Isnin, 28 Februari 2022 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Angkat martabat bahasa Melayu tanggungjawab Keluarga Malaysia

Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggunakan bahasa Melayu dalam ucapannya serta sidang media di Bangkok, Thailand kelmarin, ia membuktikan bahasa Melayu adalah bahasa antarabangsa.

Sebelum ini, Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu pada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perkembangan ini perlu diberikan perhatian semua pihak khususnya kerajaan. Tanggungjawab meningkatkan citra bahasa kebangsaan di dalam negara dan antarabangsa ini bagaimanapun memerlukan tekad seluruh rakyat.

Ia tidak boleh dipikul Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), universiti atau golongan cendekiawan bahasa sahaja, tetapi tanggungjawab semua pihak Keluarga Malaysia yang memperaku prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan.

Apabila pincangnya bahasa kebangsaan dalam arena pentadbiran negara maka pentadbiran yang memberikan teladan pincangnya amalan menghayati Rukun Negara.

Sekarang bukan masa untuk 'tepuk dada tanya selera', tetapi bagaimana minda seluruh pentadbir, karyawan dan profesional yang memacu kegemilangan negara dalam pelbagai sektor dan bidang memainkan peranan utama dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Hal ini berlaku di Jepun, China, Jerman, Perancis, Russia dan negara lain yang mengangkat bahasa kebangsaan negara mereka terus menjadi mercu tanda dan identiti budaya bangsa.

Sebagai Keluarga Malaysia, kita sewajarnya menghormati Rukun Negara dan penggunaannya bahasa kebangsaan bukan sepatutnya hanya berlaku di sektor awam, malah sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim pernah menjelaskan seseorang itu perlu mempunyai keberanian dan keyakinan tinggi terhadap diri dan bangsa untuk meningkatkan martabat bahasanya.

Mereka tidak harus bimbang atau tidak terkesan dengan anggapan atau tohmahan mengatakan mereka ini tidak pandai berbahasa Inggeris dan tidak nampak seperti golongan terpelajar.

Seperkara lagi yang perlu dititikberatkan oleh Keluarga Malaysia ialah tidak boleh bersikap ambil mudah kepada bahasa Melayu.

Setiap kaum dalam negara ini mungkin mempunyai sudut pandang berbeza mengenai tanggungjawab mempelajari bahasa kebangsaan secara bersungguh-sungguh sejak di bangku sekolah.

Ia susulan kemajuan teknologi dan media sosial kini memburukkan lagi usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan.

Komunikasi yang berlaku dalam masyarakat hari ini juga semakin mengabaikan kesantunan bahasa akibat penggunaan media sosial.

Penggunaan bahasa yang tidak terkawal dan terlalu lancang serta bahasa rojak dilihat memberikan gambaran terhadap psikologi masyarakat Malaysia.

SM Zakir, penerima SEA Writer Awards pernah menyatakan kepentingan membawa bahasa Melayu dalam industri kreatif sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menerusi persembahan Makyung yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), dikir barat dan wayang kulit, ia boleh dijadikan medium untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.

Sementara itu, dalam memperkukuhkan tekad ini, nilai sesuatu bahasa berkait rapat sebenarnya dengan nilai ekonomi atau kemajuan sesebuah negara.

 Keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan kepelbagaian strata sosial menyediakan peluang ekonomi kepada pelabur dan ahli perniagaan. Negara yang ekonominya berkembang pesat, bahasanya juga turut berkembang dengan pesat.

Pembangunan ekonomi dengan lebih lestari dan terangkum menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini destinasi pelaburan utama, secara tidak langsung mendorong penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi.

Dalam pada itu, satu perancangan dan strategi membina perisian atau aplikasi berkaitan bahasa seiring dengan Revolusi Industri 4.0 perlu dilaksanakan bagi mengangkat martabat bahasa kebangsaan.

Portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau prpm.dbp.gov.my adalah inovasi enjin carian bahasa bertaraf dunia dibina DBP untuk membantu memajukan pembinaan serta pengembangan bahasa Melayu untuk rujukan seluruh dunia.

Melalui laporan DBP, sejumlah 125,846,476 kata terdapat dalam data korpus DBP. Data korpus ini amat penting bagi menjana enjin carian bertindak lebih cekap dan pantas untuk membantu pelayar mendapatkan maklumat berkaitan bahasa.

Kemudahan bagi menjadikan bahasa Melayu lebih dinamik ini perlu dipromosi lebih agresif dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan ke pentas antarabangsa.

Satu pelan jangka panjang bagi membina perisian lebih cekap dan boleh digunakan di peringkat antarabangsa melalui portal ini boleh dicadangkan kepada kerajaan untuk diwujudkan.

Melalui perisian ini nanti, terjemahan bahasa Melayu kepada bahasa antarabangsa utama boleh dilakukan di mana saja untuk manfaat semua pihak.

Selain daripada itu kempen mendaftarkan perniagaan bercitrakan bahasa kebangsaan oleh perniagaan tempatan juga perlu digalakkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Citra bahasa ini bukan saja diterjemahkan melalui komunikasi dan pengucapan, tetapi turut melalui komunikasi tanpa suara iaitu paparan papan tanda perniagaan dan iklan.

Semoga lembaran baharu untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa menjadi realiti dengan sokongan dan pembabitan semua pihak sebagai benteng pertahanan dan perpaduan Keluarga Malaysia.

Pakar Psikologi Bahasa dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Berita Harian X