Sabtu, 8 Ogos 2020 | 7:41am

Tentukan hala tuju pelancongan sukan pasca pandemik

Pembukaan sukan permotoran MotoGP di Jerez Sepanyol, 19 Julai lalu memberikan impak besar kepada jenama Malaysia berikutan penunggang PETRONAS Yamaha SRT, Fabio Quartararo menjuarai perlumbaan kelas utama.

Ia tonik kepada Malaysia dari aspek penajaan dan pelancongan sukan pemotoran. Tahniah kepada semua dalam pasukan PETRONAS Yamaha SRT yang berusaha keras selepas COVID-19 menular ke seluruh dunia.

Pelancongan sukan ialah sektor perniagaan yang memberikan pulangan besar sebelum COVID-19 kerana ia industri global bernilai berbilion ringgit.

Contohnya, pada 16 Julai lalu, akhbar melaporkan kelab Manchester United (MU) bakal hilang £25 juta (RM134.08 juta) daripada £75 juta (RM402.23 juta) hasil penajaan Adidas jika gagal layak ke Liga Juara-Juara.

Pelancongan sukan membabitkan aktiviti pergerakan dari satu lokasi ke lokasi lain bermatlamat menyertai acara atau aktiviti sukan. Umum menganggap pelancongan sukan hanya aktiviti menonton acara sukan. Sebenarnya, industri sukan bermakna lebih daripada menjadi penonton sahaja.

Pelancongan sukan boleh dirangkumkan kepada tiga aspek, iaitu melancong untuk memenuhi keperluan sukan seperti mengikuti kursus kejurulatihan sukan atau menyertai kejohanan badminton.

Kedua, menghadiri dan menonton acara sukan seperti litar Formula Satu (F1) atau menonton perlawanan bola sepak di stadium. Ketiga, mengunjungi tempat atau lokasi bersejarah atau nostalgia seperti Stadium Olimpik Barcelona atau menyaksikan sesuatu bersejarah berkait wira sukan seperti ke muzium Stadium Maracana di Rio de Janeiro.

Menurut Neirotti, pelancongan sukan luas bermaksud seseorang keluar dari tempat tinggal untuk menyertai aktiviti sukan, berekreasi atau bertanding pada acara sukan, melakukan pemantauan sukan pada peringkat akar umbi atau elit atau melawat ke tempat mempunyai sejarah berkaitan sukan.

Bagi Weed dan Bull, pelancongan sukan berasaskan fenomena berkonsepkan sosial, ekonomi dan kebudayaan berdaya penarik unik yang berkait rapat aktiviti, manusia serta tempat, manakala Gammon dan Robinson berpandangan ia lebih daripada penganjuran dan operasi upacara sukan mega kerana terarah kepada pelanggan spesifik sukan dan pelancongan bertemakan perkhidmatan serta pengalaman bakal diperoleh pelancong.

Kini, sukan dikaitkan dengan fenomena sosial terbesar di dunia dan pelancongan dijangka menjadi industri terbesar pada dekad mendatang (sebelum COVID-19 melanda). Ia analogi mudah bagi menjelaskan pelancongan sukan berpotensi menjadi industri memberikan pulangan besar.

Ini terbukti pada 2016, industri pelancongan sukan bernilai AS$1.41 trilion (RM5.95 trilion) dan diramal meningkat ke AS$5.72 trilion (RM24 trilion) penghujung 2021. Peningkatan luar biasa sebanyak 41 peratus dalam jangka masa empat tahun, sekali gus memberikan impak sebanyak 25 peratus kepada industri pelancongan.

Organisasi Pelancongan Dunia (WTO) dan Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC) pada 2004 mengumumkan perkongsian pintar dengan menegaskan pelancongan serta sukan ialah kuasa saling berkaitan dan lengkap-melengkapi dalam membina pembangunan, menjadi pemangkin kepada pelaburan membina lapangan terbang, jalan raya, stadium, kompleks sukan serta restoran.

Semua ini memberikan keselesaan dan kemudahan kepada masyarakat setempat dan pelancong. Jelas, ia memberi impak dari aspek ekonomi dan sosial dengan tercipta kesan limpahan berganda.

