Selasa, 4 Ogos 2020 | 7:44am
Sabah kini dilanda krisis melalui percubaan mengalihkan kuasa pemerintahan secara kurang sihat angkara tindakan lompat parti secara besar-besaran. - Foto hiasan
Sabah kini dilanda krisis melalui percubaan mengalihkan kuasa pemerintahan secara kurang sihat angkara tindakan lompat parti secara besar-besaran. - Foto hiasan

Kemelut lompat parti, kesan terhadap demokrasi

Ketidaktentuan senario politik semasa tanah air terus diwarnai bermacam-macam kemelut dan pergolakan. Berkecamuk dan huru-hara. Demikian sebaik-baik gambaran dapat diterjemahkan terhadap apa yang berlaku kini.

Bermula tumbangnya kerajaan negeri seperti di Johor, Melaka, Perak dan Kedah yang menyaksikan gerakan 'lompat-melompat' dalam kalangan wakil rakyat tanpa sempadan dan sekatan.

Tidak keterlaluan dikatakan mana-mana kerajaan terbentuk waktu ini amat goyah dan tidak terjamin kedudukannya.

Sudah tidak stabil dan kucar-kacir sistem pemerintahan negara waktu ini sebenarnya. Bilakah lagi agaknya akta lompat parti akan digubal bagi memastikan integriti dan aku janji wakil rakyat terhadap ideologi politiknya sewaktu disokong dan dipilih tidak dikhianati?

Apalah sebenarnya isu besar yang tidak memungkinkan satu akta antilompat parti diwujudkan jika integriti politik ingin diangkat ke satu tahap tertinggi dengan setelusnya dalam sistem politik tanah air?

Kenapa perlu takut dengan bayang sendiri? Persoalan dibangkitkan ini ada asasnya dan hanya boleh dijawab wakil rakyat sendiri.

Terkini, Sabah dilanda krisis melalui percubaan mengalihkan kuasa pemerintahan secara kurang sihat angkara tindakan lompat parti secara besar-besaran.

Ia memaksa Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, membuat keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya baharu dilaksanakan.

Apa tarikannya hingga sebegitu ramai nekad melompat keluar secara serentak? Ini sudah pasti mengundang pelbagai persepsi dan andaian negatif. Tuduh-menuduh sudah mula kedengaran di sana sini.

Namun, apabila diungkit isu mewujudkan akta lompat parti, masing-masing diam 1,000 bahasa.

Demikian antara beberapa senario politik melanda negara sejak runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah hanya 22 bulan.

Amat menyedihkan dari kaca mata demokrasi pilihan raya, betapa mudahnya sesebuah kerajaan pada semua peringkat ditukar sekelip mata.

Semudah menukar baju. Ini tentunya bukan sesuatu dikehendaki rakyat dalam menentukan kerajaan diinginkan.

Terkini, keputusan bersalah Mahkamah Tinggi terhadap bekas Presiden UMNO pula mencetus ledakan baharu, terutama dalam kalangan penyokong parti itu.

Tuntutan supaya UMNO dan sekutunya keluar daripada Perikatan Nasional (PN) nampaknya disambut kepemimpinan UMNO apabila Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka menyatakan hasrat untuk tidak lagi bersama PN.

Mungkin keputusan dijatuhkan Mahkamah Tinggi itu dikatakan penyebabnya. Namun, dari sudut lain, tindakan keluar PN sememangnya bukan lagi rahsia. Cuma menantikan masanya sahaja.

Sebelum ini pun, sudah kedengaran rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli, malah segolongan pemimpin UMNO pada peringkat tertinggi sendiri menyuarakan rasa kecewa secara terbuka terhadap pengagihan jawatan dalam Kabinet serta lain-lain tuntutan yang dirasakan sebagai hak buat mereka selaku penyumbang kerusi besar dalam PN.

Dengan kata lain, wujudnya PN bolehlah dianggap 'perkahwinan untuk kemudahan' bagi satu tempoh peralihan bersifat sementara.

Jika demikianlah kisahnya, tidak hairanlah banyak sekali cabaran perlu diharungi hingga serba-serbi tidak menjadi terutamanya dalam kes membabitkan hala tuju, pendirian dan aspirasi parti masing masing.

Rasa kebersamaan kurang dan payah dihayati. Akibatnya, apa yang sudah dijangkakan selama ini berlaku juga akhirnya.

Kerjasama erat di antara UMNO dan sekutunya bersama PAS dirasakan penyokong dan kepemimpinan parti semakin mantap dan sudah boleh berdikari serta berupaya menongkah arus meraih sokongan rakyat dan menghadapi cabaran politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Maka, kelibat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilihat tidak begitu signifikan. Pengumuman BERSATU yang menyatakan hasrat menyertai Muafakat Nasional (MN) hanya dilihat alternatif terdesak untuk meletakkan diri dalam satu gabungan yang boleh dijadikan pohon untuk berteduh, bukan lagi sebagai parti yang memayungi.

Tempias pergolakan ini, turut terpalit secara langsung dan sudah tentulah Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku sebuah parti dominan di Sarawak pada waktu ini, sedang bekerjasama di bawah PN turut mencuri tumpuan.

Yang menjadi persoalan, apakah GPS akan meneruskan kerjasama dengan MN selepas ini? Rasanya, tidaklah begitu sukar dicongakkan jawapannya.

Jika dilihat tindak-tanduk diatur sebelum ini, soal sokong siapa bukanlah isu besar. Fokus utama GPS lebih tertumpu kelangsungan kemajuan dan kemakmuran rakyat di Sarawak.

Malah GPS sejak keluar daripada BN pun menyatakan pendiriannya untuk bersikap mesra politik dengan mana-mana parti memerintah.

Justeru, jika pendirian sama kekal menjadi pegangan GPS, ia bukanlah menjadi isu. GPS masih boleh bertindak sebagai sebuah parti yang mesra Kerajaan Persekutuan tanpa mengikatkan diri dengan mana-mana gabungan lain di peringkat Pusat.

Dengan kata lain jika tidak menyertai MN sekalipun selepas ini, rasanya tiada apa pun yang terlalu menjejaskan kedudukan GPS sebagai sebuah parti dominan di Sarawak.

Cuma jika sumbangan kerusi Sarawak masih diperlukan bagi membentuk Kerajaan Persekutuan seperti mana berlaku waktu ini, itu terpulang kepada kebijaksanaan parti untuk menentukan pendiriannya.

Yang pasti ia tidak akan merugikan apa-apa. Mungkin ada berpandangan tindak-tanduk sedemikian tidak berpendirian. Namun, hakikatnya, ia sangat memberikan kelebihan buat Sarawak.

Tiada salah atau ruginya GPS berbaik dengan Kerajaan Persekutuan, namun masih boleh untuk tidak menyertai mana mana permuafakatan yang diusulkan sebagai parti komponen.

Lebih mudah untuk GPS bergerak dan membuat apa-apa tindakan dan tuntutan dalam kapasitinya sebagai sebuah parti tersendiri, tetapi mesra Kerajaan Persekutuan dalam menyuarakan apa juga perkara yang difikirkan boleh memberikan kelebihan dan keuntungan kepada rakyat Sarawak, mengatasi soal lain, termasuk kedudukan wakil rakyatnya dalam Kabinet pada peringkat Persekutuan jika sekalipun tidak dilantik.

Penulis adalah Profesor di Pusat Kepimpinan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Berita Harian X