Sabtu, 10 April 2021 | 11:01am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Yakini program imunisasi demi kepentingan sejagat

HAMPIR setiap pertubuhan kesihatan percaya dan yakin bahawa vaksin adalah pelaburan terbaik untuk kesihatan awam.

Vaksin terbukti menyelamatkan jutaan nyawa dan melindungi jutaan manusia daripada penderitaan dan kesengsaraan.

Dalam konteks COVID-19, diakui vaksin adalah ikhtiar bagi memastikan kita tidak dijangkiti virus pembunuh berkenaan. Lantaran itu, rakyat Malaysia harus patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan bagi menangani pandemik menerusi penggunaan vaksin.

Secara umum, vaksin mengandungi antigen yang diperoleh daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria dimatikan atau dilemahkan.

Antigen dalam vaksin berfungsi merangsang sistem daya lawan jangkitan tubuh dan membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

Di pasaran, ada pelbagai variasi vaksin COVID-19. Antaranya Oxford-AstraZeneca, Pfizer-BioNTech, Sinopharm dan dua jenis vaksin buatan China iaitu SinoVac dan CanSino.

Menjadi tugas kerajaan memastikan vaksin diterima Malaysia terbaik, kurang kesan sampingan, berkesan terhadap COVID-19 dan harga berpatutan.

Selain itu, penting untuk kerajaan dan pakar kesihatan, pakar perubatan serta virologi sentiasa memberikan kenyataan yang tidak bercanggah untuk menyokong kepentingan vaksin COVID-19 kepada rakyat.

Mengimbas sejarah vaksin, ia dianggap pengelak kepada kebanyakan penyakit berjangkit utama dalam kalangan manusia, terutama kanak-kanak. Vaksin terbukti berkesan merangsang imuniti untuk mempertahankan diri daripada penyakit.

Vaksinasi membolehkan kita mencapai imuniti kelompok melebihi ambang 90 peratus. Jika ramai tidak mendaftar dan seterusnya tidak menerima Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sasaran imuniti kelompok kurang 90 peratus tidak boleh tercapai.

Jika dilihat, vaksin diakui mengurangkan kos perbelanjaan kesihatan dengan setiap AS$1 dilaburkan untuk program vaksinasi, mampu menjimatkan AS$16 kos perbelanjaan perubatan, kehilangan pendapatan dan produktiviti.

Malah, kita juga tidak boleh memberi nilai wang ringgit kepada nyawa dan kesengsaraan dialami. Ia pelaburan fiskal yang bijak, lebih-lebih lagi ketika negara dibebani peningkatan hutang kerajaan, belanjawan kesihatan tahunan tidak setimpal dan kos perbelanjaan yang kian meningkat.

Mewajibkan vaksinasi juga disokong falsafah politik dan lunas undang-undang. Setiap agama dan kepercayaan juga menyokong vaksinasi untuk kepentingan sejagat.

Melalui Deklarasi Dakar 2014, cendekiawan Muslim menyokong pemberian vaksinasi. Di Malaysia, penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukan lagi asing dalam perspektif syarak.

Kaedah pencegahan melalui vaksinasi dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia antara 1988 hingga 2013.

Enam keputusan itu membabitkan pelalian rubela (imunisasi rubela) pada 1988; imunisasi Hepatitis B (1988); imunisasi campak, tibi, batuk kokol, difteria, tetanus dan polio (1989); pelalian vaksin meningococcal meningitis (2002) dan dipinda keputusan (2014); vaksin human papilloma virus (2010) dan vaksin meningitis menveo (2013).

Sebagai tambahan, ada juga alim ulama berpendapat pemberian vaksin mengandungi kandungan tidak halal dibolehkan jika perlu dan sebagai pilihan terakhir.

Ini selaras keputusan muzakarah (Majlis Fatwa) menolak pandangan antivaksin kerana mendedahkan manusia kepada mudarat lebih besar.

Menghalang mudarat lebih besar - jangkitan virus COVID-19 yang boleh membawa maut - adalah wajib.

