Ahad, 20 Februari 2022 | 11:00am
Langkah drastik perlu diambil untuk semua yang layak mengambil dos penggalak bagi mengurangkan penularan COVID-19.
Langkah drastik perlu diambil untuk semua yang layak mengambil dos penggalak bagi mengurangkan penularan COVID-19.

Segera ambil dos penggalak elak kesan teruk serangan Omicron

Oleh Prof Madya Dr Malina Osman

bhrencana@bh.com.my

Dunia menyaksikan badai Omicron sejak Krismas lalu dengan angka peningkatan drastik di seluruh dunia. Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan negara beriklim sederhana mula terkesan dengan lonjakan kes begitu tinggi.

Di United Kingdom (UK) umpamanya, sistem perkhidmatan kesihatan mereka hampir lumpuh apabila sebahagian petugas barisan hadapan dijangkiti strain Omicron dan perlu dikuarantin atau mendapatkan rawatan.

Lonjakan kes juga mula dicerap India, Jepun dan Korea Selatan yang turut menghadapi situasi serupa. Ada ketika pada satu masa, lebih sejuta kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam.

Bagaimanapun, impak klinikal Omicron agak berbeza berbanding jangkitan disebabkan varian Delta. Secara umum, ia didapati ringan dan tidak menyebabkan kesan komplikasi seperti Delta.

Namun, seperti jangkitan lain, tindak balas terhadap jangkitan Omicron juga bergantung kepada faktor individu. Kesan ringan ini secara umum berlaku pada mereka yang sihat, tiada komorbid, usia dewasa dan muda serta mempunyai ketahanan tubuh baik.

Kesan teruk jangkitan masih berlaku ke atas mereka mempunyai sistem imun tidak memuaskan, berpenyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, sakit buah pinggang, kanser dan terimuokompromi.

Impak teruk itu didapati ketara dalam kalangan mereka mempunyai dos vaksin tidak lengkap dan belum divaksin. Di AS, lebih 70 peratus kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) dalam kalangan mereka dijangkiti adalah yang belum divaksin dan sebahagian lagi mempunyai risiko komorbid serta faktor usia.

Pada masa ini, Malaysia berdepan peningkatan semula kes agak mendadak. Meskipun pola peningkatan kes aktif dicerap mulai pertengahan Januari lalu, pola meningkat tinggi dalam tempoh agak singkat sejak awal bulan ini.

Dalam tempoh 14 hari, kes aktif melonjak daripada 60,000 ke lebih 180,000, iaitu lebih kurang tiga kali ganda.

Pada minggu ini juga, didapati peningkatan ketara kemasukan ke wad, ICU dan mereka perlu menerima bantuan pernafasan. Dukacita angka kematian termasuk kematian di luar hospital (BID) juga dalam pola meningkat.

Data turut menunjukkan pesakit tahap 3, 4 dan 5, majoritinya atau 70 hingga 80 peratus adalah dalam kalangan mereka belum divaksin serta menerima dos penggalak.

Kelantan menunjukkan peratus penerimaan paling rendah, iaitu sekitar 61 peratus untuk vaksin secara keseluruhan dan dos penggalak. Negeri berkenaan juga mencatatkan kemasukan ke ICU paling tinggi.

Meskipun makluman harian menunjukkan peratus untuk tahap 1 dan 2 kebanyakan melebihi 99.5 peratus, peratusan kecil mendapat gejala berkenaan berpotensi berubah ke tahap 3, 4 dan 5 bila-bila masa selepas diagnosis disahkan.

Ini jelas berlaku dalam kalangan mereka mempunyai faktor risiko komorbid tidak terkawal dan belum pernah didiagnos sebelum ini, imunokompromi, hamil dan kebanyakan mereka ini tidak lengkap divaksin serta belum menerima dos penggalak.

Dengan angka kes aktif terus melonjak dan barisan hadapan kini perlu melaksanakan juga tugas berat membuat pengurusan susulan mereka yang perlu dikuarantin di rumah, kita sekali lagi mesti sama-sama berganding bahu membantu negara mengurangkan penularan.

Langkah drastik perlu diambil untuk semua yang layak mengambil dos penggalak, tetapi belum memperoleh tarikh janji temu perlu menyegerakan proses berkenaan dan mendapatkannya di pusat pemberian vaksin (PPV) dimaklumkan.

Vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun juga perlu segera dilaksana menurut janji temu diberikan.

Semua interaksi sosial membabitkan makan minum patut dibataskan untuk mereka yang sudah menerima dos penggalak sahaja. Mereka juga perlu melakukan ujian saringan sebelum dan selepas majlis.

Mereka yang mempunyai faktor risiko, mengamalkan tingkah laku berisiko (merokok dan vaping), wanita hamil dan warga emas yang masih belum menerima dos penggalak dinasihatkan tidak hadir ke majlis berkenaan.

Demikian juga kanak-kanak yang belum atau tidak boleh divaksin perlu dilarang berada pada majlis berkenaan.

Dalam konteks mengekang angka komplikasi serius dan kemasukan ke wad terus melonjak, disyorkan agensi bertanggungjawab memasukkan arahan larangan hadir ke majlis interaksi sosial kepada semua mereka berisiko sebagai peraturan dalam aktiviti sedia.

Situasi ini perlu dipantau dan ditekankan bahawa larangan berkenaan adalah bersifat sementara sahaja. Kebenaran hadir ke majlis sosial boleh diteruskan apabila golongan berkenaan sudah mendapat dos lengkap, dos penggalak atau ketika situasi kembali stabil (tiada lagi lonjakan kes aktif), prosedur operasi standard (SOP) itu boleh dilonggarkan semula.

Bagi memastikan proses pemulihan ekonomi negara berjalan lancar, semua aktiviti berkaitan boleh diteruskan dalam kerangka prosedur dan syarat seperti sedia ada dengan hanya mengenakan sekatan pergerakan kepada individu berisiko sahaja.

Diharapkan juga masyarakat dapat mengambil nasihat mengenai vaksin daripada pakar dan doktor perubatan yang benar-benar berada di barisan hadapan, merawat dan menguruskan pesakit COVID-19.

Mereka yang tidak bertugas dalam 'dunia sebenar' boleh mengemukakan apa sahaja pandangan dan pendapat mengenai strategi terbaik, namun sudah pasti dalam konteks analogi lebih tepat, hanya mereka yang 'memegang senjata di medan perang' menjadi individu terbaik untuk menyampaikan maklumat situasi peperangan sebenar.

Sudah tentu bukan dalam kalangan mereka yang berperang atas 'pena dan kertas' sahaja.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X