Ahad, 9 Ogos 2020 | 7:50am

Atasi cetak rompak digital sebelum lebih parah

Dua dekad lalu, isu cetak rompak dihadapi industri buku bersifat fizikal. Isu paling besar masa itu ialah kedai fotostat. Di mana ada kolej dan universiti, maka akan ada banyak kedai fotostat di sekelilingnya.

Buku pengajian peringkat tinggi banyak difotostat. Dari semasa ke semasa, terdengar cerita pencetak 'hantu' membuat cetak rompak kamus, novel dan buku agama secara besar-besaran.

Ketika itu, senior dalam industri selalu berpesan dan memberi tip bagaimana mengelak buku dicetak rompak. Mereka pernah melalui pengalaman first hand menjadi mangsa cetak rompak.

Pada zaman itu juga, apabila pergi ke pesta buku di Indonesia, penjual buku 'bajak' ramai di tepi jalan. Mereka semacam carta jualan best seller bergerak. Apa penjual buku 'bajak' tawarkan, itulah tajuk menghuni senarai 10 teratas kedai buku.

Apabila musim pusat tuisyen tumbuh bagaikan cendawan, penerbit buku akademik mengeluh bahan mereka berleluasa dikompilasi, difotostat dan dijual kepada pelajar. Sehingga ada pusat tuisyen dikenali kerana produk 'kompilasi' mereka.

Seterusnya, zaman animasi tempatan. Isu cetak rompak meledak sekali lagi. Pelbagai buku aktiviti menggunakan karakter animasi tempatan keluar dalam pasaran.

Buku ini dicetak rompak di luar negara dan diimport besar-besaran ke Malaysia. Produk cetak rompak banyak dijual di pelbagai pasar malam dengan harga murah.

Dua tahun lalu ketika di India, saya melalui pengalaman membuka mata. Pasaran India ketika itu melalui zaman kebangkitan e-dagang. Sebagai latar belakang, pasaran India mempunyai masalah buku cetak rompak yang berpanjangan.

Sebelum kebangkitan e-dagang, penjual buku cetak rompak berniaga di negeri masing-masing. Pasarannya setempat. Apabila belajar berniaga melalui e-dagang, aktiviti mereka berkembang menjadi skala nasional.

Buku cetak rompak bersaing hebat dengan buku tulen dalam laman e-dagang dan dijual murah. Pencetak rompak tidak tanggung kos penerbitan, pemasaran dan tidak bayar royalti. Mereka membuat untung jauh lebih besar berbanding penerbit tulen.

Lebih parah, satu penjual cetak rompak ditutup, muncul pula penjual baharu. Modal penjual cetak rompak hanya telefon bimbit. Untuk negara sangat besar seperti India, ramai penjual cetak rompak silih berganti.

Sebaik pulang, saya terus semak laman e-dagang tempatan. Sudah nampak produk cetak rompak menggunakan karakter animasi tempatan, dijual dalam talian. Banyak produk dagangan, tetapi bukan produk jenis buku. Masih selamat.

Setahun selepas India, teman penerbit Indonesia melaporkan masalah sama. Buku 'bajak' masuk dalam laman e-dagang. Penyakit sama, menular ke negara lain.

Kami di Malaysia mula terfikir, berapa lama sebelum buku cetak rompak muncul dalam laman e-dagang Malaysia?

Transformasi digital bermula dalam industri buku tempatan sejak 10 tahun lalu. Kita mula menerbitkan e-book, membuat pemasaran menggunakan enjin carian dan media sosial serta menjual secara dalam talian.

Jualan ini sebelum penularan COVID-19 tidak terlalu besar pasarannya. Namun, 10 tahun lalu, kita mula melihat masalah cetak rompak baharu, berbentuk digital. Ia bermula dengan cetak rompak penerbitan elektronik (EPUB).