Terdapat empat jenis pelancong sukan, iaitu pelancong acara sukan, aktif sukan, nostalgia sukan dan pasif sukan. Pelancong acara sukan tertumpu kepada upacara sukan yang mempunyai daya tarikan kuat dan berskala mega seperti Sukan Olimpik atau Piala Dunia.

Namun, Langkawi Regatta juga pelancongan acara sukan tetapi dianjur berskala kecil. Tidak lupa acara sukan berskala wilayah seperti pertandingan sukan sekolah negeri, liga sukan remaja atau komuniti yang sering terlepas pandang impaknya.

Antara sukan mega berpengaruh kepada pelancongan sukan ialah Sukan Olimpik, Piala Dunia Bola Sepak, Tenis Wimbledon, Kejohanan Ragbi Enam Negara dan The Super Bowl.

Pelancongan sukan nostalgia ialah kehadiran pelancong ke tempat atau lokasi sukan menarik yang mempunyai nilai sentimental kepada peminat sukan seperti muzium, ekspo sukan atau venue sukan. Mereka tidak semestinya aktif atau peminat dalam sesuatu sukan.

Sebaliknya, mereka berkeinginan menunjukkan tanda ingatan, mengenang seseorang tokoh atau lokasi sesuatu sukan mega dianjurkan seperti Calgary Olimpik Park, Stadium Maracana, Barcelona Olimpik Park dan Bandar Sukan Bukit Jalil yang menjadi tempat Sukan Komanwel 1998.

Pelancong aktif sukan giat terbabit dan menyertai sukan pilihan di samping menimba pengalaman lain. Mereka boleh digolongkan kepada pelancong sukan amatur, berhobi sukan dan sukan profesional.

Pelancong pasif sukan tidak aktif dalam sukan. Mereka peminat atau penyokong kepada sukan tertentu, menjadi penonton dan penyokong di venue atau stadium apabila pasukan mereka bertanding. Kehadiran mereka ada kaitan pertandingan atau perlawanan besar seperti penyokong liga bola sepak di Eropah yang menonton perlawanan Liga Juara-Juara.

BBC menganggarkan MU mempunyai 659 juta penyokong seluruh dunia, tidak hairan sentiasa mendapat perhatian dan promosi dalam semua medium elektronik dan peranti media sosial.

Pelancongan sukan memberikan impak positif sosial dan menjana kelebihan dari aspek ekonomi. Antara kesan limpahan ialah kehadiran pelancong ke lokasi sukan. Ia akan meningkatkan tempahan bilik hotel, memeriahkan kehadiran pelanggan di restoran makanan dan meningkatkan perniagaan hiliran, selain memperkenal serta meningkat imej komuniti setempat.

Kemudahan sukan yang dibangunkan, boleh diguna pakai secara bersama oleh komuniti setempat, mengukuh semangat masyarakat, mempromosi identiti dan budaya setempat kepada pengunjung serta mencipta pekerjaan baharu berasaskan pelancongan sukan.

Tahun 2020, menjadi era suram pelancongan sukan dengan COVID-19. Industri pelancongan menjana 10 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia. Industri pelancongan memerlukan 12 hingga 18 bulan untuk membolehkan penduduk dunia keluar melancong semula termasuk pelancongan sukan.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, dapatan kajian mencatatkan seramai 4.6 juta penganggur dalam industri pelancongan termasuk industri pelancongan sukan. Kehadiran pelancong ke Malaysia mengalami penguncupan 36.8 peratus pada suku pertama 2020 berbanding suku pertama 2019.

Ini dijangka memberikan kesan lebih teruk kerana negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan pintu sempadan negara masih ditutup kepada pelancong asing.

Acara sukan secara kompetitif dan sukan mega baru sahaja dibenarkan untuk dianjurkan tetapi tanpa penonton dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat. Sukar bagi industri pelancongan sukan pulih dalam masa terdekat. Setakat ini industri pelancongan Malaysia dijangka mengalami kerugian RM45 bilion sepanjang COVID-19 melanda seluruh dunia.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Berita Harian X