN, pecahan pengundi dilihat berlaku dalam kalangan parti politik lain tetapi undi terhadap BN terutama UMNO dianggap solid. Atas andaian itu, di Johor BN dijangka mampu mengulangi kejayaan seperti di Melaka dan di landasan untuk menguasai sehingga 30 kerusi.

Faktor kempen dengan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak seketat ketika PRN Melaka menjadi antara faktor jentera semua parti meneroka setiap pelosok, selain kempen bertubi-tubi melalui media sosial.

BN yang dilihat mampu menangkis, menjawab pelbagai isu panas dilontarkan parti lain dilihat menjadi 'magnet' untuk menarik sokongan pengundi kepada parti terbabit.

Pengumuman pembukaan semua pintu sempadan negara, selain peningkatan harga kelapa sawit dan kisah peneroka FELDA mampu meraih pendapatan sehingga lebih RM10,000 dan tanpa isu tempatan turut menjadi tarikan pengundi untuk menyokong BN.

Bagi pengundi, termasuk golongan muda, mereka cenderung untuk memilih parti yang diyakini mampu menghidupkan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Apa yang pasti, keputusan PRN Johor esok bakal menjadi indikator terhadap tahap sokongan pengundi kepada BN, PN, PH dan parti lain untuk menempuh PRU-15 nanti.

Pensyarah Ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X