Selasa, 22 Februari 2022 | 11:00am
Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia dapat membantu usahawan PMKS memiliki aset tambahan dalam sektor kewangan untuk memperkukuhkan lagi perniagaan pada masa hadapan.
Inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia dapat membantu usahawan PMKS memiliki aset tambahan dalam sektor kewangan untuk memperkukuhkan lagi perniagaan pada masa hadapan.

Suntikan ekuiti tingkat untung, perkasa daya saing PMKS

Oleh Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin

bhrencana@bh.com.my

Pelancaran inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam adalah tepat pada masanya dan perlu diberi perhatian semua pihak.

Tahun ini sangat signifikan kepada ekonomi Malaysia yang akan menentukan sejauh mana keupayaan ekonomi kita bukan sahaja untuk memulih kembali daripada hambatan pandemik COVID-19, tetapi juga dalam usaha untuk menyusun semula ekonomi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 seperti disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Selepas hampir dua tahun ekonomi negara mengharungi cabaran pandemik COVID-19, ekonomi Malaysia sudah mula menampakkan tanda pemulihan. Jumlah perdagangan Malaysia misalnya sudah mencecah angka RM2 trilion selepas berkembang pada kadar 24.6 peratus dari Januari hingga November tahun lalu berbanding dengan tempoh sama pada 2020.

Kesan daripada pembukaan sempadan negeri dan daerah pada Oktober tahun lalu, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat pada kadar 5.4 peratus kepada RM116.4 bilion pada bulan berkenaan.

Kadar pengangguran juga berkurangan kepada 4.3 peratus pada Oktober lalu, berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020. Pada suku keempat 2021, ekonomi Malaysia bertumbuh pada kadar 3.6 peratus dan pada tahun keseluruhan 2021, ekonomi Malaysia berjaya bertumbuh pada kadar 3.1 peratus.

Kadar pengangguran juga sekarang berada pada trend penurunan dan kadar inflasi masih berada tahap stabil. Dasar monetari negara juga masih lagi bersifat akomodatif kepada perniagaan dan pelaburan dan pro kepada pertumbuhan pada ketika ini.

Sebelum pelancaran program Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini, Ismail Sabri sudahpun melancarkan satu lagi inisiatif penting dalam fasa pemulihan ekonomi negara, iaitu inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Kedua-dua inisiatif ini adalah saling melengkapi, yang lahir dalam dokumen Bajet 2022 untuk mengatasi pelbagai isu dan cabaran ekonomi baik dalam jangka pendek, mahupun jangka sederhana seperti juga digariskan dalam RMK-12.

Antara isu dan cabaran ini adalah penciptaan peluang pekerjaan dan juga pemerkasaan kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang begitu terjejas teruk dihambat kesan pandemik dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan pada tahun lalu dan 2020.

Jadi, fokus utama dalam program Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini lebih kepada pemerkasaan PMKS dan akan melengkapkan inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia untuk meningkatkan peluang pekerjaan supaya akhirnya tahap kadar pengangguran dapat diturunkan hingga di bawah 4 peratus pada tahun ini.

Di bawah program Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini, sebanyak RM40 bilion diperuntukkan, yang merangkumi pinjaman kredit mikro, pembiayaan ekuiti, pinjaman mudah bagi PMKS dan jaminan pembiayaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

Jadi, bukan sahaja penggerak PMKS, tetapi perniagaan besar yang terkesan akibat daripada pandemik ini juga boleh mendapat manfaat daripada program ini. Khusus kepada PMKS, RM1.8 bilion sudah diperkenalkan yang beberapa skim ini juga mempunyai ciri-ciri seperti pemberian moratorium selama 12 bulan.

Namun, apa yang menarik dalam inisiatif Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini adalah suntikan berbentuk ekuiti kepada perniagaan yang begitu terjejas akibat pandemik. Instrumen ini dilihat sangat inovatif untuk membantu peniaga dan usahawan bukan sahaja untuk bangkit semula daripada kesan pandemik, tetapi juga menjadi lebih baik pada masa hadapan.

Oleh itu, suntikan dalam bentuk ekuiti ini, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dilihat dapat membantu peniaga dan usahawan untuk memiliki aset tambahan dalam sektor kewangan untuk memperkukuhkan lagi perniagaan mereka yang sudah sedia ada.

Suntikan berbentuk ekuiti ini akan memberikan penampan atau 'buffer' kepada mereka dalam keadaan yang tidak dapat dijangka seperti pandemik ini, sekali gus akan menambahkan aset dan keuntungan mereka pada masa keadaan ekonomi bertambah baik.

Selain itu, suntikan berbentuk ekuiti ini akan mendedahkan dan juga mensiapsiagakan peniaga dan usahawan PMKS dalam bentuk ekonomi baharu pasca pandemik, seperti model perniagaan berbentuk kelestarian, ekonomi digital dan juga bentuk blended financing. Ini semua sejajar dengan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 yang dilancarkan baru-baru ini.

Jadi, diharapkan usahawan dan peniaga terutama dalam sektor PMKS untuk merebut peluang ini supaya mereka dapat bukan sahaja bangkit kembali daripada masalah perniagaan yang berlaku akibat daripada pandemik ini, tetapi menjadi lebih baik dan pada masa hadapan, tidak perlu lagi bergantung kepada kerajaan apabila adanya keadaan yang di luar jangka berlaku.

Penulis adalah Pensyarah Ekonomi, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X