Ahad, 17 Mei 2020 | 12:20pm
Alam maya jadi penghubung guru dan murid menyampaikan ucapan sambutan Hari Guru yang diraikan semalam berikutan sekolah ditutup akibat penularan COVID-19. - Foto Asyraf Hamzah
Alam maya jadi penghubung guru dan murid menyampaikan ucapan sambutan Hari Guru yang diraikan semalam berikutan sekolah ditutup akibat penularan COVID-19. - Foto Asyraf Hamzah

Cabaran guru mendepani era pasca-COVID-19

Seperti biasa, setiap tanggal 16 Mei, sekolah akan meriah dengan sambutan Hari Guru. Warga sekolah akan mengucapkan Selamat Hari Guru, manakala media sosial diwarnai dengan ucapan sama sejak malam sebelumnya.

Pada peringkat negara, pastinya ada perayaan Hari Guru Kebangsaan digilirkan penganjurannya di setiap negeri secara besar-besaran. Cuma yang nampak agak tidak kena sebelum ini, sambutan itu biasanya lebih didominasi kehadiran pegawai kanan jabatan pendidikan negeri (JPN), pejabat pendidikan daerah (PPD), pengetua dan guru besar.

Ada juga sebilangan kecil wakil kesatuan dan pertubuhan guru. Tidak banyak kelibat guru biasa sekolah diberi peluang bersama-sama dalam majlis bersejarah dan berprestij itu. Sepatutnya, guru biasa dari pelbagai negeri diberikan peluang dalam majlis sebegini.

Bagaimanapun, angkara COVID-19, perayaan Hari Guru 2020 berubah 180 darjah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah, sambutan Hari Guru oleh 450,000 guru bertugas di 10,200 sekolah dilakukan secara maya. Guru dan mereka yang terbabit lebih banyak meraikannya dengan cara menghadap komputer riba atau telefon pintar.

Betul, itu kebiasaan baharu yang hadir tanpa kita sangka. Selaras normal baharu ini, Kementerian Pendidikan (KPM) memilih slogan Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu sebagai tema Hari Guru 2020.

Apa dapat dilihat, tema ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu yang dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Bagi generasi baharu yang mungkin ingat-ingat lupa, pernyataan FPK berbunyi: 'Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.'

Dalam kata lain, kita tidak mahu melahirkan produk hanya hebat dari segi intelek saja, sebaliknya produk seimbang semua aspek. Dalam hal ini, sebenarnya cabaran guru membabitkan banyak pihak di luar pagar sekolah yang masih tebal dengan sekolah berorientasikan peperiksaan.

Keputusan cemerlang dalam pelbagai ujian dan peperiksaan terutama Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ditatang sebagai indikator kejayaan murid.

Dalam era kebiasaan baharu dan pasca COVID-19 yang entah bagaimana mengubah dunia persekolahan serta perjalanan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) ini, sudah pasti menjadi cabaran besar harus di depani guru.

Saya percaya, tiada seorang guru di negara ini mendapat kursus secara formal mengenai pedagogi penjarakan sosial. Semua mendapat ilmu bagaimana hendak mendidik dalam suasana biasa. Sekiranya silap percaturan, sekolah akan menjadi pusat janaan COVID-19 baharu.

Dalam hal ini, saya percaya semua risiko dan kemungkinan diambil kira KPM dalam prosedur operasi standard (SOP) pengurusan dan perjalanan persekolahan selepas ini.

FPK dirangka untuk dicapai dengan andaian tiada COVID-19 dan penjarakan sosial serta tidak wujud galakan pemakaian pelitup muka di sekolah. Aktiviti pembangunan sahsiah dan kokurikulum sebagai pelengkap kemenjadian murid juga dapat diadakan sebagaimana peraturan disediakan.

Namun, dalam keadaan tidak menentu dan penamat penjarakan sosial belum pasti bila berakhir, apakah FPK itu akan dapat direalisasikan? Atau perlu diteliti semula hala tujunya?

Dalam ucapan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sempena Hari Guru 2020 semalam, beliau mahukan Malaysia melonjakkan kedudukan kepada satu pertiga negara terbaik dalam Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) serta Laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) dalam tempoh lima tahun dari sekarang. Sebelum ini, Malaysia berada dalam kumpulan negara satu pertiga terbawah.

Perdana Menteri juga memaklumkan proses pendigitalan dan pembelajaran maya akan diperkasakan. Ia sangat relevan dengan situasi COVID-19 dan pasca-COVID-19 nanti. Usaha melonjakkan kedudukan secara drastik itu tanggungjawab besar perlu didepani pegawai di KPM, JPN dan PPD.

Apa yang pasti, pihak yang akan memikul segala perancangan ke arah misi itu sudah pastilah guru di sekolah. Melonjakkan kedudukan ke satu pertiga negara terbaik di dunia bukan kerja mudah.

Namun, berdasarkan pengalaman saya selama 30 tahun dalam bidang pendidikan, saya yakin guru Malaysia mampu melakukannya. Siapa sangka, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), guru Malaysia merekodkan carian Google Classroom paling tinggi di dunia.

Perisian PdP secara dalam talian itu, menjadi platform digunakan KPM dalam pembelajaran digital ketika tempoh PKP. Jelas, guru Malaysia mempunyai komitmen tinggi. Dengan komitmen cukup bernilai itu, terpulanglah kepada pemimpin di sekolah untuk memandu bagi membolehkannya sampai ke destinasi tepat pada masanya.

Bagi guru gen X dan sebelumnya yang bukan membesar dengan internet serta kepelbagaian gajet, sekarang masa sesuai dan sangat perlu untuk meningkatkan ilmu serta pengetahuan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Perlu juga ditingkatkan maklumat pelbagai aplikasi pendidikan baharu yang sentiasa timbul setiap hari, sekali gus menjadi peningkatan ilmu selaras tema Hari Guru 2020 ini. Sejak era beberapa Menteri Pendidikan sebelum ini lagi, usaha meningkatkan ilmu guru melalui program pensiswazahan guru dan galakan melalui biasiswa bagi penyambungan ilmu ke peringkat sarjana serta doktor falsafah (PhD) dilaksanakan dengan giat dan jaya. Apa yang perlu, guru hanya menyegarkan semula momentum minat peningkatan ilmu berkenaan.

Harapan saya sebagai presiden kesatuan guru dianggotai 230,000 guru di negara ini, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin dapat terus memainkan peranan menyambung usaha dilakukan Dr Maszlee Malik dalam mengurangkan kerja tidak relevan dengan tugas guru.

Apa yang pasti, memikul beban kerja tidak relevan ini antara halangan besar guru kita dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan utama mereka ke arah mencapai pelbagai kilau emas kejayaan yang dirancang pemimpin.

Dengan kepemimpinan Menteri Pendidikan baharu ini, kita mengharapkan guru Malaysia mampu mendepani pelbagai cabaran sedang dan mendatang serta berupaya mencorak perubahan ke arah kecemerlangan pendidikan negara dalam era pasca-COVID-19 nanti.

Penulis ialah Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP)

Berita Harian X