Isnin, 6 Julai 2020 | 10:00am
PELBAGAI kaum bersatu dalam sambutan Hari Kebangsaan melambangkan perpaduan utuh yang menjadi teras kemakmuran negara. - Foto hiasan.
PELBAGAI kaum bersatu dalam sambutan Hari Kebangsaan melambangkan perpaduan utuh yang menjadi teras kemakmuran negara. - Foto hiasan.

Akta Rukun Negara dimensi baharu perkasa perpaduan kaum

KANVAS perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia diwarnai dengan pelbagai konflik dan cabaran yang dinamik dalam membentuk masyarakat harmoni.

Harmoninya kita melalui kepelbagaian agama, budaya, adat resam dan bahasa. Ini menjadikan usaha Malaysia ke arah perpaduan dan integrasi nasional lebih kompleks berbanding negara lain di dunia.

Justeru, kepelbagaian yang wujud ini menuntut satu pendekatan yang membolehkan semua kaum bekerjasama untuk membentuk perpaduan, sikap toleransi dan saling memahami.

Matlamatnya hanya satu, iaitu untuk menjaga kestabilan dan keamanan negara memandangkan ia terbukti elemen penting dalam membentuk pembangunan dan kemajuan negara

Namun, kini ketidaktentuan dan kestabilan politik turut menyumbang kepada potensi untuk berlakunya keretakan dalam hubungan antara kaum yang dibina sejak sekian lama.

Keadaan ini secara tidak langsung membangkitkan sikap prejudis, stereotaip, curiga, sangsi dan etnosentrik yang menebal, menyebabkan berlakunya perubahan dalam iklim kemakmuran perpaduan negara.

Konflik yang timbul ini semakin meruncing disebabkan oleh sikap individu yang tidak bertanggungjawab, yang cenderung melakukan provokasi dengan menyentuh sensitiviti kaum dan agama, sehingga menyebabkan berlakunya beberapa siri perselisihan faham dan perbalahan yang menggugat keselamatan dan ketenteraan awam.

Antaranya seperti penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhamad SAW, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Raja-raja Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan.

Justeru, perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu diberikan perhatian sewajarnya agar peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tidak berulang.

Pengajaran daripada peristiwa berkenaan perlu dijadikan iktibar agar setiap masyarakat berbilang kaum di Malaysia sedar betapa pentingnya untuk kita terus kekal bersatu padu bagi menjamin keharmonian masa depan negara.

Dalam merealisasikan harapan itu, pelbagai mekanisme dibincang dan dibahaskan oleh kelompok intelektual serta pembuat dasar bagi mendapatkan suatu kaedah untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku ini.

Antara langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjayakan usaha ini adalah menerusi penerapan dan pemahaman mengenai perpaduan menerusi pendidikan.

Usaha ini sememangnya memberikan impak yang sangat besar dalam hubungan antara kaum di Malaysia, namun demikian ia perlu ditambah baik dengan melakukan beberapa pengubahsuaian terhadap dasar pendidikan.

Sungguhpun demikian, isu berkaitan perpaduan menerusi pendidikan bukanlah perkara yang ingin dibahaskan dalam penulisan ini.

Sebaliknya penulis ingin membawa pembaca ke arah suatu dimensi baharu kepada perbincangan topik ini.

Terdapatnya suatu sudut yang sangat kurang diberikan perhatian oleh ramai pihak, iaitu berkaitan kepentingan Rukun Negara dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum.

Sungguhpun kita akan meraikan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara sempena pengisytiharannya pada 31 Ogos 1970, namun hakikatnya prinsip penting itu masih gagal dihayati dan difahami.

Malah, tidak keterlaluan dikatakan Rukun Negara juga tidak dihafal oleh kebanyakan rakyat, sebaliknya sekadar tersemat sebagai suatu ideologi semata-mata, terutama oleh generasi muda.

Hasilnya, ketiadaan asas ini mewujudkan tindakan radikal dan ekstrem dalam kehidupan seharian dan media sosial sehingga membawa kepada krisis, kesan daripada pengabaian Rukun Negara sebagai pedoman masyarakat majmuk.

Ingin ditegaskan bahawa setiap prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara dirangka bertujuan untuk membentuk perpaduan yang kukuh. Ia menjadi kunci kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum dalam usaha menjamin kestabilan negara.

Maka, sudah tiba masanya ideologi ini diberikan wajah baharu dengan lima prinsipnya - Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan - diharmonikan dan dibentuk menjadi suatu akta dikenali sebagai Akta Rukun Negara.

Pelaksanaan akta ini tidak bersifat terpilih, sebaliknya akan melindungi setiap agama dan kaum yang terdapat di dalam negara.

Perkara ini penting kerana sudah menjadi fitrah kejadian manusia yang memerlukan kepada undang-undang dan peraturan sebagai garis panduan kehidupan.

Maka, apabila dilaksanakan kelak setiap perbuatan yang dilihat melanggar prinsip terbabit akan dikenakan tindakan yang bersesuaian bagi menjamin keharmonian dan perpaduan di negara.

Konklusinya, prinsip dan matlamat Rukun Negara amat relevan dan perlu diharmonikan dengan kewujudan Akta Rukun Negara ini agar menjadi suatu mekanisme perundangan penting bagi membendung masalah yang menyelubungi konflik perpaduan kaum yang dilihat semakin meruncing di negara ini.

Peguambela dan Penguamcara, Tetuan Ganesan, Irmohizan & Co

Berita Harian X