Sabtu, 11 April 2020 | 10:00am
Pematuhan PKP perlu diutamakan rakyat Malaysia bagi memerangi penularan COVID-19. - Foto Eizairi Shamsudin
Pematuhan PKP perlu diutamakan rakyat Malaysia bagi memerangi penularan COVID-19. - Foto Eizairi Shamsudin

Pematuhan PKP strategi ampuh perangi COVID-19

Prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan dalam negara bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan memasuki fasa ketiga. PKP ialah mekanisme pengawalan COVID-19 yang diadaptasi oleh kerajaan melalui agensi keselamatan negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan lengkungan COVID-19 akan terus memuncak dan menunjukkan peningkatan di luar kawalan sekiranya tiada langkah pengawalan berkesan dijalankan seluruh dunia.

Adaptasi mekanisme pengawalan COVID-19 menjadi penanda aras bagaimana sesebuah negara mengatasi musuh halimunan, iaitu ancaman biologi atau wabak penyakit yang belum mempunyai penawar.

Ia juga antara kontek peperangan asimetrikal dalam keselamatan negara, iaitu memerangi musuh yang sukar diketahui lokasi dan kekuatan sebenarnya.

COVID-19 mengubah struktur pertahanan dan keselamatan negara secara drastik. Ketika mengumumkan fasa ketiga PKP, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata langkah gagah barisan hadapan khususnya kakitangan perubatan mengambil risiko demi memastikan keselamatan rakyat amat dihargai.

Ujarnya, kita semua ialah lapisan masyarakat dalam keluarga besar yang perlu saling membantu. Tanpa mengira bangsa, ini negara kita, kita jaga kita.

Lengkungan penularan COVID-19 di negaraini masih dalam jajaran polariti linear tanpa menunjukkan sebarang kenaikan mendadak secara eksponential. Jelas PKP dilihat berkesan sebagai tunjang strategi utama menentang musuh berskala nanometer yang menyerang negara.

Penularan COVID-19 dalam negara adalah terkawal pada kadar 7 peratus di bawah skala tanda aras WHO sebanyak 10 peratus. Kadar kematian dalam negara sekitar 1.6 peratus juga di bawah skala sebenar WHO, 5.8 peratus pada peringkat dunia, manakala Malaysia mencatatkan 43 peratus bagi kadar pemulihan COVID-19.

Namun, ini bukan masanya mendabik dada dan untuk kita berbangga dengan keberkesanan langkah mekanisme pengawalan COVID-19. Malah, jauh sekali bagi sesiapa sahaja mengatakan mereka sudah berjaya.

Peperangan asimetri COVID-19 masih berada dalam fasa pertengahan, manakala sebarang kesilapan asas akan membawa kegagalan dan penularan wabak secara eksponential melalui kewujudan kluster baharu yang akan membentuk generasi seterusnya penularan wabak.

Malaysia diiktiraf sebagai antara negara yang berjaya menggariskan strategi pengawalan berkesan dan salah satu faktor kejayaan adalah kesiapsiagaan struktur kesihatan dalam negara.

Jumlah kes positif baharu juga dilihat menunjukkan aliran penurunan. Bagaimanapun aliran penurunan ini harus berterusan serta memerlukan tindakan dan pencegahan bagi memutuskan rantaian wabak penyakit COVID-19 secara total.

Kewajaran PKP adalah satu penyelesaian penting dalam memastikan virus COVID-19 dapat diatasi. Justifikasi perlanjutan PKP dalam fasa ketiga dibuat untuk memberi ruang proses pengawalan dan penularan wabak selaras saranan WHO.

Kumpulan sasar akan terus menjadi tumpuan dan langkah penambahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mungkin akan meningkat bagi memastikan keberkesanan langkah pencegahan memerangi COVID-19.

Rakyat Malaysia seharusnya mengagumi amalan konsep transparensi secara total oleh agensi penyelaras dalam mengatasi ancaman COVID-19. Masyarakat diberikan penjelasan secara berkala berdasarkan fakta sebenar dan tahap kesiapsiagaan agensi negara.

Jelas, strategi PKP semakin diterima dan menjadi asas kepada perubahan peradaban sosial masyarakat menangani COVID-19. Interaksi sosial pada masa kini adalah berdasarkan konsep penjarakan sosial dan asas normaliti baharu berdasarkan PKP.

Normaliti dan sosialasi sedang mengalami perubahan dalam masyarakat bersandarkan PKP yang perlu difahami sebagai benteng pertahanan negara dalam menghadapi ancaman COVID-19.

Tular di media sosial bagaimana kekaguman masyarakat Indonesia dengan usaha kerajaan melaksanakan mekanisme pengawalan menangani COVID-19. PKP dan pakej rangsangan ekonomi dilihat gabungan berkesan dalam memerangi COVID-19.

Namun, faktor asas kejayaan ini adalah kesediaan dan kebersamaan kita semua menyokong sepenuhnya PKP sebagai mekanisme pengawalan dalam peperangan asimetrikal menentang COVID-19.

Pematuhan konsep PKP harus diletakkan sebagai keutamaan rakyat Malaysia. Sikap pentingkan diri sendiri harus diganti kepada asas solidariti kebersamaan yang jitu.

Sekatan jalan raya dan rondaan yang dijalankan mengesan mereka yang ingkar PKP memperlihatkan segelintir masyarakat yang masih gagal mentafsir ancaman sebenar COVID-19.

Kejujuran keikhlasan bagi mengelak kewujudan kluster baharu COVID-19 amat penting untuk difahami ketika fasa pertengahan kita tidak boleh mengambil risiko yang boleh menyumbang kepada penularan COVID-19 dalam skala yang sukar dikawal.

Pesalah yang ingkar PKP dikenakan tindakan dalam bentuk amaran, denda malah ada yang dipenjarakan. Namun, sebagai bentuk pengajaran kepada semua dan menunjukkan kesepakatan dalam menangani ancaman COVID-19 pesalah ingkar PKP kali pertama yang sudah atau sedang dipenjarakan mungkin boleh dipertimbangkan untuk tidak direkodkan sebagai bekas banduan khususnya kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan remaja yang berpotensi mempunyai masa hadapan cerah.

Kaedah alternatif berkesan yang dicadangkan adalah mengenakan jumlah denda yang lebih tinggi secara maksimum, dikenakan perintah tahanan rumah, diletakkan di bawah pengawasan agensi keselamatan dan diwajibkan mengikuti kursus secara dalam talian modul gerak saraf Keselamatan Negara dan Tanggungjawab Sosial yang boleh dibangunkan bersama pakar akademik dan agensi berkaitan.

Pematuhan dan pengiktirafan PKP adalah strategi induk yang perlu diperakui oleh rakyat Malaysia. Untuk memerangi peperangan asimetrikal menentang COVID-19, solusinya adalah kesiapsiagaaan dan kebersamaan. Ia adalah peperangan yang sukar, tetapi bukan misi yang mustahil. Kita jaga kita.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi UiTM.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X