Jumaat, 7 Ogos 2020 | 7:02am

Universiti bantu lahir masyarakat berjiwa merdeka

Pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan menjadi peranan utama mana-mana universiti di dunia ini. Dalam aspek pengajaran, pensyarah mempersiapkan pelajar sebagai bakal pekerja yang cekap pada aspek pengetahuan, kemahiran dan keperibadian. Graduan dilahirkan akan berperanan dalam dunia pekerjaan sama ada sebagai pekerja atau pemimpin organisasi termasuk syarikat dan perniagaan.

Bagi aspek penyelidikan, pensyarah bertindak sebagai penyelidik yang akan menghasilkan penyelesaian kepada masalah dihadapi masyarakat seperti masalah pencemaran air dan tanah, permasalahan pembelajaran serta pemantauan penanaman pertanian dengan teknologi terkini berunsur siber-fizikal. Penerbitan juga dihasilkan daripada penyelidikan dibuat bagi menyebarluaskan ilmu baharu kepada pelbagai kelompok.

Perkhidmatan pula luas cakupannya. Khidmat masyarakat seperti menjadi ahli jawatankuasa surau atau masjid, pemindahan ilmu seperti teknik pengurusan sisa pepejal dan menganggotai jawatankuasa peringkat nasional seperti menjadi penggubal soalan serta pemeriksa jawapan peperiksaan awam negara. Sebahagian pensyarah juga menjadi penggubal polisi negara dengan kerjasama erat dengan kementerian yang memerlukan buah fikiran warga universiti.

Semua tugas ini menjanjikan cabaran besar kepada universiti kerana sifat tugas yang rencam dengan pelbagai dimensi. Sempena kemerdekaan negara, apakah erti semua tugas ini kepada agenda mengisi kemerdekaan negara?

Kelompok terbesar yang wujud dalam sesebuah negara ialah masyarakat awam. Ia bukan kelompok industri atau akademia, sebaliknya kelompok dipanggil rakyat biasa yang bekerja hari demi hari demi sesuap nasi.

Dalam memastikan kelangsungan hidup kelompok ini dengan kehidupan selesa dan mencukupi, universiti berperanan memastikan mereka dibela melalui pelbagai platform seperti kursus menjana pendapatan melalui pemasaran digital atau latihan penggunaan platform pembelajaran dalam talian.

Ini bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dengan arus pemodenan, lebih-lebih lagi dengan keberadaan wabak COVID-19 yang benar-benar menguji ketahanan sistem ekonomi dan pendidikan negara.

Mengisi kemerdekaan negara bermaksud ahli masyarakat merasai peranan dimainkan universiti. Dalam universiti, banyak penyelesaian dijana bagi menangani permasalahan masyarakat. 'Memerdekakan' masyarakat daripada permasalahan berkenaan sebahagian tanggungjawab universiti.

Masyarakat amnya masih mempercayai kemampuan universiti kerana mereka percaya universiti mempunyai barisan ahli cerdik pandai yang mempunyai buah fikiran bernas untuk menyelesaikan isu masyarakat.

Minda dan jiwa masyarakat juga perlu melalui proses 'kemerdekaan.' Ini bermaksud proses untuk menjadikan ahli masyarakat bebas daripada pemikiran dan jiwa tidak produktif serta proaktif. Sebagai contoh, pemikiran kerajaan harus sentiasa membantu masyarakat. Ini juga dikenali dengan istilah 'mentaliti subsidi.'

Memerdekakan minda dan jiwa masyarakat dapat menjadikan masyarakat sedar kerajaan berfungsi memudah cara kemudahan masyarakat, namun tidaklah menjadi penentu hidup bangun masyarakat. Ahli masyarakat yang seharusnya menentukan hala tuju kehidupan dan mencorakkan masa depan mereka.

Di sinilah cerdik pandai di universiti harus membentuk minda masyarakat progresif. Meyakinkan ahli masyarakat bahawa mereka mempunyai potensi dan keupayaan mencorak kehidupan dan hala tuju dapat sedikit sebanyak membentuk masyarakat proaktif menentukan perjalanan hidup mereka.

Bukan itu saja, masyarakat dibantu untuk menggilap potensi dan bakat melalui program yang dapat memberi nilai tambah kepada kehidupan seperti pengumpulan bahan sisa pepejal dari rumah dan menjana pendapatan melalui perniagaan bahan sisa ini. Dalam bahasa Inggeris disebut juga sebagai from waste to wealth.

Memimpin minda dan jiwa masyarakat ke arah pemikiran dan jiwa berdikari atau kata penuhnya berdiri atas kaki sendiri menonjolkan keupayaan sebenar ahli cerdik pandai dalam membawa masyarakat kepada kemajuan serta pembangunan. Minda dan jiwa merdeka inilah yang kelak dapat melakar perubahan besar kepada negara kerana negara memiliki masyarakat berminda kelas pertama.

Kembali kepada tugas utama universiti – pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan. Universiti sebagai entiti kompleks dengan pelbagai sumber dan kaya kepakaran seharusnya menggem-
bleng warganya untuk bersama-sama 'memerdekakan' ahli masyarakat. Kapasiti besar dan luas yang dimiliki universiti seharusnya dimanfaat masyarakat untuk bersama-sama mengisi kemerdekaan negara.

Makna kemerdekaan kini sudah berubah. Ia bukan lagi soal kemerdekaan daripada penjajah, sebaliknya kemerdekaan daripada minda dan jiwa tidak produktif atau proaktif. Ini menjanjikan cabaran besar kerana tidak mudah perubahan besar mengambil tempat. Cabaran mentaliti, kekangan waktu dan masa serta cabaran kepimpinan antara yang utama.

Namun, dengan menggerakkan keseluruhan jentera dan keupayaan universiti, agenda 'mengisi kemerdekaan' dapat berjalan dengan konsisten dan pada landasan tepat. Adapun cabaran wujud, ia lumrah dalam kehidupan dunia. Cabaran sememangnya banyak dan tidak putus-putus atau habis.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Berita Harian X