Isnin, 13 Julai 2020 | 10:00am

Perlembagaan Beraja perjelas demokrasi di Malaysia

SELEPAS Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen pada 18 Mei lalu, hari ini bermula Mesyuarat Kedua. Fungsi Parlimen perlu diteruskan selaras dengan kedudukannya di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia ialah sebuah persekutuan, justeru terdapat bidang kuasa Parlimen yang cukup jelas seperti termaktub dalam Jadual Kesembilan.

Di samping itu, diperuntukkan kuasa Majlis Raja-Raja pada peringkat Persekutuan yang mengehadkan bidang kuasa Parlimen dalam penggubalan undang-undang termasuk pindaan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Hal ini kerana sistem politik di negara ini tidak menjunjung keagungan Parlimen seperti di England dan tidak juga berlandaskan keagungan Perlembagaan seperti di Amerika Syarikat (AS). Sebaliknya, Malaysia mewarisi sistem politik tradisional Melayu berpaksikan kedaulatan Raja-Raja sebagai pemegang amanah kedaulatan mutlak milik Allah SWT.

Kedudukan itu dinyatakan dalam Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan peruntukan lain termasuk sumpah Yang di-Pertuan Agong dan akidah Raja-Raja Melayu beragama Islam.

Pandangan popular menyatakan Malaysia ialah negara mengamalkan demokrasi berparlimen sedangkan istilah demokrasi tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mahupun undang-undang tubuh kerajaan di negeri.

Malaysia dikatakan mengamalkan demokrasi kerana wujudnya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggotai wakil dan suatu keputusan itu diputuskan secara undi majoriti. Sistem demokrasi itu pula wujud kerana ada pilihan raya memilih wakil rakyat.

Justeru, mandat rakyat disampaikan melalui wakil mereka sama ada di Parlimen atau DUN.

Dalam kerangka ini, diadakan sistem pilihan raya untuk memilih wakil dalam badan perundangan dan ditetapkan tata cara penggubalan undang-undang.

Suara majoriti sering dikaitkan demokrasi walaupun pada hakikatnya di Tanah Melayu sudah terpasak kemas amalan syura (mesyuarat) dalam sistem politik tradisional Melayu.

Amalan syura memiliki tahap tadbir urus lebih tinggi kerana bukan sahaja suara majoriti diraikan, tetapi suatu keputusan itu mesti menjunjung kedaulatan undang-undang, dalam konteks sistem politik tradisional Melayu ialah kepatuhan kepada prinsip perundangan Islam.

Demokrasi Barat yang menjunjung keagungan Parlimen mengabsahkan kedaulatan rakyat, iaitu rakyat bersifat ketuhanan maka apa jua bentuk dan sifat undang-undang boleh digubal mengikut budi bicara wakil mereka asalkan sokongan majoriti diperoleh. Kedudukan sedemikian bukan demokrasi yang berada dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Di Malaysia sungguhpun wakil rakyat terpilih menduduki Parlimen, mereka terikat dengan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang memelihara kedaulatan Raja-Raja mengikut adat Melayu.

Parlimen tidak boleh menggubal undang-undang sesuka hati kerana terdapat perkara dilindungi Perlembagaan Persekutuan. Tidak cukup untuk menyamakan amalan negara yang menjunjung prinsip demokrasi berparlimen semata-mata adanya sistem pilihan raya dan wujudnya sebuah Parlimen di Malaysia.

Bagi menjamin suatu pemilihan telus, maka Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan sebuah suruhanjaya bebas, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Setiap warganegara yang cukup umur dan memenuhi syarat mendapat hak sama rata untuk memilih calon dalam suatu pilihan raya.

Parti atau perikatan parti yang memenangi jumlah kerusi terbanyak di Parlimen dan DUN akan menganggotai Jemaah Menteri serta Majlis Mesyuarat Kerajaan atau Kabinet Negeri, sekali gus membentuk kerajaan bersama-sama dengan ketua negara atau negeri masing-masing.

Tidak dapat dinafikan sering kali berlaku pengabaian kepada roh prinsip Perlembagaan Persekutuan kerana Ahli Parlimen dipengaruhi kepentingan untuk mengekalkan sokongan di kawasan mereka masing-masing.

Tidak dapat juga disangkal ada kala undang-undang digubal boleh dipersoal dari sudut pematuhan prinsip Perlembagaan Persekutuan, namun keabsahannya masih boleh dibawa ke mahkamah.

Bahkan berlaku keadaan yang kelihatan mahkamah memutuskan secara tidak berpihak kepada prinsip keluhuran Perlembagaan kerana terjadi kebarangkalian pihak berkaitan gagal mengemukakan isu perundangan dengan tepat mengikut jurisprudens.

Namun begitu, mahkamah diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menyemak sebarang undang-undang digubal selepas Hari Merdeka agar tidak bercanggah dengan prinsip keluhuran perlembagaan. Apa dikatakan sebagai sistem demokrasi berparlimen di Malaysia pada hakikatnya tertakluk pada empat prinsip.

Pertama, warganegara yang layak berhak untuk memilih wakil mereka di Dewan Rakyat melalui proses pilihan raya dan kemenangan ditentukan secara undi majoriti.

Kedua, kelulusan Rang Undang-Undang di Parlimen ditentukan secara undi majoriti, tetapi tertakluk pada prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Ketiga, tidak semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Persekutuan boleh dipinda Majlis Parlimen kerana terdapat peruntukan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja.

Keempat, Dewan Perundangan di Malaysia terbahagi kepada Parlimen dan DUN yang bidang kuasanya ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

Dari aspek politik, Malaysia mengamalkan Perlembagaan Beraja berpaksikan kedaulatan Raja-Raja, prinsip keluhuran Perlembagaan dan sistem berparlimen yang menjelaskan demokrasi dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, berbeza dengan prinsip demokrasi berteraskan kedaulatan rakyat atau dalam istilah sains politiknya general will.

Penasihat Undang-Undang Universiti Malaysia Perlis

Berita Harian X