Sabtu, 15 Januari 2022 | 11:00am
Tindakan segera perlu diambil untuk memastikan pekerja sektor tidak formal mempunyai perlindungan sosial mencukupi dan simpanan hari tua. - Foto hiasan/BERNAMA
Tindakan segera perlu diambil untuk memastikan pekerja sektor tidak formal mempunyai perlindungan sosial mencukupi dan simpanan hari tua. - Foto hiasan/BERNAMA

Gubal dasar pastikan pekerja sektor tidak formal dilindungi

Sektor tidak formal biasanya memberi sumbangan penting terhadap pertumbuhan ekonomi untuk negara kurang maju. Malaysia sebagai negara sedang membangun juga tidak terkecuali kerana sedikit sebanyak bergantung kepada sektor tidak formal.

Walaupun sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mungkin kecil, kepentingan sektor ini untuk memberi pekerjaan kepada umum tidak dapat dinafikan.

Selain itu, sektor tidak formal turut memberi pendapatan tambahan kepada banyak isi rumah, terutama untuk masyarakat bandar yang terus dihimpit kos sara hidup yang sering dikatakan meningkat atau mungkin lebih tepat, pendapatan kecil.

Ini bermakna sektor itu mampu mengharmonikan keadaan sosioekonomi negara. Tanpanya, keadaan akan lebih buruk dan mungkin terdedah kepada tekanan sosial serius.

Apakah sektor tidak formal? Terlebih dahulu, ia perlu dibezakan dengan aktiviti menyalahi undang-undang dan tidak bermoral atau ekonomi bawah tanah (underground).

Dalam konteks tulisan ini, sektor tidak formal didefinisikan sebagai semua jenis pekerjaan selain aktiviti bawah tanah dan pekerjaan formal lain. Pekerjaan formal bermakna pekerjanya berdaftar, bekerja sepenuh masa dan menerima gaji bulanan.

Ini bermakna pekerjaan tidak formal agak luas termasuk pekerjaan sambilan atau separuh masa, pekerja gig, bekerja sendiri, kerja kampung atau petani, nelayan dan seumpamanya serta peniaga sambilan kecil-kecilan di pasar malam atau di tepi jalan.

Sebahagian pekerjaan itu ada menyalahi undang-undang atau lebih tepat lagi peraturan kerana tidak berdaftar, tiada lesen dan permit. Bagaimanapun, apa dimaksudkan di sini adalah tidak termasuk pekerjaan tidak bermoral atau beretika mengikut norma sosial.

Satu persamaan untuk semua jenis pekerjaan tidak formal itu adalah tidak mempunyai perlindungan sosial formal. Mereka tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau skim perlindungan pendapatan masa tua selepas bersara serta tiada perlindungan ketika bekerja kerana tidak menjadi ahli Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Jadi, mereka terdedah kepada risiko jaminan pendapatan berterusan sepanjang hayat. Walaupun mungkin ada yang secara sukarela memasuki skim itu atau menabung, bilangannya adalah kecil hingga ia perlu ditangani melalui dasar awam.

Bagaimanapun, semua pekerjaan itu adalah penting dari sudut sosioekonomi. Tanpa mereka, ia memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan sosioekonomi negara. Malaysia juga komited terhadap Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada 2015, semua negara anggota PBB termasuk Malaysia bersetuju menerima pakai SDG untuk mengambil tindakan menghapuskan kemiskinan, mempertahankan planet dan memastikan semua penduduk menikmati keamanan serta kesejahteraan menjelang 2030.

Matlamat pertama daripada 17 matlamat adalah untuk menghapuskan segala bentuk kemiskinan. Sektor tidak formal ini sedikit sebanyak berjaya membantu banyak isi rumah keluar daripada kemiskinan.

Walaupun Malaysia hampir berjaya keluar daripada kemiskinan mutlak, kemiskinan relatif adalah masih tinggi. Namun, jika mereka tidak mempunyai perlindungan pendapatan masa tua, ramai golongan warga emas akan terdedah kepada kemiskinan.

Untuk jangka panjang, suatu mekanisme perlu difikirkan supaya sektor tidak formal ini diformalkan. Dengan demikian, sektor ini boleh memberi sumbangan lebih bermakna terhadap pertumbuhan ekonomi.

Namun, tindakan segera perlu diambil untuk memastikan pekerja sektor ini mempunyai perlindungan sosial mencukupi. Jika tidak, ia akan memberi tekanan kepada masyarakat keseluruhannya. Jurang pendapatan akan meluas jika golongan warga emas tidak mempunyai perlindungan pendapatan setimpal.

Suatu dasar berkesan perlu digubal. Pekerja dalam sektor tidak formal perlu tergolong dalam skim perlindungan pendapatan masa tua. Kaedah caruman berkesan perlu diwujudkan tanpa membebankan pekerja. Kaedah sumbangan secara sukarela terbukti tidak berkesan, maka ia perlu dielakkan.

Perlu diingat, sektor tidak formal meningkat secara mendadak dari segi sumbangan kepada pekerjaan kesan daripada pandemik COVID-19 melanda dunia.

Kemungkinan besar ia menjadi satu perubahan kekal, bukan lagi bersifat sementara. Ia sudah diterima sebagai norma baharu oleh masyarakat.

Bilangan pekerja gig seperti perkhidmatan penghantaran meningkat dengan ketara. Sebahagiannya, mungkin akan menjadi pekerjaan tetap.

Harus diingat ekonomi gig juga tidak terhad kepada sektor berkemahiran rendah. Ia juga sesuai untuk jenis pekerjaan berkemahiran tinggi dan separa mahir.

Maka, dasar perlindungan sosial yang baik akan memberi motivasi untuk pertumbuhan ekonomi gig. Pertumbuhan ekonomi gig pula dilihat mampu meningkatkan produktiviti, seterusnya memberi sumbangan positif terhadap pertumbuhan ekonomi.

Begitu juga dengan aktiviti perniagaan kecil-kecilan dilihat tumbuh dengan pesat. Ia juga perlu diberi galakan melalui dasar perlindungan sosial yang baik.

Suatu mekanisme berkesan, tidak membebankan dan mudah dilaksanakan perlu digubal.

Felo Kanan Social Welbeing Research Centre (SWRC), Universiti Malaya (UM)

Berita Harian X