Selasa, 22 Februari 2022 | 7:11pm
Kecekapan digital dalam kalangan tenaga kerja pemangkin ekonomi pada era IR4.0. - Foto hiasan
Kecekapan digital dalam kalangan tenaga kerja pemangkin ekonomi pada era IR4.0. - Foto hiasan

Transformasi tenaga kerja digital Bumiputera pacu ekonomi

PERTUMBUHAN ekonomi dunia semakin dipacu oleh pendigitalan daripada segenap aspek. Tingkah laku pengguna telah beralih kepada pemilihan urusan yang cepat dan mudah melalui internet dan telefon mudah alih.

Hari ini, ekonomi digital adalah komponen utama transformasi bagi banyak negara. Susulan pandemik COVID-19, pembuat dasar di seluruh dunia telah mengiktiraf peraturan dan inisiatif khusus untuk menyokong evolusinya.

Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) menggariskan rancangan untuk mempercepat pencapaian Malaysia sebagai negara ekonomi maju dari segi teknologi. Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya saing di era baharu ini. Inisiatif MyDIGITAL adalah penanda aras yang kritikal untuk merealisasikan Rancangan Malaysia Ke-12, 2021 - 2025 (RMK12).

Ekonomi digital dijangka menyumbang sejumlah 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang 2025. Menurut dokumen RMK12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi (EPU), sumbangan aktiviti e-dagang terhadap KDNK pula disasarkan berada pada kadar 10.5 peratus di bawah agenda memperhebat ekonomi digital.

Dalam tempoh RMK12, usaha akan ditumpukan untuk menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital, memperkukuhkan infrastruktur dan perkhidmatan digital, membangunkan bakat digital tersedia masa hadapan serta menjadikan Malaysia sebagai pusat digital ASEAN. Ekonomi digital akan mengubah perniagaan konvensional serta amalan pengguna untuk mendapatkan maklumat, perkhidmatan dan barangan.

Menurut Laporan Masa Depan Pekerjaan 2020, Forum Ekonomi Dunia (WEF), di Malaysia, lapan daripada sepuluh pekerjaan yang sedang pesat membangun memerlukan kemahiran teknologi digital. Ini termasuk pekerjaan sebagai penganalisis data, saintis data, pakar internet semua benda (IoT), pakar transformasi digital dan pakar keselamatan siber.

Kajian sama juga mengunjurkan 50 peratus daripada semua pekerja akan memerlukan kemahiran semula menjelang 2025. Dari segi penawaran kerja, menurut tinjauan Randstad 2018, hampir 90 peratus tenaga kerja di Malaysia percaya mereka tidak mempunyai kemahiran khusus untuk bekerja dalam persekitaran digital manakala pengangguran dalam kalangan siswazah juga menyaksikan peningkatan disebabkan kekurangan kemahiran digital.

Kajian Pengesan Graduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2018, menyatakan bahawa satu daripada lima graduan menganggur yang mempunyai kemahiran digital telah terbukti sebagai sebahagian daripada penyelesaian isu penawaran kerja.

Menurut Laporan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA) 2018, sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) menyumbang 18.5 peratus kepada KDNK Malaysia, yang tertinggi di rantau ini dan 30 peratus kepada ekonomi Internet ASEAN. Persoalan kini timbul sama ada rakyat Malaysia mempunyai kemahiran yang betul seiring dengan perubahan dan perkembangan ekonomi digital.

Modal insan adalah komponen penting dalam ekosistem digital negara kerana kecekapan digital dalam kalangan bakat ini adalah pemangkin pendigitalan merentas Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), industri dan dalam kalangan rakyat secara keseluruhan. Pendekatan holistik diperlukan lebih-lebih lagi apabila kemahiran digital diperlukan dalam hampir semua lapisan dan segmen masyarakat.

Memandangkan teknologi digital telah mula memainkan peranan yang lebih kritikal dalam ekonomi, semakin jelas bahawa terdapat keperluan dan permintaan untuk menyediakan bakat baharu dalam kalangan graduan baharu atau tenaga kerja sedia ada.

Yayasan Peneraju mempunyai perancangan lima tahun di mana kami akan membantu kerajaan menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan baharu, memperkasa kumpulan B40 termasuk golongan miskin bandar, luar bandar, kumpulan minoriti seperti Orang Asli dan memberi peluang kepada golongan yang telah dibuang kerja.

Kami menawarkan pelbagai program re-skill dan upskill dalam sektor teknologi yang diiktiraf dan diakreditasi oleh industri seperti Big Data Analytics, Cloud Computing, Cybersecurity, Artificial Intelligence, Blockchain, System Integration dan lain-lain lagi selain penerapan elemen Nurture & Development (Memupuk & Membangun) dalam program-program Yayasan Peneraju bagi membentuk modal insan yang holistik dan lebih berdaya saing.

Kami percaya bahawa untuk melahirkan individu berdaya saing bukan sahaja perlu dipersiapkan dalam bentuk ilmu pengetahuan semata-mata tetapi juga dalam bentuk kemahiran insaniah dan sahsiah selain kemahiran teknikal agar penerima faedah kami lebih marketable dan employable.

Yayasan Peneraju komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai pihak kepentingan termasuk pihak kerajaan, pihak swasta, agensi kerajaan, badan penajaan, institusi pendidikan, latihan serta industri. Usahasama ini demi memupuk, membangun dan memperkukuhkan kemampuan dan keupayaan modal insan Bumiputera agar dapat menyumbang ke arah peningkatan sosio-ekonomi negara kita untuk mentransformasikan 'Keluarga Malaysia' menjadi celik digital (digital savvy) demi mencapai matlamat MyDIGITAL, RMK-12 dan Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030).

Yayasan Peneraju meraikan ulang tahun ke-10 pada 14 Februari 2022. Dalam jangka masa ini, kami telah berjaya merealisasikan aspirasi lebih 46,000 penerima faedah menerusi lebih 370 program pembiayaan dari pelbagai segmen kumpulan Bumiputera di seluruh Malaysia termasuk kumpulan B40, M40, luar bandar dan terpinggir membabitkan agihan peruntukan lebih RM940 juta.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera

Berita Harian X