Pada masa itu, ribuan tajuk buku popular luar negara dalam format EPUB beredar di laman Torrent. Tidak ada tajuk tempatan dalam format EPUB dicetak rompak, jika ada pun terlalu kecil.

Tidak lama selepas itu, penerbit manga dari negara jiran melaporkan jualan komik bercetak semakin menurun apabila penetrasi internet semakin tinggi di negara mereka. Pembaca manga beralih ke laman cetak rompak untuk membaca manga terbaru.

Seperti dijangka, dalam jarak waktu tidak jauh, penerbit komik tempatan mula terkesan. Kemudian, giliran penerbit buku akademik sekali lagi mengeluh. Masalah fotostat menurun, berganti pula WhatsApp.

Buku terbitan mereka difoto dan diedar meluas dalam pelbagai kumpulan WhatsApp. Produk soalan tahun lalu - yang dilesen penerbit dengan membayar sejumlah wang pendahuluan besar - juga ikut beredar menerusi WhatsApp.

Pandemik COVID-19 mengubah landskap industri buku dengan mengejut. Paling drastik perubahan saluran jualan.

Pertama, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) terpaksa ditangguhkan. Pesta buku peringkat negeri - besar dan kecil - juga banyak ditangguhkan. Satu saluran jualan besar untuk buku tertutup untuk satu tempoh waktu.

Kedua, kedai buku tidak boleh beroperasi pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selepas PKP, 24 kedai menutup pintu secara kekal. Kami menjangkakan banyak lagi menyusul. Jualan buku daripada saluran ini dijangka tidak akan pulih ke paras pra-COVID 19.

Ketiga, jualan buku secara e-dagang meningkat mendadak ketika PKP. Ada penjual melaporkan kenaikan jualan setinggi lima kali ganda. Berikutan itu, lebih ramai penerbit tempatan meneroka laman e-dagang secara besar-besaran.

Saluran baharu ini membawa penganjuran PBAKL dalam talian. Sisi gelap e-dagang, iaitu jualan bahan cetak rompak terdedah kepada umum.

Berbeza modus operandi di Indonesia dan India, penjual cetak rompak Malaysia membuat imbasan daripada buku bercetak, ditukar kepada format PDF dan dijual dalam laman e-dagang. Kini penjual boleh terima wang lebih mudah berbanding cetak rompak cara lama.

Ada penjual membeli satu salinan fail PDF dan menjual kembali kepada lebih ramai pembeli. Daripada satu salinan, merebak kepada lebih banyak penjual. E-book cetak rompak ini dijual rata-rata pada harga kurang RM2 atau serendah 50 sen. Pasaran bahan cetak rompak naik ke peringkat nasional.

Impak cetak rompak digital lebih dahsyat berbanding masalah cetak rompak yang industri buku pernah hadapi. Ia merebak jauh lebih pantas dan sukar dikawal tanpa langkah proaktif syarikat e-dagang terbabit.

Satu tajuk e-book cetak rompak dijual puluhan penjual dan ada menjual sehingga ratusan salinan. Penjual cetak rompak dapat margin untung sangat besar.

Lebih merisaukan, operator laman e-dagang kelihatannya tidak ambil serius mengenai cetak rompak e-book. Apabila dilaporkan penerbit kepada operator, ada diambil tindakan dan ada yang tidak.

Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) mengutarakan gesaan dan cadangan kepada operator laman e-dagang. Kami tekankan, pelanggaran akta hak cipta ini ada liabilitinya kepada penjual dan operator e-dagang. Setiap salinan cetak rompak boleh dituntut ganti rugi. Kami juga memohon perhatian kerajaan dalam isu cetak rompak digital.

Ancaman ini betul-betul serius kepada industri kreatif tempatan kerana format digital merebak sangat cepat. Jika operator e-dagang tidak ambil serius isu kecurian harta intelektual dalam platform mereka, terpaksalah kerajaan campur tangan. Ia perlu dicegah sebelum lebih parah.

Penulis adalah Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA).

Berita Harian X