Khamis, 11 November 2021 | 11:00am
Gambar hiasan/Salhani Ibrahim
Gambar hiasan/Salhani Ibrahim

Guna kuasa mengundi, tamatkan politik lompat parti di Melaka

Oleh Mujibu Abd Muis

bhrencana@bh.com.my

Gelanggang demokrasi dibuka di Melaka secara rasmi, sekali gus memulakan pilihan raya paling terbuka dan seimbang dalam sejarahnya di negara ini. Bagaimanapun, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang diadakan dalam fasa pemulihan COVID-19 menjadi pilihan raya paling sendu disebabkan amalan norma baharu menghalang parti bertanding mengadakan kempen atau ceramah terbuka.

Dengan peratusan keluar mengundi dijangka rendah, PRN ini akan menguji kekuatan akar umbi parti masing-masing. Maka, faktor calon menjadi faktor terpenting berbanding jentera dan manifesto dalam merangka strategi berkempen. Mungkin sebab itulah parti bertanding menampilkan hampir 85 peratus muka baharu mewakili pelbagai latar belakang.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), peratusan mengundi tinggi sekitar 88 peratus menyaksikan Pakatan Harapan (PH) menang, maka apakah keputusan kali ini tidak akan memihak PH selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meramalkan peratusan pengundi sekitar 70 peratus sahaja?

Gabungan PAS dan BERSATU menerusi

Perikatan Nasional (PN) menjadikan PRN lebih menarik kerana julung kalinya parti kerajaan
berlawan sesama sendiri dalam satu pilihan raya. Dengan gabungan itu, ia menjadikan pertandingan tiga penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) dan PH menjadi sengit dan terbuka.

Jadi apakah keputusan BN bergerak solo akan membuahkan hasil selepas pakatan politik mereka bersama PAS melalui Muafakat Nasional (MN) berjaya merampas beberapa kerusi PH dalam siri Pilihan Raya Kecil (PRK)? Ketidakupayaan komponen bukan Melayu BN untuk menyumbang mampu menggugat peluang BN memperoleh majoriti diperlukan.

BN memperuntukkan lapan kerusi, iaitu tujuh untuk MCA dan MIC (satu), sekali gus menunjukkan setiakawan BN masih tinggi, walaupun sebenarnya membahayakan parti itu sendiri.

Kekuatan PH menerusi DAP dalam konteks pengundi bukan Melayu di Melaka masih sukar disaingi komponen bukan Melayu BN. Sebanyak 10 kerusi ditandingi calon bukan Melayu mungkin akan menjadi penentu kepada keputusan PRN ini, iaitu Gadek, Machap Jaya, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir dan Bemban.

Jangkaan awal melihat pecah undi di kawasan pengundi Melayu barangkali akan menjejaskan peluang BN. Untuk rekod, UMNO hanya menang 13 kerusi dengan enam mencatat majoriti kurang 1,000 undi. DUN Merlimau mencatatkan majoriti kemenangan paling tipis UMNO dengan 130 diikuti Asahan (275); Rim (536); Lendu (627); Taboh Naning (740) dan Pantai Kundor (772), manakala semua komponen bukan Melayu BN tewas di 10 kerusi diperuntukkan.

Melihat trend itu, jelas kekuatan akar umbi
UMNO menjadi penyelamat kepada BN. Walaupun tewas, BN masih mampu mengekalkan kerusi berkenaan, sekali gus mengelakkan BN kalah teruk di negeri itu dalam PRU-14 kepada PH.

Kali ini, apakah BN-UMNO masih ada kekuatan
berkenaan yang nampaknya sekali lagi berhadapan senario serupa; pertandingan tiga penjuru, saingan parti lawan seimbang dan ketiadaan jentera bagi membantu kempen. PH dijangka terpaksa berkerja keras disebabkan peratusan dijangka rendah.

Pengundi luar tidak pulang mengundi mungkin akan menjejaskan sokongan PH berbanding PRU-14. Dengan pertandingan tiga penjuru dijangka menjejaskan undi parti saingan di kawasan pengundi Melayu dan sokongan bukan Melayu masih kuat bersama PH, formula serupa dengan mencuri sekurang-kurangnya lima kerusi di kawasan itu menjadi pertaruhan.

Dengan ketiadaan jentera dan hambatan berkempen akan menyukarkan usaha parti untuk sampai kepada pengundi, jelas kekuatan akar umbi sangat penting dalam PRN kali ini. Mana-mana parti mampu menggembleng unsur ini dijangka akan mempunyai kelebihan ke atas parti lawan.

Ini menjadikan pertandingan pelbagai penjuru juga menarik untuk diperhatikan. Selepas dua
senario berlaku ketika PRK Sungai Besar dan
Kuala Kangsar 2016 dan PRU-14 2018 menyaksikan keputusan berbeza buat parti bertanding, apakah mungkin perkara serupa akan berlaku dalam PRN ini. Persoalannya trend manakah akan berlaku, PRK 2016 ataupun PRU-14 2018?

Menarik juga kempen terhad kali ini membawa kita kepada imbauan apa yang berlaku ketika PRK Kuala Kangsar 2016. Ketika itu, calon BN tidak dapat berkempen secara terbuka disebabkan masih dalam edah, memanfaatkan sepenuhnya teknologi menerusi kaedah skrin bergerak dan rakaman
video. Walaupun begitu, ia masih membuahkan hasil kepada BN yang menang dengan majoriti 6,969 menewaskan calon PH dan PAS.

Jelas kekangan berkempen bukanlah penghalang mana-mana parti memancing undi. Penggunaan media sosial dan kempen secara maya mungkin akan menjadi platform baharu dalam politik pilihan raya. Mana-mana parti cepat dan pantas beradaptasi mungkin memiliki kelebihan.

Apapun culaannya, pertandingan pelbagai
penjuru ini adalah rahmat kepada pengundi
di Melaka. Mereka mempunyai pilihan selepas apa disaksikan baik ketika PH, PN dan BN berkuasa. Sebagai pengundi mereka sepatutnya menggunakan kesempatan ini untuk keluar mengundi, bukan sebaliknya kerana ketakutan terhadap
pandemik.

Banyak parti bertanding membolehkan
mereka mempunyai pilihan; sama ada mahu memilih penyandang atau orang lain sebagai kerajaan. Sekiranya mereka mahu menamatkan permainan politik memualkan, PRN inilah caranya.

Sebagai PRN seimbang dan terbuka, kebarangkalian mana-mana parti tidak memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan sangat tinggi. Jadi untuk orang Melaka menyaksikan aktiviti lompat parti, tarik sokongan dijaja melalui retorik mual 'segala-galanya untuk rakyat' mungkin akan berlaku.

Maka gunakanlah kuasa mengundi itu untuk menyelesaikan permasalahan itu secara
'once for all'. Apa yang berlaku jelas merugikan negeri ini sendiri. Apakah warga Melaka masih mahu melihat permasalahan orang politik berebut sumber dan kuasa berterusan menyusahkan negeri ini?

Sekiranya itu menjadi iltizam warga Melaka, maka PRN inilah peluangnya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seremban

Berita Harian X