Namun, di sebalik kebaikan vaksin COVID-19, mengapa sehingga kini rakyat Malaysia masih sukar mendaftar dan menerima vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan?

Sehingga 2 April lalu, aplikasi MySejahtera hanya merekodkan 7,625,478 pendaftaran untuk vaksin COVID-19, meliputi 31.4 peratus daripada lebih 24 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Masih jauh daripada sasaran 80 peratus seperti dimuktamadkan kerajaan.

Adakah faktor ini disebabkan kegusaran dan keraguan terhadap kesan suntikan, kekurangan maklumat dan pengetahuan berkaitan vaksin COVID-19 atau peranan aktif golongan antivaksin?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan keraguan terhadap vaksin antara 10 ancaman kesihatan sejagat.

Natijahnya, gerakan kumpulan antivaksin kini lebih teratur, menyebabkan ganggu gugat sistem kesihatan, terutama melalui penyebaran maklumat tanpa asas dan mengelirukan orang ramai menerusi media sosial, sedangkan isu penyakit ini sangat mudah berjangkit dan berupaya menyebabkan kematian.

Semua pihak perlu bersyukur vaksin COVID-19 disediakan secara percuma kerana kerajaan sangat mengambil berat kesihatan rakyat.

Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita perlu yakin dengan kemudahan disediakan kerajaan dan mesti segera mendaftar. Penting juga menggalakkan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan taulan yakin untuk mendaftar dan seterusnya menerima suntikan vaksin ini.

Realiti harus diterima, suntikan vaksin atau imunisasi yang ditetapkan mengambil kira faktor tindak balas pesakit kepada penyakit berkenaan, termasuk daya imunisasi pesakit, kemampuan menerima ubatan dan keadaan kesihatan penerima.

Walaupun ada segelintir pejuang kemanusiaan merujuk kes penyakit yang berlaku selepas mendapat suntikan vaksin, ia sebenarnya terpencil.

Ia juga mungkin disebabkan penyakit sedia ada pada pesakit dan bukan disebabkan suntikan vaksin.

Namun, memandangkan vaksin COVID-19 baru dicuba, pasti wujud persoalan dan keraguan berkaitan. Justeru, peranan ahli bidang dan agensi berkaitan perlu untuk membantu agenda vaksin supaya kebanyakan rakyat terlindung.

Kerajaan perlu melipatgandakan usaha memberi penerangan kepada rakyat. Ia boleh dilakukan melalui medium media cetak atau media elektronik dan stesen penyiaran yang ada.

Setakat ini, kerajaan berjaya menangani krisis COVID-19 dengan baik, tetapi masih banyak perlu dilakukan dan ditambah baik. Dengan kerjasama penuh rakyat, hal itu harus dilakukan dan ia boleh dilakukan.

Libat urus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga digalakkan kerana ia perlu membabitkan pelbagai wakil daripada seluruh lapisan masyarakat. Usaha ini perlu dilakukan secara tersusun.

Malaysia juga perlu mengambil pendekatan mewujudkan undang-undang khusus, bukan hanya untuk menangani kumpulan antivaksin, malah penyebaran maklumat tidak tepat berkaitan isu kesihatan awam.

Peranan terpenting dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan terletak pada tangan masyarakat terbanyak.

Orang ramai mesti mengetahui, menghargai dan menghayati kepentingan vaksinasi. Ia akan membawa kepada pemulihan ekonomi, meningkatkan keyakinan serta membuka jalan untuk akhirnya kembali ke tahap norma tertentu.

Oleh itu, tidak perlu ragu untuk mendaftar inokulasi dan menunggu giliran pada waktu ditentukan. Ingatlah, kita berhutang kepada diri sendiri, orang yang kita sayangi dan orang lain untuk memastikan bahawa kita melakukannya.

Penting dalam soal menjaga nyawa dan penghidupan, tidak ada yang ketinggalan. Ayuh, segera berdaftar dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X